Anak-emas Diberi Lesen Kasino Baru Di Pahang
by MGG Pillai

Kerajaan Perdana Menteri Mahathir (sKT) mengacah masyarakat Islam dan turut memperlekeh persepsinya bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam apabila ia mengeluarkan satu lesen kasino baru kepada anak-emas Mahathir (sKT) yang juga merupakan seorang superkroni, Vincent Tan. Kerajaan belum mengumumkannya lagi, tetapi Vincent Tan, seorang peniaga yang menabalkan dirinya sendiri bahawa dialah kononnya peniaga antarabangsa yang tidak ada tolok bandingnya di seantero dunia. Pada waktu yang sama inilah musibat yang tidak teragak-agak mengenakan saman ke atas sesiapa yang tidak setongkang dengan fikirannya. Tetapi orang semacam ini yang telah diamanahkan oleh Mahathir (sKT) untuk mengendalikan satu kasino baru di Pahang di sebuah kompleks pelancongan yang bernama Colmare Tropicale Resort di Bukit Tinggi. Tempatnya tidak jauh daripada Kuala Lumpur dan akan dibuka pada bulan ini. Ia akan menyediakan 250 mesin elektronik untuk berjudi dan kemudahan permainan ‘baccarat’ dan ‘roulette’. Kalau dia tidak diberikan kemudahan ini, Colmare Tropicale Resort itu akan mengikuti jejak langkah Mimaland Resort, yang terpaksa ditutup pada 1980-an setelah gagal mendapatkan satu lesen kasino untuk menarik pelanggan. Bukit Tinggi terletak di Pahang, yang juga menempatkan kasino pertama di Malaysia di Genting Highlands. Ini merupakan projek istimewa yang ketiga untuk Tan Sri Vincent Tan di negeri itu. Ketika Menteri Penerangan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil menjadi Menteri Besar Pahang, dia telah memperuntukkan tanah kepada Sultan Pahang dengan bersyarat tanah itu dijual secepatnya kepada Vincent Tan. Ada satu lagi pusat pelancongan bikinan Vincent Tan di Pulau Tioman, yang tidak juga mendatangkan keuntungan. Kerajaan telah mengizinkan beliau menguruskan satu khidmat penerbangan ke pulau itu yang diberikan pula status bebas cukai, seperti Langkawi dan Labuan. Pusat pelancongan Colmare Tropicale sebenarnya memenuhi khayalan perdana menteri, tetapi kalau ia menunggu seribu tahun lagi ia memang tidak akan pulang modal seperti pusat pelancong asal yang ditirunya di Peranchis. Tetapi, dengan adanya kasino itu memang bolehlah dia mengaut keuntungan. Kerana itu dia diberikan lesen judi. Tidak kiralah kalau lesen itu akan memperlekehkan kerajaan Barisan Nasional ataupun penaungnya, seorang insan bernama Mahathir (sKT).

Tetapi kenapakah kasino itu mesti dibuka secara tergesa-gesa bulan ini, sedangkan kalau dia ada otak niaga yang bersalut muslihat politik boleh menunggu sehingga selesainya pilihan raya umum tahun depan? Apakah dia tidak tahan menunggu lagi kerana dia terpaksa menggunakan talian hayat politik untuk menyekat para pemiutang bertindak terhadapnya? Mampukah lesen itu menyelamatkannya? Yang sudah-sudah dia telah diberikan bantuan juga. Dia pernah diberikan 1,000 juta ringgit pada 1991 dan 1998. Dia telah diberikan lesen Sports Toto, lesen penswastaan Indah Water Konsortium, KL Monorail, dan dibenarkan membina beberapa stadium yang begitu rendah mutu bikinannya untuk SUKOM. Inilah kisah seorang superkroni yang sentiasa diselamatkan untuk gagal lagi, dan disuapkan beberapa projek mega yang berstatus lombong emas untuk membolehkannya membalun lebih banyak kekayaan lagi. Syarikat panji utamanya, Berjaya Group, sedang meraung di Bursa Saham dengan harga 20 sen sesaham, yakni sekitar 5 peratus daripada harganya dahulu. Begitu juga beberapa lagi kaunter saham yang dikuasainya, termasuk syarikat perjudian Sports Toto.

Walaupun kasino baru ini mungkin membantu Vincent Tan untuk menarik nafas lega memperbaiki keadaan kewangannya, ia sekaligus menjebak BN Pahang ke kancah politik yang bergelora. PAS sudahpun menguasai banyak laluan baru di negeri itu, cukup menyedarkan ramai ahli politik UMNO, khususnya Menteri Besar, Dato Seri Adnan Yaakob dan insan yang amat mengharapkan dapat menjadi perdana menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. PAS bergerak secara diam-diam untuk menakutkan UMNO setiap kali terbocor apakah yang mereka lakukan. Di beberapa negeri dan kawasan parlimen ramai penyokong kuat UMNO berpendapat bahawa calon UMNO akan kalah bukan kerana siapa calon itu tetapi kerana mereka adalah mewakili UMNO. Ramai orang kuat UMNO di Parlimen dan juga dewan negeri yang berura-ura mahu menukar kawasan pertandingan mereka. Takkan ini dapat membantu mereka. Di kebanyakan kawasan pilihan raya, parti politik yang paling aktif ialah PAS. UMNO sendiri telah mengaku, kecuali kawasan pilihan raya baru di Cameron Highlands, semua kerusi UMNO di Pahang adalah tidak dianggap selamat lagi. Kerana itu semua orang di Pahang sedang teraba-raba mencari kerusi yang selamat untuk menang. BN merasakan getaran ini dengan risiko yang menghantui calon MCA dan MIC dan dalam hal ini yang akan meraih untung ialah DAP dan Keadilan.

PAS sudah menampakkan cabarannya yang menyakitkan UMNO. Ramai tokoh utama UMNO terpaksa membuat pilihan apakah terus memberikan kesetiaan kepada Najib Razak ataupun berganjak kepada bakal perdana menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Penyakit yang menggaru UMNO menyebabkan ramai wakil rakyatnya terpaksa meminggirkan kawasan pilihan raya mereka. Ramai yang tidak menjenguk ke kawasan pengundi mereka sejak 1999 lagi, dan baru sangat mula menjenguk kawasan itu sejak beberapa bulan yang lalu. Sekarang mereka terpaksa berhadapan satu isu lagi: kasino kedua di negeri itu. Pada 1970-an dulu, undang-undang telah dipinda untuk membolehkan kasino dibuka 35 batu daripada kawasan pantai, untuk membolehkan satu kasino di buka di Pulau Tioman, yang dulu hingga kini dikenali sebagai kawasan parlimen Pekan. Itulah kawasan Tun Abdul Razak yang kini berpindah tangan kepada anaknya Najib. Apabila Tun Razak terdengar berita itu dia naik angin dan menolak ura-ura tersebut. Kemudian Genting Highlands Casino diwujudkan dan disusuli pula oleh satu lagi di Bukit Tinggi. Jarak antaranya adalah sekitar beberapa minit sahaja mengikut kelajuan burung. Tan Sri Lim Goh Tong di Genting dan Tan Sri Vincent Tan adalah kroni ahli politik yang sedang mencengkam kuasa sejak dulu.

Selama 30 tahun sejak penubuhan Genting dan juga Colmare Tropicale, negara ini telah berubah daripada didominasi oleh ketuanan Melayu kepada didominasi oleh hembusan Islamiah. Pendapat dunia sudah berubah. Tidak ada seorang ahli politik Melayu dapat bernafas lega selagi dia tidak berikrar memberikan laluan kepada penubuhan sebuah negara Islam. Inilah yang sering menghantui UMNO dan BN. UMNO tidak pernah memikirkan ketokohannya dalam bidang Islam, ataupun mahu mendebatkannya di Parlimen kerana takutkan implikasinya. Lebih lagi apabila PAS memang bersedia mencekiknya. UMNO berfikir dengan mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, itu sahaja yang dianggapnya sudah memadai. Tetapi kaedahnya yang begitu haprak tidak dapat bertahan lama. Akar umbi UMNO sudah mendesak mahukan maklumat kenapa pendekatan UMNO amat berbeza dengan PAS. Tetapi, inilah yang tidak mampu diperjelaskan oleh pemimpin UMNO. Kalaupun dilakukan, kesannya masih meragukan lagi. Soal kasino kedua yang lesennya hanya boleh diluluskan oleh menteri kewangan kerajaan persekutuan sudah tentu membuka lebih luas pekong di dada. Inilah yang membuatkan UMNO menggeletar bagaimana menyelamatkan keadaan untuk terus bernafas lega semula.