BALIK KE MUKA UTAMA

 


MRR2: Samy mengaku -- * Retak bertambah besar * Kerja pembaikan dilakukan segera
Oleh HATA WAHARI dan FAUZI JAAFAR


PETALING JAYA 16 Jan. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mengakui keretakan di Jejambat Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semakin membesar sejak tiga bulan lepas.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan kepada pengguna supaya tidak bimbang kerana kerja-kerja pembaikan akan dijalankan secepat mungkin.

Samy dalam sidang akhbar di sini juga mengakui kerja-kerja pembaikan itu telah lewat dua bulan.

Ditanya mengapa tindakan tidak diambil terhadap kontraktor terbabit, Bumi Hiway (M) Sdn. Bhd. yang sepatutnya menjalankan kerja pembaikan itu, beliau secara sinis berkata:

``Biar dia (kontraktor) buat dululah (pembaikan jejambat MRR2) kalau sekarang kita ambil tindakan, kenakan denda, dia masuk penjara siapa yang mahu buat kerja-kerja itu.''

Mengenai maklumat sulit yang diperoleh Utusan Malaysia seperti dalam laporannya hari ini, beliau berkata:

``Saya percaya pendedahan Utusan Malaysia itu dilakukan oleh orang dalam yang ingin memperbesar-besarkan perkara tersebut.

``Dia (orang yang mendedahkan maklumat ini) mengambil laporan rahsia tersebut yang telah disimpan di kementerian, membawanya keluar dan serahkan kepada pihak media. Saya tahu ia kerja orang dalam.''

Beliau menjelaskan, apa yang berlaku dalam kes jejambat MRR2 ialah kementerian sedang menunggu membran kalis air yang diimport khas dari United Kingdom untuk membaiki jejambat itu.

``Tetapi apa yang orang dalam itu tidak tahu, ialah membran kalis air ini telah sampai, kerja-kerja pembaikan akan dilakukan.

``Hari ini saya dah lihat semua membran kalis air ini, kontraktor pun sudah dipanggil ke pejabat dan minta teruskan kerja-kerja pembaikan,'' kata beliau.

Mengenai kemungkinan jejambat itu akan runtuh, Samy berkata:

``Saya tahu, banyak orang kata MRR2 akan runtuh, seperti orang kata dunia akan runtuh satu hari nanti, tetapi itu tidak akan berlaku.

``Kita (JKR) bukanlah duduk (diam) tengok sahaja bila jambatan itu runtuh, beberapa tindakan telah diambil.

``Pengguna-pengguna MRR2 jangan takut, jangan terkeliru, kerja-kerja sedang dijalankan untuk memperbaiki jambatan tersebut, itu sajalah nasihat daripada saya.''

Ditanya mengapa jejambat itu bergoyang: ``Tidak ada berlaku goyang. Kalau jambatan itu bergoyang ia telah lama runtuh. Ia hanya bergegar. Tekanan menegak yang tidak ditolak dari mana-mana arah tetapi kerana beban kenderaan yang melalui jambatan.

``Setiap hari jambatan itu digunakan kira-kira 120,000 hingga 130,000 kenderaan sehari setiap minit dan secara semula jadi akan berlaku gegaran dan akan berlaku keretakan kecil, ia (keretakan) akan membesar sebab kita belum baiki lagi.''

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai jejambat retak di MRR2 dekat Kepong yang ditutup tiga bulan dan dibuka semula November lalu masih tidak selamat digunakan.

Utusan Malaysia yang menerima maklumat penting itu diberitahu, lebuh raya bertingkat itu boleh runtuh jika kerja-kerja membaiki keretakan strukturnya (31 daripada 33 tiang dan palangnya retak) tidak dilakukan segera.

Maklumat sulit teknikal yang diperoleh akhbar ini mendedahkan, runtuhan boleh berlaku apabila tahap rekahan yang sedang membesar itu mencecah pada kadar 0.4 peratus. Pada masa ini, tahap merekahnya berada pada kadar 0.2 peratus. Proses merekah melebar pada kadar 0.1 peratus setahun.

Menurut Samy lagi, syarikat perunding MRR2 iaitu Halcrow Group Limited telah menghantar cadangan kepada kementerian untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan kalis air agar semua tiang sedia ada dan di atas tiang akan menghalang air masuk ke dalam konkrit sedia ada.

Kemudian katanya, selepas kerja-kerja tiang dilakukan, `pre-stress structure' yang mengukuhkan struktur akan dibuat dalam usaha memperkukuhkan tiang-tiang jejambat.

Beliau juga memberitahu, jemaah menteri bersetuju kos bayaran pembaikan hendaklah dibiayai oleh kontraktor terbabit dengan syarat mesti mengimport membran kalis air yang berkualiti tinggi.

Kontraktor terbabit akan memulakan kerja-kerja pembaikan dan menyelesaikannya pada bulan Mac ini, kata Samy.

Pada minggu pertama bulan itu, Halcrow kata beliau, akan menghantar lukisan untuk memasang `pre-stress bar' dan `pre-stress steel works' selepas selesai kerja-kerja pemasangan membran kalis air.

``Semua kerja-kerja pembaikan ini akan selesai pada bulan Jun ini, bagaimanapun kerja-kerja pembaikan telah lewat dua bulan dan kita (JKR) akan memastikan kontraktor mengikut tempoh masa yang ditetapkan itu,'' tegas beliau.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762