|
Zaid meniti di atas bara
ROSLAN SMS
Sehingga kini siapa yang tidak kenal akan Zaid Ibrahim.
Ahli Parlimen Umno dari Kota Bharu ini memang sering melibatkan
diri dalam tindak-tanduk dan aktiviti yang lazimnya dijauhi oleh
umat Islam. Beliau gemar membabitkan dirinya dengan isu-isu
kontroversial barangkali untuk menonjolkan dirinya sebagai juara
yang berfikiran moderat dan liberal kononnya.
Sejahat-jahat atau senakal-nakal seorang Muslim pun ada
perkara-perkara tertentu khasnya berkaitan dengan hukum dan
aqidah yang tidak akan disentuh atau cuba-cuba diperlekeh dan
dipermainkan.
Kerja-kerja melampau dan tidak sensitif seumpama ini biasanya
hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar bermasalah dan mahu
mencabar peraturan agama seumpama Salman Rashdie, Taslima
Nasreen, Mustapha Kamal Atartuk dan Maharaja Akhbar.
Zaid yang merupakan kudis politik dalam Umno itu hari ini
meneruskan agendanya setelah terlibat secara terbuka dalam
Persidangan Meja Bulat anjuran DAP yang membincangkan isu
Allahyarham Moorthy dan Perkara 121(1)(A) satu ketika dahulu dan
baru-baru ini turut terlibat dengan kumpulan Artikel 11.
Hari ini dalam akhbar The Star dalam ruangan pembaca, Zaid
menzahirkan pandangannya berkenaan kod pakaian seragam bagi
pelajar perempuan di sekolah-sekolah kerajaan.
Mengulas kontroversi kes Pengetua Sekolah di SMK Abdullah Munshi
baru-baru ini, Zaid berkata Menteri Pelajaran perlu:
Make clear what the permitted dress codes are and what issues
concerning morality that teachers can impose on students.
Menjelaskan apakah kod pakaian sekolah yang dibenarkan dan
apakah jenis-jenis peraturan akhlak yang boleh guru kenakan
terhadap para pelajar.
Bagi Zaid sekolah adalah tempat dimana anak-anak kita menimba
ilmu semata-mata sebagaimana yang ditetapkan oleh sukatan
matapelajaran dan tidak lebih dari itu. Ianya tempat membuka
minda pelajar dan bukannya menyemptikan kata beliau.
Saya percaya bagi Zaid menerapkan nilai-nilai keagamaan, khasnya
dalam hal ini nilai-nilai Islam kepada para pelajar di sekolah,
akan hanya menyempitkan minda anak-anak kita!
Bagi Zaid pematuhan terhadap agama dan moral adalah penting
namun ianya adalah tanggungjawab ibu-bapa dan bukannya sekolah.
Bagi beliau :
Certain things in life should be left to the individual students
and their parents. One of them is, of course whether or not
female students should wear the tudung.
Ada beberapa perkara dalam kehidupan ini yang perlu diselesaikan
antara individu pelajar dengan ibu-bapa masing-masing, salah
satu antaranya sudah pastilah samada seorang pelajar itu perlu
menggunakan tudung kepala ataupun tidak.
Jangan kita terkejut dengan kenyataan Zaid ini kerana ini
bukannya kali pertama beliau bersikap demikian yang sebenarnya
hanya mencerminkan longgar dan dangkalnya pengetahuan dan ilmu
agama beliau. Sebelum ini pernah dalam persidangan Parlimen yang
lepas Zaid mencadangkan agar satu jenis judi baru dilesenkan
untuk menampung kos perbelanjaan aktiviti sukan dalam Negara!
Kalau yang membuat kenyataan seumpama ini seorang pemimpin atau
tokoh bukan Islam, mungkin beliau boleh dimaafkan kerana tidak
memahami asas-asas hukum-hakam Islam. Akan tetapi apabila yang
mengeluarkan kenyataan ini seroang ahli parlimen Melayu Islam,
seorang bekas Ketua Umno Bahagian pula maka saya rasa ianya
tidak boleh dibiarkan begitu. Pihak-pihak berwajib khasnya yang
mengawal agama perlu bertindak.
Kalau atas Ashaari Muhammad dahulu kita berani bertindak kerana
kononnya membawa ajaran Islam yang sesat lagi menyesatkan,
bagaimana pula dengan Zaid ini?
Dalam hal ini kepentingan politik perlu kita ketepikan,
sepatutnya semua pihak khasnya sahabat-sahabat dalam Umno perlu
mendesak agar tidakan diambil terhadap Zaid ini, kerana
kelonggaran dan kedangkalan ilmu Islamnya itu kelak akan
merugikan semua pihak dan mencemarkan ajaran Islam yang
sama-sama kita pegangi.
Bangkitlah wahai orang Kota Bharu!
SILA KE BLOG ROSLAN SMS
http://n32.blogspot.com
|