|
AP dan konsep perniagaan kenal siapa
Pendedahan kerajaan mengenai penerima AP adalah satu langkah peningkatan integriti yang di tuntutan dalam era pentadbiran Pak Lah. Satu keberanian dan satu sikap keterbukaan yang amat di puji. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan hari ini sedang gian melakukan perubahan dengan mendengar serta prihatin kepada suara rakyat. Sungguhpun sebelum ini kita di maklumkan bahawa bukan dasar kerajaan untuk mendedahkan senarai penerima AP tetapi atas nama ketulusan maka kerajaan memaklumkan senarai penerima AP.
Pendedahan AP ini harus juga disusuli dengan persoalan kenapa mereka memperolehi AP yang begitu banyak dan apakah kriteria yang melayakkan mereka memperolehi AP tersebut? Apakah kepentingan yang diperolehi oleh rakyat Malaysia dengan pemberian AP tersebut.
Dato Seri Rafidah Aziz, dalam kenyataan sebelum ini mengatakan bahawa mereka yang menerima AP adalah mereka yang mempunyai kekuatan dan kelayakan yang cukup. Dengan pendedahan penerima AP tersebut maka kita dapat menilai sejauh mana polisi pemberian AP oleh kementerian Rafidah Aziz menuruti pra syarat yang mereka tetapkan.
Apa keuntungan rakyat dengan pemberian AP tersebut?
Ada pendapat yang mengatakan bahawa soal siapa penerima AP itu adalah satu persoalan yang boleh di perbincangkan dalam mengkaji beberapa kelemahan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dalam pengagihan AP tersebut. Persoalan rasuah juga boleh terbit dari pemberian AP tersebut sekiranya ada. Namun persoalan utama adakah pemberian AP itu menguntungkan rakyat Malaysia dan ekonomi negara? Apakah dengan pemberian AP tersebut dapat mewujudkan satu pasaran pekerjaan yang luas kepada rakyat Malaysia atau dengan kewujudan AP itu mata wang kita akan beralih dari dalam keluar negara.
Penilaian pemberian AP dan penurunan harga kereta disebabkan oleh AP harus di nilai dari beberapa sudut. Kita tidak perlu "over-protective" terhadap Proton, sekiranya tidak ada persaingan mereka akan meletakan harga terlampau mahal untuk warganegara Malaysia sendiri demi keuntungan syarikat dan beberapa pemegang saham mereka. Justeru itu
persaingan untuk Proton perlu ada tetapi perlu juga di atas padang yang sama rata. Kita harus memberi keutamaan kepada Proton sebagai kereta nasional tetapi kita perlu adakan persaingan agar pembeli Malaysia tidak di tindas dengan harga yang tidak munasabah tingginya.
Dari sudut ini kebaikan saingan itu sedikit sebanyak memberi peluang untuk rakyat memilih dan untuk menjadi indikator harga bagi pasaran kereta agar ia tidak di monopoli oleh Proton dengan meletakkan harga mengikut cita rasa mereka sendiri.
Sungguhpun begitu pemberian AP dan pengimportan kereta tanpa had akan hanya merugikan negara dengan pengaliran wang keluar yang agak banyak. Ini merugikan kita dari satu sudut berlainan. Dari satu sudut berbeza pula pemberian AP juga bukan menggalakkan penumbuhan peluang pekerjaan yang banyak yang akhirnya tidak membantu kadar pengangguran. Kalau Proton yang di pasang dalam negara ini, setidak - tidak nya mereka membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat membantu peningkatan ekonomi negara.
Perniagaan masih berteraskan kenal siapa.
Penerima AP juga harus di teliti sama ada mereka mempunyai trek perniagaan dalam bidang penjualan kereta yang mantap atau sekadar kenal siapa? Sehingga hari ini rakyat telah dimaklumkan dan rata - rata menerima perniagaan jual kereta dengan AP ini adalah jenis perniagaan kenal siapa dan bukan kepakaran dan pengalaman dalam bidang pemotoran.
Jenis perniagaan kenal siapa ini adalah jenis perniagaan yang mengaut keuntungan serta merta dan bukan jenis perniagaan yang di bina dan di bentuk. Perniagaan jenis ini adalah perniagaan yang akan mengalami masalah sekiranya berlaku penguncupan ekonomi kerana kurang nya kepakaran berniaga tetapi pakar mendapatkan AP melalui kenalan.
Walau bagaimanapun ini satu perubahan dalam sikap kerajaan mengumumkan penerimaan AP harus di puji.
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|