Siapa Yang Meluluskan Kasino Kedua Di Pahang? -MGG Pillai

Di kalangan pemimpin politik dalam gagasan Barisan Nasional (BN) tidak seorang pun yang mahu pujian kerana meluluskan lesen pengurusan kasino kedua di Pahang, yang akan mulakan operasinya bulan ini. Premis perjudian itu ialah di Tropicale-Tropicale Resort di Bukit tinggi. Perdana Menteri Mahathir (sKT) diam membisu, begitu juga timbalannya Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, menteri besar Pahang, Adnan Yaakob, menteri Kewangan Kedua Jamaluddin Jarjis, menteri kabinet daripada Pahang, penasihat agama Islam Abdul Hamid Othman, dan menteri menjaga hal ehwal Islam Abdul Hamid Zainal Abidin. Dua bulan yang lalu, Vincent Tan memang terlalu berbangga akan perkara itu dan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang meyakinkan mengenainya, tetapi semua kenyataan itu disiarkan oleh media asing. Pejabatnya berkata kasino itu akan dibuka pada bulan ini.

Sikap membisu di pihak kerajaan memang boleh difahami. BN sudah lama membuat keputusan secara bersendirian bahawa Malaysia ialah sebuah a negara beragama Islam, tetapi tidak pula ia mahu parlimen mendebatkannya, kerana UMNO yang mahukan status itu. Kalau UMNO sudah mahukan sesuatu ia sudah pasti tercapai kerana rakan BN yang lain tidak berani menyanggahnya. Apabila kabinet selalu suka menyibuk dalam urusan harian majlis perbandaran, tentu kita hairan kenapa secara tiba-tiba ia tidak ada suara dalam perkara ini. Majlis Tertinggi UMNO yang meluluskan setiap isu yang penting-penting sebelum kerajaan melakukannya, tentu sudah arif akan perkara ini. Dalam konteks pengertian Malaysia, perjudian adalah isu sensitif yang melibatkan hukum Islam yang tentunya mahu dielakkan oleh kerajaan BN.

Penasihat agama Islam kerajaan diam membisu, begitu juga halnya dengan Abdul Hamid Zainal Abidin. Kenapa? Kalau difikirkan betapa sensitifnya isu ini, kenapakah Vincent Tan dibenarkan membuka kasino itu bulan ini, sedangkan ia pasti menjadi isu hangat di Pahang, di mana PAS sudah memperkasakan partinya untuk menafikan BN kerusi dua pertiga (sekali gus suara majoriti) dalam majlis perundangan negeri, dan juga di negeri-negeri lain.

Orang Islam memang diharamkan berjudi di kasino, tetapi itu syarat sahaja. Ada seorang menteri kabinet UMNO dan isterinya yang berjudi sekitar RM30,000 setiap malam selama bertahun-tahun di Genting dan sekarang ini kerap menghabiskannya di mesin slot di kelab tempatan. Orang Islam tidak boleh memasuki kasino, tetapi itu bukannya larangan yang dikuat-kuasakan kepada orang berpangkat dan pemimpin politik serta peniaga Melayu berjudi di bilik khas yang disediakan oleh Genting Highlands yang diharamkan kepada marhaen Melayu. Ada seorang Melayu anggota kroni, yang mempunyai kasino peribadi di Kuala Lumpur. Kita boleh bertaruh bahawa urusan yang sama akan diadakan di tempat perjudian Vincent Tan. Memang menjadi tabiat di kalangan kebanyakan peniaga Melayu yang memperagakan barang perhiasan termasuk perempuan yang lawa-lawa sebagai isteri perhiasan juga, dan berjudi sakan sebagai satu pengumuman kepada dunia yang mereka sudah berjaya.

Lesen judi dikeluarkan oleh Menteri Kewangan. Tetapi, orang yang sama memegang jawatan perdana menteri. Semasa dia bercuti, kedua-dua jawatan itu disandang oleh timbalannya Abdullah Badawi. Mereka berdua memang sedar betapa sensitifnya perkara ini. Tetapi mereka sudah ada kambing-korban, menteri kewangan kedua, yang dilantik untuk menandatangani undang-undang dan peraturan yang mungkin mengotorkan tangan perdana menteri kalau menandatanganinya. Menteri kewangan kedua, Jamaluddin Jarjis yang menurunkan tandatangan itu. Kalau sudah menandatangani kelulusan itu, tentu dia kena bertanggungjawab, khususnya di kawasan pilihan raya beliau di Rompin. Sepupunya Dato’ Hassan Ariffin ialah Ketua UMNO bahagian yang pernah menjadi timbalan menteri besar Pahang tetapi dikuis ke tepi, kerana beliau pun semacam Dr. Jamaluddin juga merupakan penyokong setia Anwar Ibrahim. Dia mempunyai pengaruh di Rompin, di mana Jamaluddin merasa goyah, walaupun tanpa usaha PAS yang mahu menjatuhkannya. Keberanian Jamaluddin meluluskan lesen kasino itu pasti menyukarkan laluannya nanti.

Untuk menyulitkan Jamaluddin lagi, PAS bercadang menurunkan seorang tokoh hebat sebagai calon bertanding di situ dalam pemilu yang akan datang. Kalau Jamaluddin tidak berhati-hati, masa depan politiknya akan terbantut seperti yang dialami oleh menteri kewangan kedua sebelumnya, iaitu Dato’ Mustapa Mohamed.

Jamaluddin mempunyai perniagaan dan kerjaya politik yang hebat. Sebagai seorang jurutera elektrik, dia merupakan kontraktor utama kepada TNB dan pernah menjadi Pengerusi badan itu sebelum melepaskan jawatan berkenaan setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua. Inilah yang dikatakan jawatan semacam bekas pemburu malam menjadi penjaga perhilitan di siang hari. Dia adalah anggota parlimen yang juga merupakan ketua ‘Backbenchers Club’. Dia telah mengabdikan diri kepada Perdana Menteri gara-gara tertangkap ketika memegang envelop merah yang dihulur oleh wakil sebuah syarikat perdagangan yang besar dari Jepun. Kalau dia memegang pangkat pegawai kerajaan ketika itu, sudah tentu dia dikenakan padahnya. Sebaliknya dia dilantik menjadi Menteri Kewangan kedua. Baru-baru ini dia dilihat mula mengengsot kesetiaan daripada kem Dato’ Najib kepada kem Abdullah Badawi.

Lesen kasino kedua itu menyulitkan kehidupan setiap menteri kabinet daripada Pahang dan pemimpin politik UMNO. Menteri pertahanan yang juga merupakan salah seorang naib presiden UMNO sedang meraung secara senyap-senyap setiap hari kerana asakan dalam UMNO dan diserang oleh PAS, sehinggakan dia sedang tercari-cari kawasan parlimen lain untuk bertanding di Pahang. Menteri Penerangan dan juga Setiausaha Agung UMNO, Khalil Yaakob, pernah meraban semacam itu juga, tetapi sudah tidak lagi waktu ini apabila tersebar desas-desus yang mengatakan dia berkemungkinan menjadi Gabenor Melaka tidak lama lagi. Menteri Besar Adnan Yaakob menafikan dia tahu-menahu akan lesen judi itu, tetapi bagaimana mungkin lesen itu dikeluarkan tanpa persetujuannya? UMNO Pahang mahukan adik Sultan, Tengku Azlan ibni Almarhum Sultan Abu Bakar berpindah ke Pekan dan menjadi menteri besar Pahang yang akan datang. Tetapi, itu bukan perkara mudah kalau kisah lesen baru kasino itu membesar menjadi isu hangat sehinggakan serangan PAS nanti akan menjadi beban besar untuk UMNO menggalasnya.

Bukan di Pahang sahaja politik Melayu akan bergoncang. Satu ketika dulu ada satu lesen judi yang mahu dikeluarkan di Sabah. Bakal pemegang lesen itu sudahpun menetapkan bayaran wang sogokan sebanyak RM50 juta. Ini merupakan satu jumlah yang kecil kerana si pemegang lesen dijangka merembat sekitar 200 juta setiap tahun. Jadi, ada soalan cepu emas dalam hal kasino di Pahang itu: Apakah yang telah ditawarkan oleh Vincent Tan? Kepada siapa dan berapa banyaknya? Yang lebih menarik, apakah lesen judi kasino ini dikeluarkan untuk membolehkan UMNO mengumpulkan dana untuk digunakan buat pilihan raya? Apapun alasannya, iltizam BN terhadap penubuhan negara Islam kini boleh dipertikaikan. Ini sudah tentu menggegarkan parlimen dan dewan perundangan negeri-negeri khususnya negeri di mana PAS sudah mula menunjukkan taringnya. Sebagai contoh; Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Selangor. BN khususnya UMNO sengaja mengundang celaka untuk ditambah kepada begitu banyak masalah yang sudah lama menghambatnya.

Jadi, kenapa BN meluluskan juga lesen judi itu? Apakah itu satu tanda keangkuhan untuk memuaskan ego yang pernah menjatuhkan martabat Mahathir (sKT) gara-gara mengaibkan seorang anak-didiknya yang kini terpenjara? BN terlalu yakin yang ia adalah kebal, boleh berlagak sesuka hati walaupun sudah sedar kini betapa ia menjadi banduan kepada keangkuhan yang menjebaknya. Masalah lesen kasino yang kedua ini, adalah problem yang muncul dalam satu siri kesalahan besar dalam politik BN. BN sudah kehilangan kepercayaan marhaen, walaupun ia masih berupaya memenangi pilihan raya yang akan datang, dan sekali lagi selepas itu. Ini berpunca dari keupayaannya mengawal keadaan dan menentukan bila pemilu itu boleh diadakan. Tetapi itu semua dilakukan untuk memenangi akar umbi politik yang semakin tidak meyakininya lagi.