BALIK KE MUKA UTAMA


Selagi UMNO itu begitu selagi itu Melayu begini

Anuar Mohd Nor (editor www.arahkita.com) bertanya - " Kepentingan Melayu mana" ? Kongres yang dikatakan akan di adakan pada bulan November ini tidak melangkaui kepompong politik - tidak menjalar akar perlaksanaan - terbit hanya untuk meraih loncatan politik dan pesan saya JANGAN BICARA MENGENAI MELAYU DAN KEPENTINGAN MEREKA sekiranya hanya duduk ketakutan bersuara dan gagal mengakui kesalahan sendiri. Ini hanya kepentingan segelintir Melayu - tercicir dari politik, mahukan tempat dan beragenda sendiri. DEB atau Dasar Ekonomi Baru telah di akui gagal. Kegagalan ini menjadikan Pemuda UMNO teruja - untuk menjadi pahlawan lantas perjuangan untuk orang - orang Melayu dikatakan bermula - zaman kebangkitan Melayu - laungan mereka. Maka bangkit mereka dalam mempersoalkan mengenai ketirisan - mengenai pengkhianatan dan bangun mendabik dada mahu memperjuangkan bangsa - khususnya Melayu yang tercicir.

 
Sedang sebuk bangsa lain mengkritik dengan keras mengenai Dasar Ekonomi Baru dan cadangan Agenda Nasional Baru yang bersemangat DEB, lahir pula oportunis baru yang bersemangat lama - usang, bangkit kononnya mahu membuat kongres yang kononnya sudah lama tidak dilaksanakan - Kongres Melayu - yang memberi tumpuan kepada Kepentingan Melayu. 

Arah mana, kalau kongres ini hanya memikirkan ruangan mana yang boleh di cari untuk menobatkan semula diri sebagai pejuang Melayu setelah lama keciciran atau sudah sekian lama gagal berperanan dalam arus perdana politik negara. Arus sejarah meminta kita bukan meniru tetapi mempelajari agar kita tidak lagi membuat kesalahan yang sama, namun dalam konteks ini bagi saya pengkajian hanya di buat untuk mencari ruang mana untuk di selit agar nama menjadi besar - atau pulih kembali untuk di terima sebagai kepimpinan bangsa kerana perjuangan Melayu sering di kaitkan sebagai jambatan untuk naik dalam pentas politik Melayu.

Bukan hasrat untuk membantah - menentang - tetapi serik dengan perbincangan - sebagai satu orkestra yang memainkan bunyi yang serupa - uzur - usang dan takut, maka akan tinggal helaian - helaian kertas yang membuktikan bahawa itu satu perjuangan tetapi hakikatnya hanya satu sandiwara untuk mengkhayalkan orang - orang Melayu bahawa kita adalah pendekar Melayu - pendekar yang memperjuangkan hak orang - orang Melayu - sedang kita mungkin umpama Tok Selampit membicarakan tanpa perlaksanaan. 

Saya akur dengan perjuangan - saya akur kalau mahu di lihat apakah definisi Kepentingan Melayu - cara mana mahu di majukan - apa ikhtiar dan apa cara perlaksanaan - asal kemudiannya diperjuangkan - biar menongkah arus dengan ketabahan dan keberanian. Kita bukan tidak pernah lihat bagaimana kepimpinan bangkit - Badan Bertindak Melayu - akhirnya susut - terdampar tanpa berani bangkit melaksanakan perubahan. Kita juga pernah melihat baru - baru ini kumpulan Veteran UMNO menghantar memorandum - juga untuk kepentingan Melayu - juga untuk kepentingan UMNO - parti Melayu yang terbesar kemudiannya megah - tersangkut suara dan kala ini diam - sedangkan kertas - kertas memorandum itu bersalut debu di tepi meja Pejabat Perdana Menteri. 

Kita mungkin baru dalam politik - namun kita juga melihat - dan kita harus berani menyuarakan - agar apa yang di sasar mengena dan Melayu bangkit sebagai bangsa yang kukuh berwibawa. Namun sehingga hari ini, semuanya tergenggam dalam konteks politik yang sentiasa berwaspada - kerana kepentingan sendiri harus di jaga - langkah harus tepat - kalau tidak terbuang kita dalam kelompok politik itu lantas sukar untuk kita untuk memanjat panjat ke atas kembali. Kita meletakkan agenda Melayu sebagai tangga untuk memanjat tanpa kita sedari bahawa yang terpijak itu adalah bangsa kita sendiri. 

Sekali lagi ini bukan satu usaha menghalang. Kalau mereka yang terlibat dalam mahu mengadakan kongres Melayu mereka perlu buka mata seluas - luasnya, mengerti apakah kesilapan kepimpinan dan berani menyuarakan hatta menamakan siapa yang di katakan gagal membawa perubahan atau siapa orang itu yang sedang memegang tampuk pemerintahan tetapi gagal membawa perubahan. Mereka harus dengan berani mengatakan bahawa Dasar Persyarikatan Malaysia itu gagal, kenapa dan mengapa, mereka harus berani mengatakan bahawa rasuah di bawah kepimpinan Dr Mahathir juga adalah sebab kegagalan DEB. Mereka harus berani mengatakan bahawa masalah utama adalah kronis, nepotisme dan korupsi yang menjadi penghalang dan yang penting sekali ialah kita dalam UMNO gagal membawa perubahan. 

Kritikan ini tidak akan kedengaran baik dari Tengku Razaleigh sekarang ini mahupun Suhaimi Ibrahim dari GPMS. Mereka hanya tersedak bersama , batuk bersama dan mengangguk bersama - jangan menongkah arus nantinya kurus. Apakah mereka ini akan membawa suara Melayu nanti. Apakah Kongres ini berani mengatakan yang jujur - atau berterusan melepaskan batuk di tangga. 
Melihat arus yang ada - perjalanan kongres yang akan di buat - ianya semata-mata mahu meletakkan nama dalam satu perhimpunan untuk terus diagungkan sebagai jaguh memperjuangkan hak orang - orang Melayu. 

Semua pasti dan tidak siapa pun yang berani menafikan atau memaklumkan secara terbuka - UMNO GAGAL dalam memastikan kepentingan orang -orang Melayu terbela. Jangan salahkan Melayu secara keseluruhan - salahkan diri sendiri sebagai kepimpinan Melayu yang gagal memartabatkan bangsa. Dari pengakuan itu maka itulah langkah pertama yang akan membuihkan kejayaan bagi orang - orang Melayu. Selagi tidak maka - kongres setiap hari pun pasti akan gagal memartabatkan Melayu. 


Yakinkan kepada kita bahawa kongres ini berlainan - kongres ini meletakkan kepentingan Melayu melangkaui kepentingan yang lain - meyakinkan kami sekiranya kongres ini akan di teruskan menjadi acara pembelaan terhadap Melayu. Jangan sekadar yang ada - jangan sekadar melakukan syarat - jangan sekadar untuk menonjolkan diri sebagai pejuang - jangan sampai serampang dua mata dan kedua - dua mata itu adalah untuk diri dan kronis. 

Yang pasti antara perkara - perkara yang dinafikan oleh mereka adalah Kongres ini adalah sebagai langkah balasan atas kecabulan kepimpinan Cina menyelar dilaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang mengambil wajah baru sebagai Agenda Nasional Baru. Kalau Kongres ini hanya sebagai penunjuk kekuatan perpaduan Melayu - saya nasihatkan mereka bangkit dari tidur. Kita memang akan bertindak sekiranya mereka menolak kini kontrak sosial yang sudah termaktub dalam pengorbanan orang -orang Melayu tetapi sekadar menunjukkan jaguh Melayu dalam padang - dalam dewan - untuk media ambil gambar - maka itu semuanya khayalan yang mengatakan bahawa kepimpinan itu sudah usang dan tidak lagi wajar memimpin. 

Sebenarnya bagi saya asas kepentingan itu tidak perlu di Kongres - kan. Kita tahu apa yang perlu untuk orang - orang Melayu dengan melihat masalah - masalah mereka. Kita sedar kenapa - tetapi kita tidak mahu akur dengan kesalahan yang kita lakukan sendiri - kerana ego itulah - kerana kepentingan tersendiri - lah, kerana agenda individualistik  Melayu akan terus begitu dan begini 

Akhir kata - selagi UMNO itu begitu selagi itu Melayu begini. 

 

  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762