BALIK KE MUKA UTAMA


LAYARI LAMAN WEB WWW.PROWARIS.ORG DAN DAFTARLAH DENGAN PROWARIS@YAHOOGROUPS.COM


BUKAN KE BELAKANG
Oleh WM Jauhari Ismail

MELAYU 2.0

Kalau hendak dibicarakan isu-isu yang menjadi dilema umat Melayu ini memang tidak akan kehabisan... Isu dulu pun tidak selesai, kini bertimbun pula isu baru.

Pra Merdeka Melayu dihantui isu ketuanan Melayu dan isu kesatuan umat Melayu, juga isu Bahasa Melayu dan Agama Islam.

Selepas Merdeka, isu itu juga masih belum selesai dan ditambah pula dengan isu ekonomi umat Melayu yang tenat. Isu pendidikan anak-anak Melayu dan isu kuasa politik dan isu kuasa ekonomi umat Melayu yang semakin menipis, seperti menipisnya 'ozone layer'.

Setiap pemimpin yang mengaku pejuang untuk bangsa Melayu, boleh dikatakan gagal, ramai yang gagal walaupun ada polisi dan dasar beberapa pemimpin Melayu ini memberikan kesan positif, tetapi secara amnya, pemimpin kita gagal.

GAGAL

Maharaja Meiji

Gagal pemimpin bermakna gagal jugalah orang Melayu. Dr Mahathir sedikit masa dulu ada mengupas secara mendalam, isu-isu yang menjadi dilemma kepada orang Melayu, berdasarkan kupasan itu, beliau cuba membuat beberapa polisi yang dirasakan dapat mengekang dan membebaskan orang Melayu dari bergelut dengan dilemma tersebut. Namun setelah hampir 22 tahun memerintah Malaysia, beliau mengakui telah gagal dalam merubah minda Melayu lantas gagal juga membawa Melayu keluar dari dilemmanya itu. Kini Melayu masih lagi bergelumang dengan dilemmanya, sama seperti Melayu yang sebelum merdeka...

Memang senang untuk menunding jari dan meletakkan kesalahan ini terus kepada pemimpin kita, dalam hal ini kita boleh letakkan kesalahan itu terus kepada Dr Mahathir, kerana kegagalan polisi beliau itu. Tetapi adakah dengan menuding jari itu akan dapat merobah nasib dan minda orang Melayu itu, justeru mengeluarkan Melayu dari kemelut dilemmanya itu? Jawapannya sudah tentu tidak... Tidak ada kuasa sakti yang datang dari jari itu, tundinglah sebanyak mana sekalipun, tidak akan ada 'magik' yang akan berlaku, Melayu tetap tidak akan berubah. Itulah juga yang sering diperkatakan berkali-kali oleh para pemimpin Melayu, baik Dato' Onn, hingga ke Dr Mahathir dan kini Abdullah Badawi... dan saya percaya, ianya akan terus diulang-ulang lagi sehingga hari kiamat, Melayu itu akan tetap Melayu dan tidak akan berubah.

ULANG

Sebegitu banyak slogan "tidak Melayu hilang didunia" itu diulang-ulang, sebegitu banyak jugalah pesanan dan nasihat untuk Melayu itu supaya berubah akan dilaung-laungkan... Namun laungan akan hanya tinggal laungan sahaja... Tetap Melayu itu tidak akan berubah.

Dalam Al Quran jelas dikatakan, bahawa tidak akan berubah nasib sesuatu kaum itu sehingga ia merubah nasibnya sendiri. Ini adalah firman Allah Azzawajalla dalam Al Quran... Boleh dikatakan semua Melayu ini tahu dan membaca ayat-ayat ini berulang-ulang, namun ianya hanya tinggal bacaan sahaja, tetap Melayu itu tidak akan berubah...

Adakah ini sebenarnya ketentuan Allah kepada umat Melayu... Supaya umat Melayu ini kekal sebagai umat yang sentiasa keterbelakang, dan kekal sebagai umat yang gagal? Adakah takrif Melayu itu sendiri membawa maksud LAYU atau LEMAH atau GAGAL? Kalau ini betul, maka wajarkah kita mencari satu nama baru atau identiti baru untuk bangsa Melayu ini? Adakah ini bermakna kita mesti melalui pula satu proses sosial reengineering? Seperti yang dilakukan oleh Sukarna pada bangsa Indonesia dan Hitler kepada bangsa Jerman? Mencari identiti baru untuk dipakai dan dibudayakan oleh Melayu versi baru ini nanti?

Mao dan Hitler

Kalau ini dirasakan perlu, maka perlukah Melayu Versi 2.0 (Codename MV2) menganjurkan revolusi budaya atau revolusi minda, seperti yang pernah di unjurkan oleh Mao Zedong dan Hitler, juga 'social reengineering' yang di bawa oleh Sukarno untuk bangsa Indonesianya! Formula mereka ini terbukti berjaya, lihat bangsa Jerman sekarang, sudah begitu maju dan menjadi kuasa yang dominan dalam dunia hari ini. Kalau dulu, orang Jerman begitu hina dan mereka lemah dalam segala bidang, ekonomi mereka dikuasai oleh Yahudi, sehingga Hitler bangkit dan menyuntik semangat dan identiti baru kepada setiap rakyat bangsa Jerman. Hasilnya kita dapat lihat jelas pada hari ini. Orang Jerman jadi begitu dominan dan mahir dalam segala bidang.

Orang Jepun, sebelum zaman Emperor Meiji, juga begitu... Satu perkara yang mereka tahu adalah bertelagah sesama sendiri, persengketaan antara puak-puak ini memang menjadi budaya mereka, seolah-olah, kalau mereka tidak bersengketaan, mereka bukanlah dari bangsa Jepun, pada mereka bangsa Jepun itu adalah bangsa yang bersengketa sesama-sendiri... Selama beratus tahun mereka ini buat kerja begini, berbunuhan antara satu puak dengan puak yang lain, puak Shogun dengan puak-puak militer yang lain. Keadaan ini berterusan sehingga 250 tahun, sehingga puak Shogun in dijatuhkan dan Emperor Meiji kembali berkuasa. Untuk menjadikan orang Jepun seperti yang ada sekarang, mereka juga telah melalui bermacam cabaran dan dilemma mereka sendiri, bukan Melayu sahaja yang ada dilemma, malah orang Jepun juga ada, orang Jerman juga ada. Setelah beribu tahun bersengketa, akhirnya orang Jepun merasakan mereka sudah malas untuk bersengketa, dan rasanya sudah tiba masa untuk berdamai dan bersatu, menumpukan tenaga dan fikiran mereka untuk berjaya dalam bidang teknologi dan ekonomi.

SENGKETA

Hang Tuah

Kalau dibandingkan dengan orang Melayu, ada juga persamaannya, yang berbeza hanya tamaddun Jepun ini sudah lama kewujudannya, begitu juga dengan tamaddun Jerman dan tamadun Cina, sedangkan tamadun Melayu Islam ini masih begitu jagung jika dibandingkan dengan mereka. Namun itu bukanlah alasan untuk kita terus bertelagah dan terus bersengketa sesama kita... Orang lain sudah mahu, sedangkan kita masih tidak tahu melangkah, orang lain melangkah kehadapan, kita melangkah kebelakang. Sudah tentulah kita tidak akan maju, kerana untuk maju itu kena langkah kehadapan, bukan kebelakang. Kita tidak perlu tunggu sehingga beratus tahun untuk kita sadar dan mula bersatu untuk melangkah kehadapan, dikala itu mungkin orang lain sudah begitu jauh dan kita mungkin sudah dikira sebagai bangsa primitif dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain. Kita akan ketinggalan jauh, mungkin 50 atau 100 tahun dibelakang orang-orang lain.

Ketepikan isu-isu ekonomi, isu pendidikan, isu bahasa, isu politik, isu agama, isu gender... Hari ini dan saat ini kita orang Melayu cuma perlu bersetuju dengan satu perkara; iaitu untuk melangkah kehadapan. Adakah ianya begitu sukar untuk dilakukan? Melangkah kehadapan? Jangan peduli orang lain, kita tanya diri kita, bolehkah saya melangkah kehadapan? Mampukah saya? Kalau jawapannya Ya, maka marilah kita melangkah bersama-sama.

Tun Perak

Betul, kita perlukan seorang pemimpin yang luar biasanya wibawanya, seperti juga luar biasanya Meiji, dan luar biasanya Mao Zedong, serta luar biasanya Hitler dan Sukarno... Namun pemimpin begini hanya datang sekali dalam seratus tahun. Begitu juga dengan Hang Tuah atau Tun Perak, tidak mungkin akan turun lagi seorang yang seperti mereka-mereka ini, namun janganlah ini dijadikan alasan untuk berhenti melangkah, dan duduk berteduh dibawah pokok sahaja. Janganlah begitu, benar... Kita tidak ada lagi pemimpin yang begitu, yang ada ini cuma cebisan dari apa yang kita dambarkan, tetapi kalau kita lihat pada diri kita sendiri, cebisan-cebisan itu ada juga terlekat pada diri kita ini, jadi apa bila cebisan-cebisan kepimpinan ini kita satukan antara umat Melayu yang ramai ini, maka kesatuan cebisan itu akan mampu membentuk satu kepimpinan yang luar biasa juga... Walaupun kualiti kepimpinan itu tidak ada dalam seorang pemimpin tetapi kualiti itu boleh disatukan dan boleh dikumpulkan dari antara kita-kita ini. Ini juga satu bentuk kepimpinan yang baik, tidak perlu kita tunggu dan terus menunggu untuk seorang Tun Perak muncul lagi, atau seorang Dato' Onn muncul lagi... Kita pun tidak tahu bila orang begini akan muncul atau mungkin mereka tidak akan muncul terus. Begitupun, kita pasti mampu berikhtiar, kita buat yang terbaik... Akui kelemahan kita dan perbaiki... supaya kelemahan itu ditampalkan dengan kekuatan.

Takdir itu boleh berubah dengan doa, seiring dengan langkah kita itu, doa juga adalah perlu, ini janji Allah Azzawajalla dalam Al Quran, jika kita berdoa dan berikhtiar, sudah tentu akan ada jalan keluar, dan kita mampu melangkah lebih laju dan lebih jauh lagi. Nasib bangsa kita boleh berubah, tapi ikhtiar dan usaha itu mestilah kita mulakan dulu, langkah itu mesti dihayun dulu.

Bersambung...

WM Jauhari Ismail
Timbalan Presiden ProWaris Malaysia


LAYARI LAMAN WEB WWW.PROWARIS.ORG DAN DAFTARLAH DENGAN PROWARIS@YAHOOGROUPS.COM


 

 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762