BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )

 27 Januari 2006

Sdra Editor,

Dua malam lepas saya hiba dan sayu setelah menonton siaran Buletin Utama TV3 yang menceritakan penderitaan beberapa buah keluarga miskin tegar di Ulu Tembeling, Pahang yang disifatkan oleh wartawan Khaidir Ahmad sebagai “negara akan menyambut Kemerdekaan ke-50 tahun depan akan tetapi masih ada masyarakat kita yang belum terbela”. Semalam saya menonton pula rancangan Bersama Mu yang selalunya menceritakan penderitaan masyarakat Malaysia yang dilupakan, malahan ada yang kelihatan seperti dipinggirkan oleh arus pembangunan. Syabas kepada TV3! yang sentiasa membawa kepada para penonton kisah-kisah benar masyarakat Malaysia dan sentiasa menyedarkan kita para penonton bahawa sewajarnya kita bersyukur dengan apa yang kita nikmati sehingga ini lantaran masih ada yang belum bernasib baik seperti kita. Dan mereka ini berada tidaklah jauh daripada kita.


Setelah melayan perasaan sedih dan dukalara ini, saya pun terfikir di manakah pembelaan? Bilakah pembelaan akan menjelma? Dan siapakah yang akan membela mereka? Dalam kes penderitaan di Ulu Tembeling itu, sehari selepasnya Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pun mengumumkan pakej pembelaan yang antara lainya, berupa pembiayaan persekolahan untuk semua anak-anak yang terbabit dan bantuan kewangan bulanan bagi setiap keluarga. Saya amat terharu dengan ketangkasan tindakan Adnan dalam menangani keluhan dan tangisan mereka yang terbabit. Alangkah baiknya andaikata pembelaan ini sudah berada di tempatnya tanpa perlu dilaporkan oleh TV3.


Maksud saya adalah secara teori dan praktikalnya dan secara prinsipnya setiap sentimeter bumi Malaysia yang bertuah ini adalah bertuan. Jelasnya ialah selain diliputi oleh kawasan-kawasan Parlimen, kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri, setiap sentimeter bumi Malaysia juga berdalam dalam kawasna operasi Pejabat Pegawai Daerah, Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Dewan Bandaraya dan ini juga dipertingkatkan lagi dengan kehadiran dan liputan oleh cawangan dan bahagian UMNO di sesuatu kawasan yang bermakna ianya sentiasa dipantau oleh pergerakan-pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan Putera UMNO dan cawangan dan bahagian parti-parti komponen Barisan Nasional.

Secara teori dan praktikalnya kesemua badan ini dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sewajarnya memantau apa yang berlaku di kawasan mereka dan amat peka akan perkembangan-perkembangan yang berlaku di kawasan setempat. Andaikata hendak diberikan alasan lagi, mengikut teorinya masyarakat Orang Asli hatta di pedalaman sekalipun dipantau oleh sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan khusus untuk memelihara kepentingan mereka. Pendek kata, tiada yang akan terlepas pandang! Akan tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Dan malang sekali ianya berlaku setiap hari lantaran setiap malam akan ada kisah penderitaan rakyat yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3. Justeru, kita terus disajikan dengan cerita-cerita sedih, pedih, duka dan nestapa masyarakat yang kelihatan seperti dilupai dan dipinggirkan. Apakah benar mereka dilupai? Apakah benar mereka dipinggirkan? Apakah benar mereka akan terus hidup tanpa pembelaan sebelum krew TV3 sampai ke penderitaan mereka? Sekiranya TV3 tidak menyiarkan kesemua ini, pastinya kita masyarakat yang selesa dengan kehidupan harian akan menganggap bahawa tidak ada di kalangan masyarakat kita yang merempat di bumi sendiri, berkelana, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dan pelbagainya yang menyayat hati dan mencetuskan perasaan sedih dan pedih di kalangan kita yang menontonnya.


Seperti yang berlaku di Ulu Tembeling, pembelaan daripada Menteri Besar Pahang tiba dengan sekelip mata! Namun kita tidak boleh memuji dengan mengatakan bahawa Adnan adalah seorang prihatin kerana antara tugas utama Menteri Besar adalah bersifat prihatin dan peka akan nasib dan ikhtiar-hidup (survival) anak-anak buahnya, hatta mereka yang berada di pedalaman. Disamping tugas-tugas lain yang mencabar, beliau, sepertimana menteri-menteri besar yang lain hendaklah peka akan nasib anak bangsa yang perlukan pembelaan. Saya tersentuh dengan tindakan pantas Adnan akan tetapi ingin bertanya “di manakah wakil rakyat setempat?” Di manakah mereka yang bergelar Yang Berhormat?

Di manakah Ahli Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri, Ketua Bahagian UMNO, Ketua Cawangan UMNO, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan pelbagai ketua lagi? Apakah mereka hanya berada bersama-sama rakyat apabila hanya berlakunya pilihanraya-pilihanraya kecil dan pilihanraya umum? Atau hanya berada di kawasan-kawasan berkenaan apabila berlakunya lawatan-lawatan pembesar negara ke tempat-tempat berkenaan? Dan di manakah mereka yang mendakwa diri sebagai pejuang Hak Asasi Manusia? Di manakah para pejuang masyarakat yang (lambat siang, seperti kata orang Kedah) terus melompat apabila terdengar ada kes penganiayaan terhadap rakyat? Bukankah masyarakat seperti di Ulu Tembeling ini telah teraniaya? Di manakah juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa menghiasi dada akhbar dengan apa yang mereka sifatkan sebagai perjuangan membela bangsa? Di manakah mereka apabila rakyat marhaen memerlukan mereka? Andaikata TV3 tidak menyiarkan kisah duka masyarakat Ulu Tembeling maka kita tidak akan mengetahui masih ada mereka yang terbiar dan dilupai oleh arus pembangunan ketika negara akan menyambut Kemerdekaan ke-50 tahun depan. Dalam soal ini, siapa lagi yang kita dapat harapkan untuk membela rakyat sekiranya bukan TV3 dan juga media cetak seperti Utusan Malaysia yang sentiasa berada dekat dengan hati rakyat dan hampir dengan penderitaan golongan kurang bernasib baik ini.



Pada dasarnya saya berpendapat bahawa sekiranya kisah sedih rakyat sudah dilaporkan oleh media, maka mereka yang diamanahkan untuk berbuat demikian, khususnya wakil rakyat setempat, tidak lagi berfungi dan tidak lagi relevan kepada perjuangan membela rakyat. Pendek kata, wakil rakyat setempat tidak membuat kerja sehinggakan orang lain boleh meninjau apa yang berlaku di kawasan mereka, yang bermakna mereka tidaklah sensitif dengan perkembangan semasa di kawasan mereka sendiri! Malaysia akan berusia 50 tahun dan kita masih ada wakil rakyat yang bersifat begini? Bukankah ini tugas mereka, yang bersifat “wakil kepada rakyat” dalam setiap hal dan ketika.

Saya tidaklah bermaksud sang wakil rakyat menghulurkan bantuan kepada keluarga malang daripada poket mereka sendiri kerana itu bukanlah tugas wakil rakyat kerana tugas sebenarnya ialah membawa nasib rakyat kepada pengetahuan pihak yang berkuasa, sebabnya berapalah sangat elaun wakil rakyat? Selain itu, tugas-tugas utama mereka adalah memanjangkan permohonan rakyat dalam sesuatu hal kepada jabatan-jabatan kerajaan dan pihak swasta yang tertentu, mendengar penderitaan rakyat dan mencari jalan agar nasib mereka dibela menerusi peruntukkan yang disediakan, memperkenalkan pelbagai rancangan di kawasan-kawasan setempat agar taraf hidup rakyat dipertingkatkan dan yang lebih penting menjadi penghubung antara rakyat dengan koridor kuasa di ibu negeri dan di ibu negara. Penanda aras keberkesanan perlaksanaan amanah ini adalah apabila tiada kisah rakyat dilaporkan oleh media kerana biasanya media adalah pihak terakhir yang akan dihubungi oleh orang-orang kampung dalam menceritakan masalah mereka setelah kesemua ikhtiar mereka gagal. Penanda arasnya adalah apabila mereka masih melaporkan kisah-kisah ini, maka wakil rakyat yang diamanahkan itu tidak membuat kerja! Sewajarnya sang wakil rakyat berasa tercabar apabila amanah mereka menjaga kepentingan kawasan parlimen dan dewan undangan negeri ini telah dilaksanakan oleh pihak lain sedangkan mereka telah berjanji untuk membela nasib isirumah yang terbabit.


Perlu diingatkan bahawa mereka tidaklah dipaksa untuk menjadi wakil rakyat, sebaliknya ada antara mereka ini yang bermati-matian menonjolkan diri kepada pihak atasan agar dipilih menjadi calon dan seterusnya berjuang berhabis-habisan untuk memenangi hati rakyat dalam proses demokrasi yang diadakan. Dan, seperti biasa janji pilihanraya mereka yang pertama ialah meneruskan Tradisi Membela Rakyat. Ini adalah kerana disebabkan status Malaysia sebuah negara membangun, maka pembangunan hendaklah menjadi teras kemajuan, yang bermakna setiap rakyat biar di bandar, desa, ceruk dan kubang, parit, kampung dan tanah rancangan tidaklah boleh dilupai dan hendaklah menjadi sebahagian penting dalam proses pembangunan negara ini. Melupakan rakyat akan dilihat sebagai tindakan mungkir janji kepada mereka yang memilih wakil rakyat.

Membiarkan rakyat hidup dalam penderitaan di ambang negara menyambut usia ke-50 Kemerdekaan adalah suatu penderhakaan terhadap janji yang mereka buat kepada rakyat dan meneruskan hidup dalam penafian bahawa semuanya beres di kawasan adalah suatu penipuan terhadap mandat yang rakyat miskin termasuklah yang miskin tegar berikan kepada mereka semasa proses demokrasi. Akhir kata, sanggup memegang jawatan bermakna sanggup berkorban dan apabila kita sanggup berkorban bererti bahawa kita sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan bahawa Agama, Bangsa dan Tanah Air kita tidak menjadi korban!


ZUKRI VALENTENO
Alor Setar, Kedah

Ahli UMNO Kuala Kedah

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762