www.umno-reform.com - laman yang menerima lebih dari 40,000 pelayar sehari


Datuk Hisham Menteri Besar Johor?
insider
24-12-2003

Desas desus siapa yang akan menjadi Menteri Besar Johor yang baru semakin bertiup kencang. Ia bermula apabila Ketua Penaja UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad menyentuh kedudukan Dato Seri Abdul Ghani Othman yang kononnya akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-11.

Perkara yang sama turut disentuh oleh Dato Hishammuddin Tun Hussein sewaktu berucap semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Bahagian Semberong. Ada kemungkin insiden ini bukan satu kebetulan dan kelihatan seolah-olah ada di kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menyedari ada kejutan yang bakal berlaku di Johor. Apa yang menjadikan perkara ini semakin menarik ialah, nama Hishammuddin turut disebut-sebut sebagai salah seorang calon Menteri Besar Johor yang baru.

Mengulas mengenai spekulasi ini, sumber kanan dari ibupejabat UMNO menyebut, beberapa pemimpin paling kanan MT melihat Hishammuddin sebagai seorang pemimpin muda yang berpotensi untuk memimpin negara di masa hadapan.

Beliau telah membuktikan yang beliau mampu bekerja keras untuk menukar imej Pergerakan Pemuda UMNO dan menjadikannya lebih mesra rakyat. Selain dari

itu, sumber itu menyebut, Hishammuddin dikatakan dapat diterima baik oleh pemimpin-pemimpin kanan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan telah membuktikan kepimpinan di kalangan pemimpin sayap pemuda parti-parti komponen. Selain dari itu, ujar beliau lagi, Hishammuddin boleh berbahasa Inggeris dengan baik dan telah berjaya menonjolkan diri di peringkat antarabangsa dengan berkesan. Ciri-ciri ini, menurut sumber itu lagi, amat penting untuk dipunyai oleh pemimpin-pemimpin generasi pelapis, jika kita mahu memastikan Malaysia terus berperanan aktif mendepani globalisasi.

Menurut satu sumber lain dari pejabat salah seorang Naib Presiden UMNO, langkah menjadikan Hishammuddin seorang Menteri Besar akan dapat mematangkan karier politik beliau. Perlu diingat, tiga orang Naib Presiden UMNO, iaitu Najib (Dato Seri), Muhyiddin (Tan Sri) dan Muhammad Muhd Taib (Tan Sri) pernah menjadi Menteri Besar. Jika Hishammuddin mempunyai cita-cita untuk memimpin negara, setidak-tidaknya beliau mesti mempunyai pengalaman yang setara dengan ketiga-tiga Naib Presiden yang disebutkan tadi.

Lagipun, menurut sumber itu lagi, orang yang mahu bersaing dengan Hisham adalah Khir Toyo (Dato Seri), yang juga merupakan seorang menteri besar.

Jika berlaku pertandingan, kuasa wang ringgit dan pengaruh seorang menteri besar adalah jauh lebih besar dari apa yang dimiliki oleh seorang Menteri Belia dan Sukan. Pertandingan akan menjadi tidak adil.

Menurut sumber itu, sebenarnya pemimpin atasan parti telah mendengar desas-desus mengenai gerakan-gerakan yang dibuat oleh Khir Toyo untuk menentang Hishammuddin. Mereka turut mendapat maklumat kononnya, wang ringgit Khir Toyo telah mula ditaburkan kepada pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO Negeri dan Bahagian, pemimpin-pemimpin belia dan pihak media, termasuklah media pembangkang. Selain itu, khabarnya, ada laporan yang mengatakan wang ringgit Khir Toyo dan utusan-utusan Khir Toyo juga telah sampai sehingga ke kawasan Tenggara, iaitu bahagian yang diwakili Hishammuddin sebelum persempadanan semula.

Menurut sumber itu, percaturan politik pemimpin atasan adalah untuk menjadikan `padang permainan sama rata, iaitu dengan menjadikan Hishammuddin seorang menteri besar dan dengan itu dia dapat menyahut cabaran Khir Toyo, yang juga seorang menteri besar, dengan lebih adil. Ditanya tentang peluang Hishammuddin untuk menang jika itu berlaku, sambil tersenyum, beliau mengatakan, yang pasti jumlah bahagian di Johor lebih banyak dari di Selangor. Hishamuddin perlu membuktikan yang dia jauh lebih berwibawa dari Khir Toyo jika dia mahu jadi pemimpin negara pada masa depan.

daripada, insider



Kini kami di umno-reform.com berani mengatakan bahawa UMNO-REFORM.COM sekarang ini  adalah laman politik independen terpopular Malaysia.