|
Surat Terbuka Rakyat Prihatin Kepada Yang
Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir
sabu_jr2@yahoo.com
Saya mengutuskan surat ini dengan penuh pengharapan tulus
agar YABhg Tun sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera
dan diberikan kekuatan dan umur yang panjang oleh Allah SWT
untuk terus berkhidmat kepada negara kita yang tercinta.
Saya adalah seorang pemimpin kecil parti di peringkat
bahagian ingin memohon jasa baik YABhg Tun agar melakukan
sesuatu bagi memulihkan keadaan negara yang amat berkecamuk
pada masa kini akibat pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri
Utama Abdullah Ahmad Badawi yang cuba membawa negara kita
berpatah semula 20 tahun ke belakang.
Saya sangat beryakinan cuma YABhg Tun sahajalah yang mampu
menyelamatkan keadaan seteruk ini di mana Abdullah sedang
merosakkan apa yang telah dibangunkan oleh YABhg Tun
sepanjang YABhg Tun menjadi Perdana Menteri.
Saya amat berdukacita apabila Abdullah sedang menjahamkan
projek kereta nasional kebanggaan seluruh rakyat dengan
meredhakan penjualan MV Agusta dengan nilai cuma 1 Euro yang
sangat memalukan saya selaku rakyat Malaysia. Saya juga
kecewa kerana harga saham Proton terus menjunam saban hari
angkara perbuatan yang dilakukan oleh Abdullah.
Saya amat kecewa dengan usaha penggabungan di antara Avenue
Capital dan ECM Libra yang saya yakini akan diluluskan oleh
Abdullah dalam keadaan menantunya Khairy Jamaludin Abu Bakar
mempunyai kepentingan iaitu ECM Libra walaupun Abdullah
telah menafikannya melalui kenyataannya I am not involved in
any way. I dont know. Di manakah logiknya beliau tidak tahu
menahu dan tidak melibatkan diri sedangkan ianya di bawah
kawal selianya selaku Menteri Kewangan?
Saya amat kecewa kerana sejak Abdullah mengambil alih tampuk
kepimpinan UMNO seterusnya negara, beliau mempunyai sikap
dan tingkah laku yang begitu lunak terhadap Singapura
sehingga mampu menjejaskan kepentingan negara kita yang
tercinta.
Di sini saya nyatakan perkara berkaitan Singapura yang amat
menyakitkan hati saya:
Syarikat Singapura, Parkway Holdings telah diberi kebenaran
oleh Abdullah selaku Menteri Kewangan dalam pembelian 31%
saham Pantai Holdings yang merupakan operator hospital.
Singapura juga buat pertama kali berjaya memiliki program
penswastaan negara kita melalui pemilikan Pantai Holdings ke
atas Fomema dan Medivest yang mempunyai kepentingan dalam
projek penswastaan bekalan ubat bagi seluruh hospital
kerajaan kita.
Ini juga bermakna Singapura seterusnya akan mempunyai
pegangan ke atas Avenue selepas kejayaan penggabungan dengan
ECM Libra sebanyak 7.46% kerana Pantai Holdings memiliki 17%
pegangan dalam Avenue.
Avenue yang bakal menjadi bank pelaburan selepas
penggabungan tersebut akan menyebabkan Singapura buat
pertama kalinya dalam sejarah negara kita memiliki bank
pelaburan di Malaysia.
Singapura juga secara tidak langsung sekali lagi memiliki
pegangan ke atas perkhidmatan kerajaan yang diswastakan
dengan mempunyai kepentingan dalam Pos Malaysia kerana
Avenue adalah pemegang 18% saham Pos yang dianggarkan
bernilai RM600 juta.
Saya sebagai rakyat Malaysia merakamkan rasa dukacita saya
yang amat mendalam terhadap kehilangan aset dan kepentingan
negara kita dengan begitu mudah kepada pihak asing walaupun
YABhg Tun telah sedaya upaya menjaganya selama ini.
Saya juga amat berduka cita kerana kami para kontraktor
berada dalam keadaan yang amat perit di mana projek kerajaan
amat kurang jika hendak dibandingkan semasa YABhg Tun
berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Di sini, saya dengan rela hatinya secara terbuka menyatakan
penyesalan yang tak sudah kerana tidak sedaya upaya cuba
menahan YABhg Tun daripada bersara pada tahun 2003. Saya
percaya, jika saya dan majoriti ahli UMNO bersepakat secara
kolektif mendesak YABhg Tun agar tidak bersara pada masa itu,
tentulah perkara sebegini mustahil akan berlaku.
Saya amat berkeyakinan bahawa YABhg Tun masih memiliki
sokongan mutlak daripada kepimpinan parti di peringkat akar
umbi bermula dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka,
Johor, Kelantan sehinggalah ke Sabah.
Saya berdoa ke hazrat Ilahi agar YABhg Tun terus dikurniakan
kesihatan oleh Allah SWT untuk memperbaiki keadaan yang
begini teruk sebelum ianya menjadi barah kepada negara.
Hidup YABhg Tun.
Yang Ikhlas,
HAMBA ALLAH
Kedah Darul Aman |