Ceti Haram ! kenapa kini semua diam
Ghazali Mat Dom
07hb April 2003
Saya agak terpegun dengan sikap melatah kepimpinan kita khususnya apabila mengutarakan isu-isu rakyat. Mereka bangkit dengan tegas dan kemudiannya kendur bila sudah mencapai matlamat yang di hajat - populariti.
Namun isu sebenarnya tidak pernah "resolved" dengan menyeluruh. Kita tidak pernah mahu mengakhirkan sesuatu isu tersebut dengan penyelesaian menyeluruh atau setidak-tidaknya hampir menyeluruh.
Dalam isu ceti haram, kalau tidak silap saya kebanyakan menteri, ketua-ketua pemuda menyebut perihal isu tersebut. Pelbagai tindakan dikatakan akan diambil tetapi sehingga hari ini masih satu tindakan pun belum nampak berkesan.
Apa yang kelihatan ialah penutupan isu dengan saranan kepada bank-bank tempatan untuk mempermudahkan pinjaman. Kalau setakat saranan, bank-bank yang hanya bertungkus lumus untuk membuat keuntungan tidak akan melaksanakan nya. Saya percaya pelbagai tindakan susulan mampu di buat tetapi apakan daya kita tidak pernah perihatin dengan isu-isu yang melibatkan secara rakyat keseluruhan.
Hari ini semakin banyak iklan berbentuk "calling card", berbentuk "statement gaji" yang memberi kemudahan pinjaman. Banyak nombor-nombor yang dipamerkan namun sehingga ke hari ini tidak ada satu pendedahan menyeluruh penangkapan dan juga inisiatif untuk mengharuskan kegiatan ini. Tidak ada satu badan yang mampu bertindak menyelesaikan masalah mereka yang telah tersepit dengan pinjaman melalui ceti ini.
Apa yang saya nampak ialah isu ini mula kendur dan kepimpinan yang dahulu sebok membuat kenyataan mengenainya kini diam tanpa perlaksanaan.
Saya rayu sekali lagi - Tolonglah, sebelum kita dengan keluarga runtuh dan pelbagai masalah lain kerana isu ceti haram ini.
Ghazali Mat Dom