BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )

ISLAM KAMIKAZE,
HADHARI DAN NAJIBI
Artikel S.H. Alattas

Ramadhan sudah pergi jauh meninggalkan kita semua, bermula dengan nampaknya ‘anak bulan Ramadhan’ yang dicari, diteropong dari beberapa tempat. Bulan yang ditunggu-tunggu sudah membesar menjadi bulan penuh, bulan ‘purnama’. Tak ada yang kekal, Bulan mula mengecil dan akan menghilang. Tahun depan kalau umur kita panjang kita akan jumpa semula dengan bulan yang mulia ini. Berbeza dengan matahari, tiada siapa yang hendak cari ‘anak matahari’. Orang berminat melihat matahari terbit dan tenggelam. Bumi bergerak mengelilingi matahari. Apakah selaku manusia kita mahu duduk kaku sedangkan hidup ini satu pengembaraan sebelum kita ‘pulang kampong’ ke ‘akhirat’? Hari ini saya bersama ‘mentor’ saya Tan Sri Sanusi Junid, kerabat di Raja Acheh berada di Kota Medan dan dibawa keliling kota sambil melihat, sambil berfikir..

Bulan puasa adalah bulan ‘memanusiakan’ manusia. Ia! bulan memanusiakan manusia, menghidupkan rasa ‘kemanusiaan’ didalam diri manusia untuk adanya rasa peduli. Kalau pun mereka tak mampu melayakkan diri menjadi manusia Tuhan ‘insanul kamil’, mereka menjadi manusia yang ‘ingat’ pada orang lain, jangan memikirkan diri sendiri semata-mata, sebab itu bulan puasa menjadi bulan yang mulia. Bulan manusia disuruh berlapar.

Satu benda baru yang saya belajar di bulan Ramadhan kali ini, di sana sini orang bercakap pasal ‘leadership’, ‘kepimpinan’ tapi orang tak bercakap mengenai ‘followership’, peri pentingnya ‘pengikut’, tak ada raja tanpa rakyat, tak ada pemimpin tanpa pengikut. Maka berikan keutamaan kepada ‘followership’ untuk melayakkan kita menjadi pemimpin yang dihormati.

Berjayanya Rasulullah SAW sebagai pemimpin dunia kerana Beginda berjaya membentuk ‘followership’ dengan memanusiakan makhluk yang bersifat haiwan dengan menjadikan mereka manusia yang ada perasaan kemanusiaan dengan berpuasa. Bermula dengan isterinya Saiditina Khadijah r.a., anaknya Fatimah Az-Zaharah, menantu Ali bin Abu Talib, kepimpinan bermula dengan diri sendiri keluarga dulu.

Pak Lah suruh rakyat berpuasa, berjimat cermat, jauh berbeza dengan Tun Mahathir dengan Islam kamikazinya, buat benda-benda yang raksaksa. Apa pun orang hendak kata ramai yang menikmati kehidupan mewah di zaman Tun Mahathir memegang tampuk kuasa.

Islam agama yang ‘baik’. Pak Lah terkenal sebagai orang ‘baik’ Mr. Clean Man. Pemimpin wajib ada rasa ‘peduli’. Belajar dari Tok Guru Nik Aziz, “buat baik berpada-pada” hatta terhadap anak dan menantu sendiri. Buat baik jangan lebih-lebih, orang lain sakit hati. Orang ramai sudah berpuasa ikat perut tidak berbelanja macam mana dengan mereka dikeliling Pak Lah? Terutama tiga KKK, Kamaruddin, Khairy, Kalimullah, tambah hari, tambah kaya kaya kaya, Melayu miskin, melarat, meminta-minta, tak cukup dengan tiga M tambah satu lagi mati. Mati Melayu.

Islam itu ‘benar’, ‘benar’ itu ‘baik’, pengikut menjadi pengikut yang ‘baik’ bila pemimpinnya ‘baik’ pengikut dapat merasakan nikmat dari kebaikan pemimpin bukan sekadar digelar ‘baik’. Baik ada makna. Bila pemimpin atau Ketua Agama tak pedulikan umatnya maka rosaklah umat. Mahu membetulkan negara, betulkan ‘dalaman’ diri pemimpin itu dulu baru umatnya sebab itu ramai yang menolak Islam Hadhari.

Macam mana mahu betulkan dalam diri umat Islam jika tidak dihidupkan rasa ‘PEDULI’, pemurah dan penyayang? Kita tak ada ‘role modelnya’, Pak Lah cakap saja pasal Islam Hadhari, ‘cakap aje’. Ada ke dia tunjukkan rasa ‘peduli’? Hendak jumpa pun payah, dia ‘tak peduli’.

Dalam Islam siapa saja boleh jadi imam. ‘Makmum’ ikut saja imam tanpa membantah. Kita tak perlu keluar dari saf bila ‘budaya’ ‘taat’ hidup dalam diri. Saya bukan mengajak anda keluar dari saf. Keluar dari kepompong tak salah, itu ‘sunnatullah’.

Dalam dunia kewartawanan ada empat W, satu H, who, where, when, why dan how? Dalam Islam ada tiga S, siapa Tuhan kamu, siapa Nabi kamu, siapa saudara kamu? Ada dua A, apa ikutan kamu, apa agama kamu? Itu soalan yang mesti dijawab bila dalam kubur nanti? Hidup menjawab soalan, mati nanti pun kena jawab soalan juga?

Nabi Muhammad SAW berjaya mengubah Arab Jahiliah yang ego, berang, angkuh, sombong hidup mengutamakan puak dan kabilah menerusi dirinya yang bersifat ‘rahmatan lil alamin’. Bila Nabi selaku role model ‘taat’ pada perintah Allah selaku Rasul, akhlak Nabi yang mulia dicontohi oleh sahabat, mereka terima anak hamba abdi pun boleh jadi imam kerana Islam mengutamakan ‘followership‘ mengikut ‘patern’ yang disiapkan oleh Muhammad SAW. Itulah sebabnya Osama anak hamba Abdi ketika berumur 16 tahun boleh jadi ‘imam’ kepada para pembesar Quraish dan dalam waktu yang sama menjadi panglima perang. Sifat ‘taat’ ini yang diikuti oleh Jepun. Orang Jepun taat pada pemimpin, taat pada Raja kerana Raja menjadi role model yang memberi keutamaan kepada ‘maruah’. Jepun ikut sunnah Nabi cuma belum ‘disyahadahkan’ saja.

Cuba kita beralih ke “pembuat madu”. Kelompok lebah ini memahami benar-benar “undang-undang pemilihan”, setiap kelompok lebah memerlukan adanya “kepala kelompok”, dan kepala ini harus dipilih bersama dan disepakati bersama, maka tampillah calon-calon kuat diantara mereka untuk menduduki jabatan tersebut. Pemilihan pun dimulai tanpa penipuan dan undi hantu, setelah dicapai dengan sebulat suara, maka pemimpin ini pun didudukkan di atas “kerusi kepimpinan” dan anggota kelompok lain-lainnya dengan rela menjadi “pekerja-pekerja” yang giat dibidangnya masing-masing.

Sebelum Nabi Muhammad SAW wafat baginda berpesan “sesudah aku wafat, kembali kepada Al-Quran atau sunnahku” bukan suruh buat Islam versi baru yang akhirnya menimbulkan pertempuran di kalangan peradaban.

Ketika kami melepasi Istana Maimon sebuah bangunan yang hebat milik raja yang sudah dibuang oleh rakyat semasa revolusi menjatuhkan raja seluruh Indonesia Sri Sultan Hamengkubowono di Jogja dan beberapa orang saja yang masih kekal sebagai Raja yang dimuliakan. Peristiwa semua raja dibunuh, dihalau keluar dari istana akibat rakyat sudah tidak boleh tahan dengan perangai raja dan keluarganya sudah menjadi satu sejarah. Banyak istana kosong tanpa raja, dan ramai keturunan raja yang terpaksa duduk di rumah yang berbumbungkan atap rumbia. Semua ini sudah saya dokumentasikan dalam buku ‘Revolusi Istana Dan Rakyat’ 1989 dan ‘Lima Raja Terakhir’ 1990.

Ramai yang tidak tahu bahawa Almarhum Tun Syed Nasir bekas Speaker Dewan Rakyat adalah bekas putera mahkota kesultanan Siak. Ayahandanya bekas Sultan Siak sewaktu pembunuhan terhadap raja-raja. Sultan Siak dan keluarganya berlindung di rumah Tuanku Daud Bureauh di Acheh.

Bila kita rajin berjalan, banyak benda yang pelik-pelik yang kita boleh terjumpa yang kalau kita cerita mungkin susah orang nak percaya, terutama mereka yang ‘bodoh sombong’, yang tak suka ada orang yang lebih tahu darinya, perasaan rendah dirilah tu! Biarkanlah si luncai terjun dengan labu-labunya.

Yang Mulia Tuanku Tan Sri Sanusi Junid pun keturunan Raja juga namun tak ramai yang tahu. Sebagai bukti benih yang baik tercampak ke laut menjadi pulau. Memang tak rugi ikut Tuanku Sanusi cucu Tuanku Daud Bearuah, ‘mentor’ saya ini kerana ada saja ‘idea’ yang baru. Kalau dia tak cerdik, tak berani dan berilmu dan tak ada connection masakan beliau akan dipilih menjadi Presiden, ‘The Aceh Club’ sebuah badan mewakili masyarakat Aceh di seluruh dunia? Zaman Tun Mahathir, dia jadi Presiden Ikatan Masyarakat Acheh Malaysia kemudian Pengerusi Lembaga Persahabatan Malaysia-Indonesia PERMAI bergabung dengan PRIMA, Lembaga Persahabatan Indonesia-Malaysia di mana wakil Presiden Try Sutrisno ketika itu menjadi pengerusinya. Dengan menjadi pemimpin NGO antarabangsa Tunku Sanusi Presiden UIA Universiti Islam Antarabangsa boleh menyuarakan pendapatnya mengenai Acheh.

Presiden UIA ini ulat buku, entah berapa ribu buku yang ada didalam perpustakaan di dalam rumahnya? Dia sentiasa membeli buku dan baca, bukan beli simpan untuk jadi koleksi, seperti kebanyakan ‘perempuan’ yang beli pinggan mangkuk yang mahal-mahal, dibubuh dalam almari khusus untuk tontonan. Queen Ann, kristal yang berinilai ribuan ringgit harganya semata-mata untuk menunjuk atau kerana kawannya ada, dia pun mesti ada sama. Terlupa berdosa membazir, patut bayar zakat seperti simpan emas yang tak dipakai.

Sebenarnya manten Menteri Pertanian yang paling lama memegang jawatan tersebut dan paling kreatif ini mahu membawa saya terus ke Aceh untuk melihat ‘post tsunami’. Disebabkan tidak ada penerbangan terus dari KL ke Banda Acheh maka kami terpaksa bermalam di Medan tapi tetap berbuka puasa di masjid Aceh. Sebaik saja kami meletakkan beg di dalam bilik hotel, Sanusi mengajak saya keliling kota Medan. Dalam kereta ada saja ceritanya. Hendak tahu baca.

Antara cerita Tan Sri Sanusi yang menarik ialah Juz 31, Surah Al-Yabban, cerita ini petikan dari khutbah Sheikh Habsh, kawan sanusi Ahli Parlimen Damshik di Syria yang diceritakan kepada saya oleh Sanusi Junid kemudian saya tokok tambah mengikut cara saya bercerita. Semasa Tun Mahathir mengajak rakyat Malaysia pandang ke Timur, Jepun dan Korea, saya mengkaji saikologi orang Jepun. Saya baca buku budaya ‘bushido’ dan saya selitkan Budaya Bushido yang ada persamaan dengan Code 21 ‘The Aceh Code’ tersebut dalam buku ‘Challenger’ Siapa Lawan Siapa 1987.

Surah Al-Yabban, juzuk 31 memang tak ada. Ini cuma satu cerita, takkan cerita pun tak boleh? Surah Al-Yabban juz 31 untuk mereka yang mahu berfikir, mahu musahabah diri, mahu cari salah diri sendiri. Antara kesalahan yang paling besar adalah bila bangsa tidak lagi amanah, korupsi berpunca dari sifat tidak amanah, pecah amanah mengkhianati amanah. Bangsa yang tidak berani, malas dan tidak setia, hidup dalam keadaan huru hara. Jepun berani, rajin, amanah dan setia, itu menyebabkan Jepun bangsa yang maju jaya.

Terjadinya sebutan ‘Al-Yabban’ kerana orang Arab susah hendak sebut perkataan ‘Jepun’, Japan. Mereka sebut ‘Jepun’ sebagai ‘Yabban’ pelat sama seperti Jepun sebut Kuala Lumpur jadi Kuara Rumpo, ‘L’ disebut ‘R’ dan mereka panggil Pak Lah ‘Parah’. 44 orang duduk sebut ‘parah’ ‘parah’. Ekonomi pun parahlah, usik mengusik tak kan Pak Lah hendak marah.

‘A slip of the tounge’ tersilap sebut tak salah, tapi jangan tersalah ‘tafsir’, tersilap terjemah apa lagi tersalah memberi definasi. ‘Parah’. Tengku Abdul Rahman pernah bertanya ‘apa ada pada perkataan?’. Tun Razak mengingatkan ‘jangan main-main dengan perkataan’, kedua-duanya bekas Perdana Menteri, anda hendak ikut siapa?

Siapa kata orang Jepun tidak melakukan ‘jihad’? Anda akan kata ini semua mengarut. Jepun bukan Islam. Tapi ‘Kamikaze’ itu jihad cara Jepun. Cintakan bangsa itu separuh dari iman, ‘patriotisme’. Jepun sampai Kuala Lumpur makan Shushi, membeli-belah di SOGO. Kalau orang tanya orang Jepun, saudaramu siapa, dia akan jawab orang Jepun. Berapa orang Islam yang ada semangat ‘keIslaman’? Islam yang memusuhi dan menindas orang Islam, ramai.

Masa perang dunia kedua, juruterbang Jepun membawa pesawat terjun ke dalam serombong kapal perang Amerika semasa mereka ‘menyerang’ ‘Pearl Harbour’, mereka berani mati untuk bangsa. Sekarang sudah ada Melayu yang berani ikat bom pada badan, Malaysia boleh!

Bila orang Islam ikat bom pada badan mereka dikatakan ‘jahat’, dilabel sebagai ‘teroris’ dan ramai pemimpin Islam yang mengutuk. Tapi siapa pun tak berani kritik Amerika yang mengugurkan beribu tan bom hingga hancur musnah Iraq dan Afghanistan di kerjakannya. Ada ke patut kerana seorang dua pengebom berani mati, umat Muslim yang tidak berdosa diseluruh dunia terpaksa menerima ‘macam-macam kesengsaraan’ dan penderitaan. Mereka dicurigai, dipandang serong, diherdik dan dihina di kebanyakan negara bukan Islam terutama Eropah dan AS. Mereka diperiksa dan digeledah hanya kerana mempunyai nama Islam atau berpakaian mengikut adat orang Muslim atau mempunyai wajah seperti orang Arab, orang Afganistan, Pakistan, dan Benggali pun kena sama. Semua ini boleh berlaku kerana umat Islam tidak bersatu, lebih takut kepada musuh Islam dari takut kepada Allah. Marilah kita kembali kepada punca yang dinyatakan oleh Allah SWT. Tidak lain dan tidak bukan apabila umat Islam, melupai hubungan yang mengikat sesama mereka sendiri iaitu persaudaraan Islam.

Kembali kepada cerita Al-Yabban kononnya baginda Nabi Muhammad SAW bersiar-siar di angkasa di dalam ‘eksekutif jet’ bersama para malaikat mencari di mana umat yang paling bersih, rajin dan kuat membaca. Malaikat menunjukkan Jepun, negara matahari terbit. Ya, ada mengutuk kafir majusi tapi terlupa ramai orang Islam yang lebih Yahudi dari Yahudi, nama saja Melayu perangai macam ‘Merchant of vinece’.

Di waktu Arab dan umat Islam di negeri Islam yang lainnya masih nyenyak tidur, orang Jepun sudah keluar berkerja. Sebelum subuh mereka sudah berterbangan (ibadah) cuma mereka tak melakukan ‘solat’ subuh kerana tak ada pendakwah yang ke Jepun ‘mensyahadahkan’ mereka padahal Masjid sudah ada di Jepun.

Orang Jepun kuat ‘membaca’, di dalam keretapi, di mana saja mereka membaca, membaca itu perintah Allah dan bandaraya mereka adalah yang terbersih jika dibandingkan dengan mana-mana negara Islam yang umatnya suka hidup dalam kekotoran padahal ‘kebersihan’ sebahagian dari iman. Jepun suka pada bauan yang wangi, Jepun anti bau busuk, bukankah salah satu ‘sunnah’ Nabi SAW suka pada wangi-wangian?

Orang Jepun ambil ‘isi Islam’, umat Islam bangga dengan baju Arab dan Afghanistan tapi tak tahu kenapa orang lelaki Pakistan pakai baju labuh? Mungkin hendak ‘melepas’ sambil mencangkung di pergunungan mudah, lepas ‘melepas’ beristinjak saja dengan batu. Siapa pun tak nampak, macam orang pakai kain ‘melepas’ di tepi pantai.

Nabi SAW suruh tunjuk di manakah terdapat orang yang paling ramai memakai serban yang besar kerana Abu Lahab, Abu Jahal pun pakai jubah dan berserban. Malaikat mendarat di Afghanistan, di sana ribuan manusia berserban besar-besar, di negeri itu banyak pembunuhan, anak yang tidak berdosa dan wanita jadi korban, berbunuh dan marah sesiapa yang tak ikut Islam cara mereka. Mereka terlupa bila mati nanti akan ditanya siapa Tuhan mu? Siapa Nabimu? Apa agamamu? Apa ikutan mu? Dan siapa saudaramu? Islam itu ertinya damai. Di Jepun kita tak jumpa dreber teksi atau peniaga yang menipu, mereka tak pakai kupiah, gantung ayat suci Al-Quran. Siapa yang merosakkan Islam?

Rakyat di Habshah dan lain-lain tempat di Afrika dan lain-lain negara Islam kebanyakannya miskin dan sengsara sedangkan di negara Arab Emerant terdapat ramai orang yang terkaya di dunia. Islam apa namanya bila yang kaya tak pedulikan yang miskin, yang senang tak pedulikan yang susah, Raja tak pedulikan rakyat, itulah kehidupan dalam dunia Islam. Masing-masing bangga dengan puak dan mazhab yang mereka anuti. Apakah dalam kubur bila mati, Tuhan akan tanya apa mazhabmu?

‘Moral’ dari cerita Sheikh Habsh boleh membuat kejutan minda tentang betapa pentingnya budaya, satu bangsa perlu ada budaya yang menjadi amalan rajanya. Orang Islam budayanya mesti bersendikan Islam, tidak boleh terkeluar dari ‘akidah’. Terjemahan Surah Al-Kafirun mesti tepat dan betul. Budaya mesti seiring dengan cara hidup, Islam adalah cara hidup yang paling sempurna. Agama mereka dan agama kita tak sama, macam mana boleh cantumkan Hari Raya? Mahukah mereka menerima Allah sebagai Tuhan, Muhammad SAW sebagai Nabi dan Al-Quran dikongsi bersama seperti kita kongsi raya dengan mereka?

Orang Jepun begitu taat pada rajanya, mempunyai kepercayaan seperti orang Jawa. Raja datang dari dewa, raja mereka adalah bayangan tuhan yang mesti dimuliakan dan ditaati, hampir serupa dengan Thailand, raja disanjung oleh rakyat. Di negeri kita Raja tak lebih dari ‘lambang’, tak ada hubungan secara spiritual antara raja dan rakyat.

Sebagai menambah dan menyedapkan lagi cerita ini saya mengambil satu cerita yang saya petik dari Japan Close-Up Oktober 2004 mengenai buku yang ditulis oleh Inazo Nitobe (1862-1933). Bangsa yang besar tahu menghargai pahlawan mereka, tak seperti bangsa Melayu yang melupakan pahlawan bangsa. Inazo di anggap pahlawan. Gambarnya telah di abadikan dalam matawang Jepun kerana Inazo menulis Bushido : The Soul Of Japan. Buku itu membicarakan konsep bushido, juga dikenali sebagai “jalan seorang pendekar”. Kini memenuhi ruangan kedai-kedai buku, ia mencerminkan cetusan populariti yang terhasil menerusi filem block buster Hollywood, The Last Samurai.

Inazo Nitobe dalam buku Bushido, Jiwa Negara Jepun mengatakan: Bushido menganggap ‘pedang’ sebagai lambang kekuatan dan keberanian. Mungkin mereka tahu sabda Rasulullah bahawa pedang merupakan kunci bagi syurga dan neraka, ia memperkukuhkan lagi sentimen orang-orang Jepun terutama para Samurai. Nabi kita Muhammad SAW adalah pahlawan, panglima perang di zaman permulaan Islam. Islam telah melahirkan ramai pahlawan. Hari ini kita cuma bangga dengan ‘replika pedang’ Rasulullah ‘zulfikir’ yang dihadiahkan kepada Imam Ali dan pertunjukan sehelai janggut Nabi bukan di tanam semangat keberanian Nabi dan pewaris pedang zulfikir Imam Ali Bin Abi Talib karamullah hu wajhah. Macam mana mahu mendapat ‘syafaat’ Nabi SAW kalau jiwa kerdil dan pengecut? Tapi bangga dengan nasab dan keturunan ‘ahlul bait’.

Inazo Nitobe menulis “pada peringkat awal-awal lagi anak Samurai telah belajar menggunakan pedang. Sewaktu berusia lima tahun, ia diperlengkapkan dengan segala pakaian dan alat perkakas samurai dan di terima masuk ke dalam profesyen bersenjata ini dengan menyelitkan pada tali pinggangnya sebilah pedang yang betul, menggantikan pedang permainan yang digunakan sebelumnya.” Inilah semangat kepahlawanan yang menyebabkan Jepun berani menyerang Amerika dan cuba menakluk dunia. Semangat inilah yang paling di takuti oleh Amerika dan cuba dihapuskan dari umat Islam dengan melabelkan mereka ‘militan’ kemudian siapa saja yang ada jiwa pahlawan dilabel sebagai ‘terorist’ dan mesti dibunuh. Dan mereka yang telah mewarisi jiwa penakut, miskin dan bodoh yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris memusuhi orang Islam yang berani. ‘Pelik’.

Sebagaimana pedang Jepun menjadi lambang kemegahan bengsa Jepun dan pedang Arab menjadi kebanggan bangsa Arab, sebagaimana yang terdapat pada bendera Arab Saudi. Dua pedang melintang dengan ayat Lailahaillallah-Muhammadarrasulullah melambangkan Fisabiilillah demikian juga keris menjadi lambang kemegahan bangsa Melayu. UMNO juga menggunakan keris sebagai lambangnya. Jika orang-orang Inggeris mempunyai mitos excaliburnya demikian juga bangsa Melayu mempunyai mitos tentang kerisnya ‘Keris Taming Sari’. Pelik, adanya Pemuda dan Putera UMNO yang ikut saja telunjuk Khairy, apa sudah jadi dengan bangsaku bangsa Melayu?

Akibat rakyat tidak lagi dididik dengan ‘budaya’ kepahlawanan dan memberikan keutamaan kepada ‘maruah’, moral dan ‘concience’, Melayu jadi bangsa yang lain, yang tak ada ‘maruah’, hilang ‘jati diri’, nasib baik muncul Mawi. ‘Akhlak’ dan ‘maruah’ tak dapat dipisahkan dari seorang pahlawan bangsa. Semua ini makin terhakis dari budaya Melayu, jika tidak dihidupkan semula, UMNO akan mati, Melayu akan hilang di dunia. Melayu itu Islam, hilang Islam dari dalam diri Melayu, lenyaplah Melayu. Ini yang menakut dan membimbangkan saya. Anda bagaimana?

Manusia mempunyai naluri mementingkan diri kerana memiliki sifat semulajadi berdasar kepada naluri manusiawinya. Dengan adanya ‘jati diri’ manusia boleh memperbaiki dirinya sebelum dia belajar membezakan antara yang baik dan buruk, yang hak dan batil, pahala dan dosa. Ini semua tak dapat dilakukan bila dia tak mahu ‘berfikir’ tentang tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara akibat tak mahu menggunakan ‘akal’.

Di sekolah murid cuma belajar 3M, menulis, membaca, mengira sepatutnya mereka diajar mengingat dan memikir. Rukun Islam lima perkara. Manusia ada lima ‘panca indera’, jari pun ada lima. Dengan tiga jari saja sukar menjadi manusia yang sempurna.

Manusia yang tidak berbudaya bersendikan Islam tidak memahami agama dijunjung budaya dikelik, lebih condong kepada ‘kebatilan’ kerana budaya yang sudah dicampur-aduk, Budaya dijunjung agama pula dikelik.

Kembali kepada cerita Bushido, sebagai seorang anak pegawai kerajaan, Takekida bercita-cita untuk menjadi seorang diplomat agar dia boleh bertugas di dunia luar tetapi ‘berteraskan’ ekonomi, budaya, masyarakat dan sejarah Jepun”. katanya dia sentiasa bercita-cita mahu berkhidmat kepada rakyat dan menambah bahawa cara kehidupan dan pemikiran Nitobe mungkin telah memainkan peranan penting dalam era pertembuangan tamadun. Ada ke anak Melayu yang bersemangat Islam sepertinya?

Eiichiro Uchi Kawa, yang menguruskan dana di Morioka, tempat kelahiran Nitobe, menganggap populariti mendadak ‘Bushido’ sebagai tanda di mana rakyat dahagakan satu kod etika untuk membantu dalam sebuah dunia yang bermasalah. Machiko Hanawa (27) adalah tokoh penting dalam “China-Japan Network Mirai Jungyo,” yang secara aktif memberi sokongan terhadap plaintif-plaintif China yang diwakili oleh peguam-peguam Jepun, yang sedang menuntut ganti-rugi daripada Jepun kerana kematian dan kecederaan akibat dari bom gas beracun yang ditinggalkan oleh Tentera Imperial Jepun di China di akhir Perang Dunia II.

Serangan pengganas pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat telah membuatkan Hanawa mengubah rutin hidupnya yang berlegar di sekitar pekerjaannya selaku jurutera sistem. Dia mula mengambil bahagian dalam gerakan pendamaian dan membantu mewujudkan rangkaian tersebut. Dia terkejut apabila seorang wanita China yang sebaya dengannya memberitahu bahawa gas yang ditinggalkan itu telah membunuh bapa wanita tersebut dan sukar baginya membiayai kos rawatan ibunya yang sakit dan seorang adik tanpa sebarang ganti rugi daripada kerajaan Jepun.

“Saya kira kita harus melakukan sesuatu untuk mereka yang segenerasi dengan saya dan yang menderita akibat bom yang ditanam oleh generasi datuk saya.” Katanya lagi, “masalah penyelesaian ganti-rugi pasca perang lalu adalah merupakan kepentingan nasional Jepun dan akan menentukan masa depannya.”

Dia menjelaskan bahawa kumpulan dinamakan Mirai Jungyo (yang bermaksud pelancungan sumo masa depan) kerana ia akan menjelajah ke seluruh dunia seperti ahli gusti sumo menjelajahi seluruh negara.

Bangsa Jepun hebat, satu waktu dulu Jepun pernah memerangi dan menakluk Malaysia secara kejam dan ganas, namun itu tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk kita tidak pandang ke timur dan menjadikan diri kita seorang yang amanah, berani, taat, rajin ikut ajaran Islam.

Umat Islam seluruh dunia akan berjaya jika pemimpin tidak ‘korup’, tidak ‘leka berbisnes’, menggunakan kuasa rakyat untuk mengkayakan keluarga. Seperti yang dilakukan oleh pemimpin dan kronies mereka yang bercakap pasal Islam tapi tak kenal sejarah Nabi Muhammad SAW.

Kata Izutsu, masyarakat sebelum Islam yang kita kenali sebagai masyarakat jahiliah memang mempunyai asas moral yang tersendiri. Tidak benar kalau dikatakan bahawa masyarakat jahiliah itu tidak ada peraturan moral. Tetapi, peraturan moral pada ketika itu adalah yang direka oleh manusia mengikut selera pimpinan politiknya, dan boleh diubah mengikut keadaan dan kemahuan serta selera penganutnya. Oleh yang demikian, kekuatan moralnya tidak teguh, tidak kukuh, dan boleh diubah berdasarkan kekuatan wang dan kekuatan kuasa. Buat pertama kalinya dalam sejarah, kata Izutsu, Islam memperkenalkan satu prinsip moral yang hidup yang disebut sebagai a morally justiment principle. Sebab itulah ada bezanya antara kekuatan moral yang kita bahaskan dengan kekuatan moral yang diungkitkan – sama ada pada masa dahulu ataupun sekarang di kalangan sebahagian sarjana atau sasterawan kita, yang boleh berubah-ubah, tidak tetap, dan tidak bersandarakan satu dasar prinsip keyakinan yang unggul.

Anwar Ibrahim
Dewan Budaya 1991

Saya harap bila Datuk Najib jadi Perdana Menteri dia tidak akan tukar Islam Hadhari kepada ‘Islam Nagibi’ atau ‘Islam Rosmahini’. Kembali saja kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW kerana bila mati nanti senang jawab. Apa agamamu? Agamaku Islam. Tuhanku Allah. Muhammad SAW Rasulku. La illa ha illahallah Muhammadar Rasulullah.





Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762