|
Jejambat MRR2 tak selamat -- Kontraktor
dilantik masih belum mulakan kerja-kerja pembaikan
Oleh Zaini Hassan
Utusan Malaysia 16-01-2006
KEADAAN jejambat di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dikatakan
masih tidak selamat digunakan sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan yang
melalui - di atas dan di bawahnya - di Kepong, Kuala Lumpur, semalam. -
Gambar AZLI AHAD.
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Jejambat retak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2
(MRR2) dekat Kepong di sini, yang ditutup tiga bulan dan dibuka semula
November lalu, masih tidak selamat digunakan - ia berhayun kuat dan
dipercayai berada di tahap akhir toleransinya.
Utusan Malaysia yang menerima maklumat penting itu diberitahu, lebuh
raya bertingkat itu boleh runtuh jika kerja-kerja membaiki keretakan
strukturnya (31 daripada 33 tiang dan palangnya retak) tidak dilakukan
segera.
Maklumat sulit teknikal yang diperoleh mendedahkan, runtuhan boleh
berlaku apabila tahap rekahan yang sedang membesar (expansion) itu
mencecah pada kadar 0.4 peratus.
Pada masa ini, tahap merekahnya berada pada kadar 0.2 peratus. Proses
merekah itu melebar pada kadar 0.1 peratus setahun.
Ini bermakna, jangka hayat jejambat itu hanya boleh bertahan dua tahun
lagi.
Menurut pakar pembinaan jambatan kepada Utusan Malaysia, tempoh setahun
ini merupakan tempoh yang ``penuh dengan risiko jika kerja-kerja
pembetulan tidak dilakukan segera. Tahap risikonya meningkat dari sehari
ke sehari.
``Jejambat itu perlu ditutup sehinggalah kerja-kerja itu dijalankan. Apa
yang berlaku sekarang beban kenderaan yang berada di laluan itu,
terutama ketika waktu puncak sungguh berbahaya kepada jejambat itu.
Jejambat itu berhayun. Saya sendiri takut apabila berada di atasnya,
kita akan rasa pening,'' kata sumber teknikal itu yang tidak mahu
didedahkan identitinya.
Bagi membuktikan apakah dakwaan itu benar, Utusan Malaysia menjalankan
tinjauan dan didapati terdapat hayunan kuat di atasnya.
Walaupun pakar pembinaan jambatan itu memberitahu, hayunan itu adalah
normal dan boleh berlaku, tetapi bagi MRR2 katanya terdapat ``elemen
yang amat meragukan.
``Kekuatan besi di dalam strukturnya telah lemah (yield) kerana besi
semakin memanjang. Ini mengakibatkan kekuatan simpanan (reserve) pada
besi itu sudah berkurangan,'' katanya yang menerangkan secara teknikal
kedudukan jejambat itu.
Keretakan pada jejambat sejauh 1.7 kilometer itu telah menimbulkan
kontroversi tahun lalu sehingga memaksa ia ditutup pada 8 Ogos. Ekoran
itu satu kumpulan pakar perunding yang menjalankan kajian keretakan itu,
Halcrow Group Limited dari United Kingdom dilantik bagi mengkaji
kedudukan jejambat tersebut selama sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul
Samad yang diberi taklimat oleh pakar perunding itu turut mengakui
bahawa keretakan itu memang serius dan jejambat itu hanya mempunyai
hayat selama dua tahun lagi.
Bagaimanapun atas ``sebab-sebab yang tidak diketahui'' Halcrow kemudian
mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Shahrir itu.
Malah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu juga telah
mengeluarkan kenyataan mengatakan ``keretakan yang berlaku pada jejambat
itu disebabkan oleh keretakan kecil akibat takungan air di dalam konkrit''.
Akhirnya, jejantas enam lorong dua hala itu buka semula empat lorong
kepada pengguna jalan raya kira-kira pukul 3 petang 12 November lalu.
Bagaimanapun ia hanya dihadkan kepada kenderaan ringan sahaja.
Kementerian Kerja Raya menjanjikan kerja-kerja pembaikan membabitkan kos
RM20 juta akan siap pada Jun tahun ini.
Malangnya, janji kementerian itu dijangka tidak dapat dipenuhi.
Ini kerana, sumber kementerian memberitahu: ``Pihak kontraktor - Bumi
Hiway (M) Sdn. Bhd. - masih gagal memulakan kerja.''
Bak kata pepatah ``retak menunggu belah,'' apakah semua pihak mahu
menunggu sehingga jejantas gergasi enam laluan itu runtuh dulu baru mahu
bertindak?
Tidak boleh dibayangkan sekiranya tragedi ini berlaku, kerana jumlah
pergerakan manusia di atas atau di bawah jejambat itu sungguh tinggi
pada hari-hari bekerja.
Utusan Malaysia memulakan penyiasatan ini setelah menerima aduan
daripada orang ramai yang mendakwa berlaku goyangan yang kuat di atas
jejambat di MRR2 itu semasa berlakunya kesesakan lalu lintas.
Malah, Utusan Malaysia turut dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),
pihak mereka telah menerima banyak aduan mengenai fenomena goyangan
tersebut.
Seorang pemandu yang berulang alik ke tempat kerjanya di Kepong dari
Setapak setiap hari, Mohd Noor Sarip, 41, membuat pengakuan ini.
``Pada bulan lalu semasa saya terperangkap akibat kesesakan trafik di
atas jejambat itu, saya dapat merasakan goyangannya terlalu kuat. Saya
kata, sudah macam ini. Kalau jejambat ini runtuh habislah.
``Saya rasa sungguh tidak yakin pada ketika itu.''
Seorang lagi pemandu, Zulkarnain Hassan, 39, yang juga sering berulang
alik menggunakan lebuh raya itu memberitahu, beliau dapat merasakan
lebuh raya bertingkat itu bergoyang semasa kenderaannya beratur panjang
ketika berlaku kesesakan lalu lintas di atasnya.
``Saya rasa goyangnya, ke kiri dan ke kanan. Saya ingat ia perkara biasa,''
kata beliau yang bertugas sebagai juruteknik kanan di sebuah syarikat.
Menurut satu sumber kerajaan pula, rekahan itu semakin besar akibat
kerosakan pada konkritnya yang dikenali sebagai Delay Ettringite
Formation (DEF). Ia berlaku apabila air meresap ke dalam rekahan itu dan
merosakkan konkrit tersebut.
``Ini adalah satu fenomena serius. Apa yang berlaku ialah masalah pada
reka bentuk jejambat tersebut sehingga mengakibatkan berlaku rekahan
yang amat teruk itu,'' katanya.
MRR2, Fasa 1 sepanjang 35.5 kilometer itu dibina bagi memendekkan jarak
perjalanan dua hala antara bahagian utara, timur dan selatan ibu negara.
Lebuh raya itu dibahagikan kepada 12 pakej pembinaan.
Kerosakan teruk pada tiang-tiang jejantas itu berlaku di pakej 11 sejauh
1.7 kilometer bermula dari Kepong Indah hingga Lebuh Raya
Damansara-Puchong.
|