ISA: Ghazali tidak keseorangan!
AIM, Australia
5:46:25 PM May 16, 2003   

Syabas! Itu perkataan yang paling sesuai untuk saya ungkapkan kepada Saudara Ghazali Mat Dom atas keberanian beliau untuk "merayu" kepada timbalan perdana menteri supaya membebaskan kesemua tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau akhirnya berjaya keluar daripada kepompong majoriti senyap dalam Umno yang hanya mampu mengikut telunjuk pemimpin atasan walaupun mereka sebenarnya tidak bersetuju dengan sesuatu isu.

Saya cuma seorang pelajar yang dihantar untuk belajar diluar negara oleh kerajaan (terima kasih untuk itu) tetapi melihat gelagat yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dalam menangani sesuatu isu, saya hanya mampu menggeleng kepala.

Mengapa? Tidak perlu isu ISA dihurai dengan panjang lebar seperti saudara Ghazali lakukan, cukup untuk kami sebagai pelajar, memahami yang penahanan tersebut diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.

Apa lagi isunya, kalau bukan percaturan politik? Dan mereka inilah yang sering menyeru kepada penyokong Anwar Ibrahim supaya menghormati keputusan mahkamah! Benarlah kata pepatah, paku dulang paku serpih.

Dalam isu majalah the Economist pula, terharu saya melihatkan jawapan Mustapha (Mohamad) sebagai wakil kerajaan bagi menjawab dakwaan majalah tersebut.

Lebih rela saya melihat surat dari Saudara Umar Mukhtar, Saudara Arbibi Ashoy atau Saudara Kim Quek yang senantiasa memberi hujah yang penuh dengan fakta dari melihat surat Saudara Mustapha yang penuh kekeliruan dan tidak ketentuan hujung pangkalnya.

Mungkin Rehman Rashid sudi memberi sedikit nasihat sekiranya Saudara Mustapha perlu menulis di masa hadapan.

Benar parti pembangkang tidak sekuat mana seperti yang didakwa pihak kerajaan, tetapi percayalah Umno akan hilang dari persada politik tanahair suatu hari nanti bukan kerana kekuatan pembangkang tetapi kerana kelemahannya sendiri.