BALIK KE MUKA UTAMA


Dedahkan siapa pembocor ekonomi orang Melayu - Dr Syed Husin
Monday, July 25 @ 15:53:59 MYT 


KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat (PKR) mencabar kerajaan mendedahkan nama orang Melayu yang dikatakan terlibat dengan kebocoran ekonomi mereka sehingga matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal sampai sekarang. 

Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dalam kenyataannya yakin sebahagian besar antara mereka mempunyai hubungan politik, persahabatan dan kekeluargaan rapat dengan para pemimpin Umno-BN. 
"Kami berharap tindakan tegas akan diambil terhadap mereka, sebagaimana yang dilaungkan oleh Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak," kata Syed Husin. 

Beliau dipercayai mengulas ucapan para pemimpin dan perwakilan Umno yang mendesak kerajaan melancarkan semula dasar ala DEB. 

Cadangan Naib Ketua Pemuda yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin agar Agenda Nasional Baru (ANB) mendapat sambutan media yang luar biasa. 

Ia juga disokong oleh bapa mentuanya, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi. 

Ramai perwakilan perhimpunan itu menyalahkan kebocoran dalam pemberian kontrak, tender, permit dan sebagainya dalam bentuk menjual semula kepada pihak lain yang bukan bumiputera sebagai punca kegagalan itu. 

Perwakilan Terengganu, Ahmad Shabery Cheek pula menyalahkan tindakan kerajaan 'memelihara' sesetengah kroni yang diistilahkannya sebagai lembu suci (sacred cow) sebagai punca kegagalan DEB itu. 

Menurut Dr Syed Husin, ramai pemimpin kerajaan mengakui dalam perhimpunan Umno yang baru tamat bahawa orang Melayu ketinggalan dan masalah kebocoran projek masih lagi serius. 

Secara tidak langsung sebenarnya mereka mengakui juga bahawa dasar kerajaan pimpinan Umno untuk menaikkan taraf ekonomi dan sosial orang Melayu masih belum berjaya lagi. 

Katanya, selama hampir 50 tahun bermacam-macam dasar telah diluluskan dan berbagai-bagai projek telah dilaksanakan untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi Melayu. 

"Jikalau setelah berusaha selama itu orang Melayu masih ketinggalan juga, apakah jaminan masalah ini dapat diatasi dalam tempoh 15 tahun sebelum 2020? 

"Dapatkah ia dicapai dengan cakap berdegar-degar dalam perhimpunan Umno saja? 

"Atau dengan menyalahkan orang Melayu sendiri saja? 

Dan tanpa mengubah amalan buruk lama di kalangan pemimpin?" soal Dr Syed Husin. 

Menurutnya, banyak diperkatakan tentang padang persaingan yang tidak rata. 

Tetapi yang ditekankan ialah padang yang tidak rata antara kaum Melayu dengan bukan Melayu (khususnya Cina) saja. 

"Memang benar ketidakseimbangan kaum itu wujud. Tetapi, mengapa tidak disebut tentang padang tidak rata antara negara-negara kapitalis yang maju dengan negara-negara kurang maju, seperti Malaysia ini? 

"Mengapa tidak disentuh tentang padang tidak rata di dalam masing-masing kaum di negara kita?" tanya beliau lagi. 

Padang tak rata 

Di kalangan orang Melayu sendiri, kata beliau, bukankah padang persaingan tidak rata wujud di antara yang kaya dengan yang miskin, di antara penduduk kota dengan penghuni desa, di antara orang kuat Umno-BN dengan yang tiada hubungan, dan antara yang rapat atau berkerabat dengan pucuk pimpinan Umno-BN dengan yang tidak? 

Bagi Dr Syed Husin juga, semangat DEB itu baik. 

Tetapi dasar ini telah lama disalahgunakan oleh sesetengah pemimpin Umno dan kerajaan untuk mengkayakan dengan cepat hanya segelintir orang Melayu dan juga bukan-Melayu yang bekerjasama dengan mereka, melalui amalan kronisme dan korupsi. 

Akhirnya, tegas beliau, nasib majoriti rakyat biasa Melayu tidak banyak berubah atau terus ketinggalan, sebagaimana yang diakui. 

Kebocoran 

Para pemimpin Umno tidak puas hati dengan kebocoran, iaitu perbuatan bumiputera mengalibabakan kontrak-kontrak atau lesen-lesen mereka kepada bukan bumiputera. 

Hal ini sudah lama dirintihkan. Siapakah mereka? Kami mencabar kerajaan supaya mendedahkan nama kesemua mereka ini. 

"Kami percaya sebahagian besar antara mereka adalah yang mempunyai hubungan politik, persahabatan dan kekeluargaan rapat dengan para pemimpin Umno-BN. 

"Kami berharap tindakan tegas akan diambil terhadap mereka, sebagaimana yang dilaungkan oleh Timbalan Presiden Umno, Dato' Najib Razak. 

"Sekiranya hanya semangat DEB saja yang dihidupkan semula, tetapi amalan kronisme dan korupsi tidak dikikis habis, rakyat biasa Melayu akan tetap ketinggalan, sungguhpun beberapa kerat orang Melayu akan kaya raya," tegas beliau lagi. 

Beliau seterusnya mempersoalkan, dapatkah pucuk pimpinan yang masih mengamalkan kronisme dan korupsi mengikis penyakit ini? 

"Presiden Umno merangkap Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berjanji akan menghapuskan korupsi. 

"Kami alu-alukan ini. Tetapi kami masih kurang puas hati dengan pelaksanaannya. PM Dato' Seri Abdullah harus melihat sikap, nilai serta tindakan pemimpin-pemimpin tinggi di sekelilingnya. Bahkan beliau perlu juga mencermin diri sendiri. Janganlah hanya hendak menyalahkan sikap dan nilai orang Melayu biasa saja," kata beliau. 

Sesuai dengan semangat DEB, kata Dr Syed Husin, sasaran utama untuk pembangunan hendaklah ditujukan kepada semua golongan terbiar, berpendapatan rendah dan ketinggalan, dengan tidak mengira kaum. 

Yang paling ramai daripada golongan ini ialah orang Melayu dan bumiputera lain juga. Merekalah harus mendapat untung daripada DEB itu. 

Lagi pula, katanya, tindakan yang bukan perkauman sebegini sudah pasti tidak akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kebanyakan bukan Melayu. 

-ZS 

  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762