Bersalahkah Datuk Seri Anwar Ibrahim
II.
Ghazali Mat Dom
24-04-2003
Salam kembali kepada Editor Gerbang Tempur Puteri yang telah memberi sedikit ulasan mengenai topik "Bersalahkah Datuk Seri Anwar Ibrahim". Topik hangat dan komen saya yang di terima baik oleh Editor GT Puteri menyimpulkan kematangan dalam menjawab isu, sungguhpun saya amat mengetahui betapa sensitifnya perkara ini kepada sesetengah laman web UMNO dan ahli UMNO secara khusus . Namun tidak dapat tidak kes ini adalah kes yang penting yang perlu di sentuh sungguhpun mahkamah telah membuat keputusan menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Apa pun saya akur bahawa saya adalah antara mereka yang tidak menerima secara menyeluruh keputusan mahkamah tersebut khususnya berkenaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebenarnya buat pengetahuan Editor GT Puteri, saya tidak merujuk keraguan saya mengenai kes tersebut kerana kekurangan 4 orang saksi seperti yang di tuntut oleh undang - undang Syariah tetapi keraguan terbit pada dan ketika perbicaraan itu di buat di bawah Akta Kanun Jenayah dan menuruti perundangan kriminal yang sedia ada di Malaysia.
Sebelum mengulas sedikit mengenai kenapa keraguan saya terbit, saya menyeru kepada semua pelayar laman UMNO-REFORM agar tidak terlampau emosional dalam mengertikan apa yang mahu saya katakan. Saya percaya mungkin ulasan saya akan menggembirakan suatu pihak namun itu bukan hasrat saya. Hasrat saya adalah mengutarakan kebenaran agar keadilan terlaksana secara keseluruhan di Malaysia.
Saya percaya kita dalam UMNO perlu untuk mengambil inisiatif mengkaji dan meneliti apa sebenarnya berlaku sebelum kita menerima sesuatu kenyataan berbentuk tuduhan. Saya dalam UMNO berikhtiar untuk mendapatkan segala input sehingga yakin untuk mengeluarkan kenyataan bahawa saya percaya keraguan berjaya di terbitkan oleh barisan panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Asas keraguan inilah yang membuat saya mengeluarkan kenyataan bahawa meragui keputusan mahkamah dan tidak akan membuat tuduhan meliwat keatas Datuk Seri Anwar Ibrahim
Saya percaya bahawa asas perundangan kita juga mensyaratkan bahawa keraguan adalah elemen spesifik bagi menyelamatkan yang tidak bersalah dari dihukum. Ini menggariskan pengkhususan penting, adalah lebih berat kesalahan kita menghukum mereka yang tidak bersalah dari terbebas nya mereka yang bersalah.
Dalam usaha ini saya cuba walaupun agak terbatas untuk mendapatkan maklumat - maklumat perbicaraan kerana kemampuan saya untuk menghadiri setiap perbicaraan adalah terhad. Namun dalam menyelongkar kenyataan dan hujah-hujah yang ada saya mengambil konklusi bahawa keraguan terbit kalau tidak bagi hakim-hakim mahkamah ianya terbit dalam diri saya. Malangnya untuk berhujah didalam laman ini memungkin suatu masa yang panjang namun apa yang saya syorkan adalah untuk kita membuka topi parti dan meneliti apakah tidak terdapat keraguan yang terbit dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun kalau terus di minta mungkin saya akan mengulas satu persatu keraguan saya.
Saya juga menanti tulisan selanjut Editor GT Puteri mengenai kenyataan Azwan Ali.