|
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
Kenyataan Media
13 Jun 2006
Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menarik perhatian
bahawa laporan Utusan Malaysia (10 Jun 2006) dan The Star (12
Jun 2006) mengenai laporan polis AMK terhadap bekas Perdana
Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad adalah ralat. Utusan Malaysia
melaporkan bahawa PKR mendesak agar Dr. Mahathir disiasat di
bawah Akta Hasutan. Manakala The Star pula menyiarkan kenyataan
Dr. Mahathir yang kecewa dengan tindakan kami melabel kritikan
beliau terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi sebagai zalim.
AMK menegaskan bahawa desakan agar Dr.Mahathir disiasat di bawah
Akta Hasutan ekoran tindakan beliau mengkritik kepimpinan
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak
terkandung dalam laporan polis AMK yang dibuat pada 9 Jun 2006
mahupun kenyataan media bertulis dan kenyataan lisan Naib Ketua
Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin, yang dibuat
kepada wartawan sejurus selepas penyerahan laporan polis
tersebut. Kami sebaliknya meminta pihak polis agar menyiasat
kenyataan Dr. Mahathir yang disiarkan dalam laman web
Malaysiakini.com bertarikh 7 Jun 2006 yang antara lain merujuk
kepada bagaimana wang Petronas dibelanjakan secara
sewenang-wenangnya oleh Kerajaan semasa beliau menjadi Perdana
Menteri. Kami juga meminta agar pihak polis menyiasat kenyataan
Tan Sri Ani Arope, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB)
yang disiarkan dalam The Star pada 7 Jun 2006. Kenyataan
tersebut mengaitkan Dr. Mahathir dengan pemberian kontrak
pembekalan tenaga elektrik kepada Pengeluar Kuasa Bebas
(Independent Power Producer) yang mana terma-terma perjanjiannya
merugikan TNB dan pengguna.
Laporan polis tersebut dibuat atas kesedaran kami bahawa
Kerajaan bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan
terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan wang rakyat samada
penyalahgunaan tersebut berlaku di era Dr. Mahathir atau di
bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Kami sekali-kali tidak
berminat untuk terlibat dalam perbalahan peribadi antara Dr.
Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi. Kami juga menegaskan bahawa
penggunaan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan adalah
bertentangan dengan nilai-nilai pemerintahan demokratik yang
kami dokong.
Sehubungan dengan itu, kami menggesa Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi agar mengumumkan jumlah wang rakyat yang
telah dibelanjakan untuk pelaksanaan projek-projek mega di
negara ini sejak zaman kepimpinan Dr. Mahathir sehingga kini.
Kami juga mencadangkan kepada Perdana Menteri agar menubuhkan
satu Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat antara lain pendedahan
Dr. Mahathir mengenai perbelanjaan secara wewenang wang Petronas
untuk membiayai projek-projek mega seperti pembinaan Pusat
Pentadbiran Persekutuan Putrajaya.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
|