www.umno-reform.com
- laman yang menerima lebih dari 40,000 pelayar sehari
Assalamualakum!
Saudara Rais Yasin,
Saya adalah seorang Ahli UMNO yang telah lama bergiat di dalam UMNO. Dipendekkan cerita, apa yang cuba saya bongkarkan di sini sangat-sangat penting. Anak-anak muda yang menganggotai UMNO di Bahagian Kulim Bandar Baru sangat-sangat menderita kerana perbuatan Timbalan Ketua Bahagiannya.
Saya bersumpah dengan nama Allah, apa yang saya ceritakan ini adalah sesuatu yang benar-benar berlaku dan meminta supaya artikel ini disiarkan bagi kebaikan umat Melayu di Bahagian ini. Bukan tujuan saya untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin tetapi saya lakukan ini untuk kebaikan Umat Melayu di Bahagian saya.
Sekian. Terimakasih.
Yang Benar,
antirasuah2000
PENGKHIANAT BANGSA MELAYULAH YANG SEBENARNYA MEROSAKKAN MELAYU
Antara agenda utama Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ialah bagi membenteras gejala rasuah dan red tape yang berlaku di Jabatan-jabatan Kerajaan termasuk Pemimpin-pemimpin politik khususnya di kalangan Pemimpin UMNO. Gejala rasuah yang berlaku di dalam UMNO sendiri tidak kurang hebatnya.
Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah mengenai gejala rasuah dan sikap pilih kasih yang berlaku di UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, khususnya yang melibatkan kegiatan rasuah dan pilih kasih oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Cikgu Husin bin Abdul Rahman, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato Paduka Abdul Kadir bin Hj Sheikh Fadzir.
Dato Paduka Abdul Kadir bin Hj Sheikh Fadzir adalah merupakan Ketua Bahagian Kulim-Bandar Baharu merangkap Ahli Parlimen Kulim-BB. Kesibukan Dato Paduka Abdul Kadir menjalankan tugas sebagai Menteri untuk memajukan industri pelancongan di negara kita tidak mengizinkan beliau untuk senantiasa berdampingan dengan rakyat dan ahli-ahli UMNO Bahagian. Cikgu Husin selaku Timbalan telah diamanahkan oleh Dato Kadir untuk menjalankan tugas di Bahagian semasa ketiadaan beliau. Kesempatan ini telah digunakan oleh Cikgu Husin untuk mengkayakan orang-orangnya, termasuklah anaknya sendiri, Husni Husin termasuklah dirinya sendiri.
Seperti yang kita telah sedia maklum, peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen Malaysia telah diagihkan oleh kerajaan untuk membangunkan kawasan Parlimen masing-masing. Cikgu Husin berperanan untuk mengagih-agihkan peruntukan ini kepada kontraktor-kontraktor tempatan untuk mengatasi masalah penduduk-penduduk di Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Selain untuk kemudahan rakyat, peruntukan ini juga secara tidak langsung dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil untuk mencari makan. Kesempatan ini telah digunakan oleh Cikgu Husin dengan sewenang-wenangnya untuk menganugerahkan projek-projek daripada dana ini kepada syarikat-syarikat tertentu termasuklah syarikat-syarikat yang di bawah naungan anaknya, Husni Husin.
Husni yang beroperasi di Kulim, telah menggunakan beberapa belas lesen milik kontraktor tempatan untuk mendapatkan projek melalui bapanya, Cikgu Husin. Melalui penganugerahan projek yang kesemuanya bernilai jutaan ringgit ini, Husni telah diberikan komisen sebagai habuan kepada segala usahanya itu. Husni hanya goyang kaki kerana habuan dari komisen yang diterimanya juga adalah besar.
Husni bukan sahaja menjalankan kerja-kerja yang melibatkan pembinaan malah begitu aktif sebagai pembekal kepada Pemuda UMNO Kulim-Bandar Baharu. Boleh dikatakan kesemua projek pembekalan yang melibatkan Pemuda UMNO, disapu bersih oleh Husni melalui pengaruh bapanya. Orang lain jangan bermimpi nak dapat.
Selain dari anaknya Husni, Cikgu Husin juga seringkali menganugerahkan projek-projek kepada Yusof Ishak ataupun lebih dikenali sebagai Cop Paklang di kawasan ini. Atas dasar membalas budi, Cop Paklang akan memberikan habuan besar bernilai puluhan ribu ringgit kepada Cikgu Husin kerana memberikannya projek. Seperti Husni, Cop Paklang juga menggunakan lesen-lesen kontraktor Bumiputra yang lain untuk mendapatkan projek selain dari syarikat miliknya sendiri.
Cop Paklang bergiat cergas dalam kerja-kerja pembinaan di Parlimen Kulim-Bandar Baharu melalui syarikat miliknya, Yusof Ishak Enterprise, Kodid Enterprise (milik anak Cop Paklang), Abu Seman Ishak Enterprise (milik adik Cop Paklang) dan Sri Permatang Enterprise (milik Nadin Putih). Melalui syarikat-syarikat ini, Cop Paklang akan mendapat projek-projek besar dari Cikgu Husin.
Selain dari syarikat-syarikat utama ini, syarikat-syarikat lain milik kontraktor tempatan di bawah jagaan Cop Paklang juga akan diberikan peluang untuk mendapatkan kerja di Parlimen Kulim. Namun mereka cuma hanya dapat merasakan komisen sahaja, kerja-kerja tersebut akhirnya akan dijalankan oleh Cop Paklang sendiri. Sekiranya syarikat-syarikat tersebut ingin menjalankan kerja-kerja tersebut sendiri, mereka akan disenaraihitamkan oleh Cop Paklang dan akhirnya mereka tidak akan mendapat sebarang kerja lagi pada masa akan datang.
Walaupun tidak aktif di dalam UMNO, Cop Paklang mendapat layanan yang sangat istimewa dari Cikgu Husin kerana sering memberi habuan besar kepadanya. Cop Paklang hanya menunjukkan muka apabila Dato Kadir turun ke Bahagian untuk mesyuarat atau lawatan. Beliau akan menunjukkan beliaulah orang yang sangat aktif di sana.
Kerja-kerja yang dijalankan oleh Cop Paklang jarang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Banyak aduan telah dibuat oleh Jawatan Kuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Cikgu Husin kerana kecuaian Cop Paklang menjalankan kerja. Jalan yang dibina oleh Cop Paklang di Air Puteh misalnya dibuat tidak mengikut spesifikasi, tetapi tetap lulus kerana Cikgu Husin telah mendapat habuan apatah lagi terdapat beberapa Pegawai dan Juruteknik di JKR Kulim dan Pejabat Daerah Bandar Baharu-Kulim telah dibela oleh Cop Paklang. JKKK hanya dapat menyuarakannya sahaja, tetapi tiada tindakan yang diambil sebaliknya aduan mereka hanya dibuang kedalam tong sampah oleh orang-orang yang tertentu.
Aduan-aduan ini juga telah dibuat kepada ADUN Bandar Baharu, YB Datuk Osman Md Aji. YB Osman telah beberapa kali menegur kerja-kerja Cop Paklang yang tidak mengikut spesifikasi namun lansung tidak diendahkan oleh Cop Paklang kerana Cikgu Husin berdiri dibelakangnya. Lebih malang lagi, Cop Paklang dan Cikgu Husin akan menghasut orang-orang UMNO yang rapat dengan mereka termsuk Pengerusi JKKK untuk membenci YB Datuk Osman.
Akibat kegiatan yang tidak sihat ini, ramai di kalangan kontraktor-kontraktor kecil di Parlimen telah menjadi mangsa Cikgu Husin. Kalangan yang menjadi mangsa termasuklah kontraktor-kontraktor yang terdiri dari Ahli UMNO Bahagian yang sangat aktif berjuang di dalam UMNO siang dan malam. Malah ada di antara mereka yang terpaksa beralih angin mencari alternatif lain untuk mencari makan dan tidak kurang pula yang terpaksa gulung tikar. Walaupun dizalimi, golongan ini tetap setia dengan perjuagan UMNO. Persoalannya, sampai bila mereka ini dapat bersabar dan setia.
Sebagai Ahli UMNO di Bahagian Kulim ini, saya ingin menyuarakan pandangan saya kepada Dato Paduka Abdul Kadir bin Hj Sheikh Fadzir selaku Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen supaya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjernihkan kembali keadaan. Dato Kadir perlu turun padang untuk melihat sendiri apa sebenarnya yang berlaku di Bahagian Kulim. Janganlah karier Dato yang berada di puncak sana menjadi rosak kerana perbuatan buruk dan jahat orang di bawah sana. Janganlah kerana Nila setitik, rosak susu sebelanga. Pilihanraya Umum semakin hampir dan Pemilihan UMNO juga akan tiba tidak lama lagi. Kekuatan parti adalah terletak kepada keutuhan para ahlinya. Kekalahan BN di tangan pembangkang pada pilihanraya kecil DUN Lunas perlu diambil iktibar. Kemenangan pembangkang bukanlah kerana kekuatan mereka tetapi akibat perpecahan yang berlaku di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri. Virus ini tidak mustahil akan meresap ke dalam DUN yang lain dalam Parlimen Kulim dan seterusnya meranapkan harapan untuk mengekalkan kerusi Parlimen itu sendiri.
Adalah menjadi harapan saya untuk melihat keadaan kembali jernih bukan sahaja di Kulim malah dalam UMNO keseluruhannya. UMNO akan hancur dengan andanya Cikgu Husin di setiap bahagian UMNO. Singkirkanlah pemimpin semacam ini kerana kita lebih sayangkan UMNO, bukan pemimpinnya apatah lagi pemimpin yang korup. Sekali lagi saya ingin mengulangi tulisan saya ini bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin, tetapi saya lebih sayangkan UMNO yang saya pejuangkan selama ini.
Kini kami di umno-reform.com berani mengatakan bahawa UMNO-REFORM.COM
sekarang ini adalah laman politik independen terpopular Malaysia.
|