Liku dan cabaran Pak Lah
Ghazali Mat Dom
03-04-2003  

Bersediakah Pak Lah? Ramai yang mengakui kebolehan Pak Lah dalam mengendalikan Malaysia selepas era Dr Mahathir. Namun satu persoalan yang menjadi pertanyaan adalah kemampuan Pak Lah menyelesaikan isu kemelut politik yang ada di Malaysia. Kemelut ini bagi saya mempunyai ciri-ciri penyelesaian yang kemungkinan tidak mampu ditanggung oleh pemimpin biasa. Kemelut politik ini, sungguhpun banyak yang mengatakan bahawa ianya sudah hampir surut namun anggapan saya sebaliknya. Ianya nampak surut namun kerancakannya masih terasa dan masih mencabar. Bagi saya perasaan surutnya kemelut politik hari ini hanya berjaya dipendamkan namun bahana politik ini pasti akan terasa biarpun Barisan Nasional memenangi pilihanraya akan datang.

Dihadapan Pak Lah, pergolakan dalam UMNO

Tidak dapat tidak UMNO akan bergolak sebaik sahaja Dr Mahathir meletakan jawatannya. Mahu tidak mahu perubahan harus berlaku dan perubahan ini akan mengundang ketidakpuasan sesetengah pihak dalam UMNO. Akibat lamanya Dr Mahathir memegang jawatan, ini adalah peluang untuk ramai ahli-ahli di peringkat kepimpinan tertinggi membuat lonjakan kenaikan jawatan dalam parti. Ini adalah satu kepastian. Oleh kerana tidak ada had jangka waktu seseorang itu menjadi PM maka peluang untuk merapatkan diri kepada jawatan itu perlu diambil segera. Ini bukan sesuatu yang tidak normal.

Dihadapan Pak Lah, penyokong Anwar dalam UMNO

Apakah kenyataan di atas tidak benar. Apakah kenyataan atas sesuatu yang palsu atau yang direka-reka. Apakah semua dalam UMNO itu telah menolak Anwar Ibrahim? Saya nyatakan mahu tidak mahu Anwar Ibrahim masih signifikan dalam UMNO. Beliau mempunyai banyak penyokong dan sokongan ini bukan sahaja diberi oleh ahli-ahli namun wujud dikalangan kepimpinan tertinggi. Sokongan dari kumpulan Anwar dalam UMNO kepada Pak Lah akan dinilai dari sudut bagaimana beliau menangani isu Anwar Ibrahim. Kita harus mengkaji dan menilai barisan yang memenangi Majlis Tertinggi yang lalu, siapa sebenarnya mereka dan apakah antara mereka bukan datangnya dari kem Anwar Ibrahim?

Dihadapan Pak Lah, desakan pembangkang khususnya pendokong REFORMASI 

Dapatkah atau lebih tepat lagi mampukan Pak Lah menangani isu-isu berhubung kait dengan pendokong reformasi. Setakat ini secara ikhlas UMNO hanya mampu menjawab berlandaskan politik atas isu-isu yang di terbitkan oleh mereka atau alternatif lainnya adalah dengan mendiamkan isu tersebut. Kita ambil isu yang di bawa oleh golongan reformasi yakni “Mala Fide” polis terhadap tangkapan beberapa aktivis politik dalam ISA.

·         “Mala fide” polis dan penilaian tindakan Pak Lah sebagai Menteri Dalam Negeri

Di putuskan oleh Mahkamah bahawa tindakan polis terhadap penangkapan beberapa penyokong dan pimpinan pembangkang adalah berniat jahat dan tidak mempunyai justifikasi yang kukuh. Mahkamah juga menggariskan bahawa mereka yang ditahan seharusnya di bebaskan kerana tuduhan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara berbeza dengan sebab penangkapan mereka.

Pak Lah di kritik bukan sahaja oleh para reformasi namun oleh pelbagai pihak seperti Majlis Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan pelbagai pihak khususnya dari golongan akademik, pelajar institusi tinggi dan golongan intelek negara kita ini. Hanya setakat ini UMNO dan Barisan Nasional sahaja yang mendiamkan diri dari menjawab secara khusus implikasi keputusan mahkamah tersebut.

Apa yang nyata adalah jawapan-jawapan yang hanya tidak menyeluruh seperti jawapan Dato Rais Yatim, “New Straits Times hari ini bahawa "pihak berkuasa, termasuk polis, harus sedia memulihkan kelemahan yang dilaporkan oleh mahkamah dalam keputusan kehakiman mereka sementara menghormati dan mematuhi keputusan hakim.” , namun mereka yang ditahan terus di tahan.

Persoalan dan tergantung nya persoalan sedemikian hanya mencacatkan sistem kehakiman dan mencalar kewibawaan Polis Di Raja Malaysia.

Dihadapan Pak Lah, isu-isu besar lain yang masih tertunggak

Banyak lagi isu-isu besar lain yang nampaknya akan ditanggung oleh Pak Lah sebaik sahaja beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. Isu badan kehakiman yang kini diragui, isu rasuah pemimpin UMNO dan Barisan nasional yang sehingga kini masih beluam diselesaikan lagi, Perwaja Steel dan isu-isu yang terbit semasa kepimpinan Dr Mahathir.

Bagaimana isu-isu ini mempengaruhi politik tanah air dan persepsi masyarakat dunia dan serantau terhadap kepimpinan Barisan Nasional harus juga di kaji oleh Pak Lah.

Mungkin Pak Lah dapat mengatasi isu ini dengan jalan yang paling selamat – yakni kebenaran.....

 

Ghazali Mat Dom