5
Dalil mengapa Khir Toyo Tidak Sesuai Menjadi MB Selangor
by Teng Chang Khim
5 Dalil mengapa Khir Toyo Tidak Sesuai Menjadi Menteri Besar Selangor
Teks Ucapan Teng Chang Khim, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Kawasan Bandar Klang, semasa membahaskan usul menyembah terima kasih serta menjunjung kasih ke atas titah ucapan DYMM Sultan pada 28/29 April 2003 di Sidang Dewan Undang Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Barisan Nasional sedang menghadapi krisis keyakinan (crisis of confidence) sejak YAB Sungai Panjang menjawat jawatan Menteri Besar Selangor. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri terpaksa menasihati Tuanku memberi kepujian sebanyak 2 kali dalam titah ucapan kelmarin.
Mengikut adat sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Negara-negara Komenwel, titah ucapan Tuanku adalah ucapan dasar pentadbiran kerajaan yang disediakan oleh kerajaan yang memerintah. Tetapi oleh kerana ucapan sedemikian merupakan titah ucapan daripada Raja, ia semestinya adalah satu ucapan dasar pentadbiran yang neutral atau bebas pertikaian politik. Perenggan ke 2 titah ucapan tahun 2002 dan 2003 adalah sama setiap perkataannya, word by word, memuji YAB Sungai Panjang mendapat sokongan padu rakyat. Pada hal, pimpinan YAB Sungai Panjang masih belum diuji. Beliau hanya menumpang kejayaan YB Permatang yang memimpin Barisan Nasional memenangi kuasa memerintah dalam pilihanraya umum 1999.
Seolah-olah pujian yang kontroversial ini tidak mencukupi untuk menyakinkan rakyat terhadap kerajaan pimpinan YAB Sungai Panjang, kerajaan terpaksa menasihati Tuanku memuji YAB Sungai Panjang sekali lagi dalam perenggan 66 dan seterusnya menuduh secara umum bahawa “memang ada pihak-pihak tertentu dalam negeri ini tidak percaya dengan kejayaan kita”.
Hakikat bahawa kerajaan perlu menasihati Tuanku memberi kepujian sebanyak 2 kali dan membuat tuduhan umum tersebut sudah lebih daripada memadai untuk mempamerkan kelemahan yang begitu ketara dalam kerajaan negeri yang dipimpini oleh YAB Sungai Panjang.
5 Dalih mengapa YAB Sungai Panjang Tidak Sesuai Menjadi Menteri Besar Selangor
1. Kurang Matang
YAB Sungai Panjang dipilih sebagai Menteri Besar pada tahun 2000 menggantikan YB Permatang yang telah meletakkan jawatan. Sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, beliau mengeluarkan kenyataan bahawa demi mempertahankan hak orang Melayu, beliau sanggup bermandi darah. Dalam konteks keadaan semasa pada alaf yang baru ini, kenyataan menghasut tersebut mencerminkan ketidakmatangan beliau sebagai pemimpin dalam masyarakat majmuk Malaysia ini.
Ketidakmatangan beliau sekali dizahirkan oleh beliau sendiri apabila beliau membuat kenyataan dalam satu majlis pembukaan forum anjuran wanita baru-baru ini bahawa pelacur asing suka melayan pemuda Malaysia kerana pemuda Malaysia hanya boleh bertahan 5 minit sahaja. YAB Sungai Panjang mungkin meluahkan perasaan intisari sanubari beliau mengenai keupayaan beliau sendiri di mana tidak ada orang yang berminat mengetahuinya. Tetapi selaku pemimpin kerajaan negeri, selaku presiden Majlis Belia Malaysia, selaku pemimpin masyarakat Islam, kenyataan beliau itu memalukan kerajaan dan mencerminkan ketidakmatangan beliau sebagai seorang pemimpin kerajaan.
2. Kegagalan Memahami dan Mempamerkan Keupayaan Sebagai Seorang Pengurus
Usaha kerajaan membenteras kegiatan-kegiatan maksiat yang mendatangkan masalah sosial dan moral harus diberi sokongan oleh seluruh masyarakat. Operasi Kelawar yang dilancarkan oleh kerajaan adalah satu usaha yang baik dan perlu diberi sokongan. Tetapi operasi tersebut telah digunakan oleh YAB Sungai Panjang untuk mengaut kepentingan politik dan mencari publisiti murah. Belum pernah dalam sejarah Malaysia ini di mana Menteri Besar sendiri mengetuai pasukan penguatkuasa untuk menyerbu pusat-pusat hiburan yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
Dalam bahasa Cina, pelacur digelar sebagai ayam. Oleh itu, Ops Kelawar ini bolehlah digelar sebagai Ops “Tangkap Ayam”. Daripada jawapan YB Kelana Jaya pada hari semalam, Dewan ini dimaklumkan bahawa beratus “ayam” berlainan specis telah pun ditangkap oleh serbuan yang dipimpini oleh YAB Sungai Panjang tetapi malangnya tidak ramai bapa ayam yang telah ditangkap. Selagi bapa ayam tidak ditangkap, sudah tentu tindakan tangkap “ayam” itu tidak akan berkesan untuk menangani gejala sosial tersebut. Malangnya, YAB Sungai Panjang gagal mengenalpasti masalah pokok dalam isu ini dan seterusnya menguruskan masalah tersebut sebagai seorang pengurus.
Tambahan pula, tindakan YAB Sungai Panjang tersebut amat tidak bersesuaian dengan tugas jawatan dan kedudukan Menteri Besar sebagai penggubal dasar dan pengurus pentadbiran. Di samping itu, ia memberi gambaran kepada orang awam bahawa kerajaan negeri kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap penguatkuasa pihak berkuasa tempatan dan pasukan polis.
Kata Confusuis, “bu zai qi zhi, bu mou qi zheng” yang bererti kalau kamu tidak menjawat jawatan itu, jangan kamu pikul tugas jawatan itu. Biar orang yang bertugas menjalankan tugas jawatannya. Tindakan Menteri Besar nyata telah melampaui batas bidangkuasa dan bidang tugas beliau.
3. Keupayaan Mentadbir Yang Lemah
Walau bagaimana cantik sekali pun bahasa yang digunakan oleh penyokong kerajaan untuk memuji YAB Sungai Panjang, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh mereka ialah prestasi lemah yang dipersembahkan oleh YAB Sungai Panjang dalam pentadbiran kewangan. Perangkaan tidak akan menipu kita. Yang menipu kita itu adalah kita sendiri.
Mengikut Laporan Kewangan Negeri Selangor tahun 2001, di bawah pentadbiran YAB Sungai Panjang, jumlah hasil nyata merosot daripda RM1,157.32 juta kepada RM1,012.65 juta iaitu kemerosotan sejumlah RM144.67juta atau 12 %. Ini menjadikan defisit Akaun Hasil Disatukan bertambah dari RM112.17 juta pada 2000 kepada RM240.39 juta pada tahun 2001.
Setelah mengambil kira prestasi Hasil, Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan, defisit keseluruhan kewangan negeri Selangor meningkat daripada RM183.69 juta pada tahun 2000 kepada RM263.55 juta pada tahun 2001.
Prestasi Belanjawan Kerajaan Negeri yang lemah pula mencerminkan kelemahan kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Sungai Panjang untuk merancang. Laporan Kewangan Negeri 2001 melaporkan bahawa Prestasi Perbelanjaan Pembangunan pada tahun 2000 ialah 90.55% dengan varian atau perbezaan sejumlah RM60.53 juta tetapi bagi tahun 2001, prestasi ini merosot kepada 82.16% di mana varian atau perbezaannya meningkat kepada RM120.90 juta.
Sementara itu, Kumpulanwang Disatukan Negeri yang terdiri daripada Akaun Hasil, Akaun Amanah dan Akaun Pinjaman menguncup dari RM1,563.38 pada tahun 2000 kepada RM1,325.67 juta pada 2001 iaitu kekurangan RM235.71 juta atau kira-kira 15.2%.
4. Pembaziran Kerajaan
Walaupun Kerajaan di bawah pimpinan YAB Sungai Panjang menghadapi kemerosotan pentadbiran kewangan, tetapi dari segi membuat lawatan ke luar negara, kerajaan pimpinan beliau memang handal untuk membuat lawatan ke luar negara.
Pada tahun 2000, jumlah perbelanjaan kerajaan negeri dalam lawatan negara ialah RM865,604.70. Jika diambil kira perbelanjaan yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan negeri seperti PKNS, SSIC dan PKPS yang berjumlah 555,591.39 dan jumlah perbelanjaan lawatan luar negara oleh pihak berkuasa tempatan yang berjumlah RM532,640.28, ini bererti pada tahun 2000 sahaja keseluruhan perbelanjaan lawatan ke luar negara yang dibelanjakan oleh kerajaan ialah kira-kira 1.95 juta.
Bagi Julai hingga September 2001 pula, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM485,610.00 untuk lawatan luar negara.
Bagi tahun 2002 kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.31 juta untuk lawatan luar negara. Sementara bagi 6 bulan pertama 2002, Pihak Berkuasa Tempatan membelanjakan RM66,500.00 dan agensi kerajaan membelanjakan RM 447,297.00 iaitu berjumlah RM513,797.00 untuk tujuan lawatan luar negara.
5. Politik Kronisma, Korupsi dan Nepotisma Dan Kegagalan Dalam Kepimpinan Melalui Teladan
Pepatah Melayu berkata, “guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Kalau kelakuan pemimpin itu buruk, buruk lagi kelakuan anak muridnya. Peribahasa ini mengingatkan kita selaku pemimpin kita mestilah mempamerkan kepimpinan melalui teladan. Dalam konteks ini, YAB Sungai Panjang gagal. YB Sungai Burung telah membangkitkan beberapa kes penyelewengan yang tidak menerima penjelasan yang memuaskan. Hari ini saya akan membangkitkan 2 lagi isu pemberian tanah yang mencurigakan.
Yang pertama, pemberian tanah kerajaan untuk projek pembesaran kampung tradisi fasa 1 di Lot 557, Mukim Dengkil, Daerah Sepang untuk tujuan pertanian. Seramai 107 pemohon telah berjaya dalam permohonan mereka.
Dalam mesyuarat Exco yang meluluskan permohonan tanah Lot 557 ini, seramai 5 orang anggota majlis Exco telah mengisytiharkan kepentingan mereka, iaitu:-
(i) YAB Sungai Panjang (Dato Seri Dr Khir Toyo) selaku Menteri Besar,
(ii) YB Dengkil (Dato Sharif Jajang) selaku ahli Exco,
(iii) Penasihat Undang-undang Negeri (Dato Mohd Zawawi b Salleh),
(iv) Pegawai Kewangan Negeri (Dato Mohd Adzib b Mohd Isa),
(v) YB Taman Medan (Datin Paduka Hjh Norkhaila bt Jamaluddin) selaku Exco.
Walaupun kelima-lima mereka telah mengiystiharkan kepentingan mereka tetapi mereka tidak meninggalkan mesyuarat semasa kertas dibentangkan. Tiada pengerusi telah dilantik untuk menggantikan Menteri Besar sebagai pengerusi dan YAB Sungai Panjang terus mempengerusikan mesyuarat. Dari segi prosedur dan undang-undang, mereka tetap bersalah kerana percanggahan kepentingan.
Dari segi moral, mereka juga bersalah. Sebagai pemimpin tertinggi dalam kerajaan negeri, 5 daripada 15 anggota iaitu 1/3 daripada Majlis Exco mempunyai kepentingan dalam satu permohonan tanah yang sama. Sudah tentu kejadian ini adalah amat aneh. Bagaimanakah tanah yang bertujuan untuk diperbesarkan sebagai kampong tradisi boleh menawan hati begitu ramai pemimpin kerajaan. Apakah mesej dan tanggapan yang pemimpin kerajaan ini cuba berikan kepada rakyat?
Daripada pemohon yang berjaya memperolehi tanah tersebut yang boleh dikaitkan dengan 5 orang pemimpin tersebut adalah seperti berikut:-
(i) Sharom b Mohd Sharif (32 tahun), dipercayai anak YB Dengkil;
(ii) Mohd Zawawi b Hj Salleh, Penasihat Undang-undang sendiri;
(iii) Selamat b Dollah (40 tahun), Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar;
(iv) Zuliana bt Zainal (27 tahun), dipercayai anak YB Taman Medan;
(v) Mohamad Adzib b Mohd Isa, Pegawai Kewangan Negeri.
Antara pegawai kanan kerajaan dan ahli politik yang berjaya memohon adalah seperti berikut:-
(i) Mohd Sharif b Yusof, YDP Majlis Perbandaran Klang;
(ii) Zainal b Md Derus, YB Selat Klang;
(iii) Ambrin b Buang, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;
(iv) Badariah bt Arshad, Setiausaha Sulit Perdana Menteri;
(v) Azizan b Hamid, Penolong Pegawai Daerah, Sepang;
(vi) Mat Noor b Hj Hamat, Ketua Polis Negeri Selangor;
YAB Menteri Besar perlu menjelaskan apakah kriteria yang digunakan dalam meluluskan permohonan tersebut di atas. Sepatutnya rakyat yang miskin, yang daif dan yang berkecimpong dalam pertanianlah yang harus diberi keutamaan dan bukan ahli politik, saudara mara mereka dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang rapat dengan ahli politik tetapi tidak berkaitan dengan pertanian. Tanah tersebut kelihatan diberi sebagai habuan politik untuk memperkukuhkan kedudukan politik individu.
Yang kedua, adalah pemberian tanah di projek pembesaran Kampung Labu Lanjut, mukim Labu Daerah Sepang yang juga untuk tujuan pertanian. Dalam mesyuarat majlis Exco YAB Menteri Besar sekali lagi mengisytiharkan kepentingan berkaitan dengan kakitangan beliau benama Izman Faris bin Rahaman (27 tahun) dan Mohd Adzaman b Mohd Yassin. Tetapi YAB Menteri Besar juga tidak meninggalkan mesyusarat dan terus mempengerusikan mesyuarat yang seterusnya meluluskan permohonan yang melibatkan kakitangan beliau. Dari segi prosedur dan undang-undang, YAB Menteri bersalah lagi.
Pegawai kanan kerajaan yang berjaya dalam permohonan ini adalah, Azhar bin Mohamad Isa, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalanraya. Sementara itu, pemohon yang berjaya dan mempunyai perhubungan politik adalah seperti berikut:-
(i) Mohammad Mokhlis b Abdul Jalil, suami Raja Ropiah bt Raja Abdullah, Ahli Majlis MPPJ;
(ii) Siti Salwanah bt Zainal Rashid (pelajar berumur 21 tahun), anak YB Taman Medan (dalam mesyuarat ini, YB Taman Medan tidak mengisytiharkan kepentingan beliau dan maka itu, dia bersalah dari segi undang-undang);
(iii) Norliza bt Ahmad, Ahli Majlis.
Tanah Kampung Labu Lanjut ini diwujudkan sebagai kampong tradisi bagi memenuhi hasrat masyarakat setempat kerana tanah mereka diambil untuk pembangunan KLIA. Tetapi kebanyakan pemohon yang berjaya bukan sahaja bukan penduduk tempatan, malah ramai di antara mereka bukanlah anak Selangor.
YAB Menteri Besar selaku pemimpin tertinggi kerajaan negeri Selangor mestilah bertanggungjawab sepenuhnya dalam kedua-dua perkara tersebut. Kelulusan permohonan tanah yang penuh dengan bau kronisma, korupsi dan nepotisma adalah tangunggjawab pemimpin tertinggi yang dalam keadaan sekarang sudah kehilangan kewibawaan dan moral autoriti untuk memimpin kerajaan. Hanya satu jalan sahaja, meletakkan jawatan dengan cara terhormat.
Saya membuat seruan ini berasaskan 5 dalih tersebut sebentar tadi dan demi kepentingan dan nama baik kerajaan serta negeri yang kita cintai ini. Sesungguhnya, perletakan jawatan YAB Menteri Besar adalah cara yang paling baik dan sesuai sebagai tanda menyembah terima kasih dan menjunjung kasih titah ucapan DYMM Tuanku. #
- Teng Chang Khim -