Unit khas siasat isu Azimi-Kadir
Nash Rahman
7:41pm Thu May 8th, 2003
Usaha menyelesaikan masalah yang melanda Umno Bahagian Umno Kulim/Bandar Baru telah diserahkan kepada Pemuda Umno Malaysia, kata setiausaha kerja Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor hari ini.
Katanya, perkara itu hanya akan dibawa kepada Majlis Tertinggi untuk diselesaikan sekiranya diminta oleh Pemuda Umno Malaysia untuk berbuat demikian.
Buat masa ini, katanya, Umno pusat melihat perkara itu sebagai masalah dalaman pergerakan Pemuda Umno, maka biarkan pergerakan itu sendiri yang menyelesaikannya.
Menurut laporan akhbar hari ini, Pemuda Umno telahpun menubuhkan sebuah unit khas siasatan untuk mengemuka laporan mengenainya kepada jawatankuasa pengurusan pergerakan itu.
Sehubungan itu, ketua pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah kerana tindakan diambil berdasarkan bukti.
Kelmarin, empat Exco Pergerakan Pemuda Umno bertemu beberapa ketua Pemuda Umno cawangan dalam bahagian Kulim/Bandar Baru berhubung laporan mereka mengenai isu dalaman antara Pemuda bahagian dengan kepimpinan Umno bahagian itu.
Tegang
Exco berkenaan yang diketuai Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Mohd Alwi akan menyediakan laporan mengenai ketidakpuasan hati Pemuda bahagian itu terhadap perjalanan persidangan agung tahunan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baru pada 25 April lalu untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pemuda Umno.
Ketegangan berlaku sewaktu berlangsungnya mesyuarat Umno bahagian Kulim/Bandar Baru apabila ada pihak yang mengemukakan usul tidak percaya terhadap ketua Pemuda bahagian berkenaan, Azimi Daim, yang juga ketua penerangan Pemuda Umno pusat.
Umno bahagian tersebut diketuai oleh Menteri Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Hubungan di antara mereka berdua menjadi tegang apabila calon yang dikaitkan dengan Abdul Kadir telah bertanding menentang Azimi bagi jawatan ketua Pemuda bahagian dalam pemilihan tahun 1999.
Azimi, yang juga bekas setiausaha politik Kadir, pula bertindak balas dengan bertanding bagi jawatan timbalan ketua bahagian yang disandang oleh calon yang ada hubungan rapat dengan Abdul Kadir.
Azimi menang jawatan ketua Pemuda bahagian tetapi tewas bagi jawatan timbalan ketua.
Keadilan menang
Pertikaian itu berlanjutan sehinggalah mesyuarat bahagian baru-baru ini. Ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak puashati Azimi dengan tindakan Umno bahagian yang didakwanya tidak meluluskan permohonan keahlian daripada golongan muda profesional di situ.
Tindakan itu dikatakan bertujuan untuk menyekat pengaruhkan Azimi dalam bahagian berkenaan.
Pergeseran dalam pucuk pimpinan Umno bahagian Kulim/Bandar Baru itu juga dikatakan punca kegagalan Barisan Nasional untuk mempertahankan kerusi dewan undangan negeri Lunas dalam pilihanraya kecil tiga tahun lalu.
Kerusi itu berjaya dirampas oleh calon Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail. Keadilan merupakan rakan komponan PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam Barisan Alternatif.
Sementara itu, ketika mengulas cadangan supaya umur bagi ketua Puteri Umno tidak dihadkan sepertimana ketua Pemuda Umno, Tengku Adnan berkata, ianya merupakan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Puteri Umno dalam mesyuarat bahagian mereka.
"Sekiranya perkara itu dipanjangkan kepada jawatankuasa pengurusan parti, ianya boleh dibincangkan sebelum dikemukakan kepada Majlis Tertinggi untuk membuat keputusan mengenainya," tambahnya.
Payung terjun
Mengenai mesyuarat Umno bahagian, beliau berkata, kecuali masalah yang timbul di bahagian Kulim/Bandar Baru, ianya berjalan lancar di semua bahagian.
Sebelum itu, Tengku Adnan memberitahu sidang akhbar bahawa majlis ulangtahun Umno ke-57 akan diadakan di Stadium Merdeka Ahad ini.
Katanya, Stadium itu dipilih bagi mengenangkan saat-saat di mana Perdana Menteri pertama Tengku Abdul Rahman Putra Alhaj melaungkan 'merdeka' ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 30 Ogos 1957.
Katanya, Umno mahu semua pihak, terutama generasi muda, diingatkan mengenai kegigihan pemimpin Umno memperjuangkan kemerdekaan negara ketika itu.
Beberapa acara menarik disediakan sempena perayaaan itu, termasuk pasukan payung menerbangkan gambar presiden Umno dan bendera parti itu. Seramai 40,000 orang dijangka menghadiri majlis tersebut.