|
Dr
Mahathir Mohamad hanya seorang yang sudah pencen, usia pun sudah
menjangkau 80an. Bila beliau memperkatakan sesuatu terhadap
Abdullah Ahmad Badawi serangan kepada beliau datang dari semua
arah termasuk daripada Musa Hitam. Serangan itu menunjukan Dr
Mahathir Mohamad masih lagi ada "ummmp" baik dalam UMNO mahupun
impak dalam negara ini biarpun Musa Hitam mengatakan bahawa Dr
Mahathir Mohamad mengalami penyakit "post power syndrome".
Kenapakah Dr Mahathir Mohamad tergamak bercakap sebegitu sekali
kepada pengganti yang dipilihnya sendiri? Itu satu
persoalan yang Dr Mahathir Mohamad perlu terangkan. Kalau beliau
sendiri dituduh mengalami "post power syndrome", sudah pasti ada
orang lain menghadapi penyakit yang dinamakan "pasca power
syndrome", kerana itu maka ada pertentangan. Sebagai seorang
lulusan perubatan dan mengamalkannya untuk beberapa tahun, Dr
Mahathir faham sangat mengenai tindak balas, penawar dan
akibatnya jika tersilap diagnosa penyakit tersebut.
Masalahnya yang berlaku sekarang seakan wabak "sampar ayam" atau
nama barunya "selsema burung" yang melanda politik tanah air.
Wabak ini tidak diambil tindakan macam tradisinya, ia itu
membunuh dan menghapuskan semua unggas. Pada zaman dahulu
sekiranya berlaku penyakit sampar ayam ini dalam satu kampung,
dengan sukarela orang-orang kampung membunuh ternakan mereka
namun ini tidak belaku sekarang ini, Jabatan Haiwan terpaksa
pergi mengambil unggas atau ayam itu untuk dibunuh dan di bayar
pula ganti rugi.
Penyakit seakan sampar ayam atau selsema burung ini berlaku
kerana Abdullah Ahmad Badawi mengalami penyakit "pasca power
syndrome". Ini dapat dilihat dalam tindakan terburu-buru yang
telah diambil oleh beliau dalam merobah dasar-dasar yang dibuat
oleh Dr Mahathir Mohamed. Mungkin dalam "bundle file" yang
diikat semasa penyerahan kuasa pada tahun 2003 antara Dr
Mahathir Mohamed dan Abdullah Ahmad Badawi terdapat
perkara-perkara yang diminta oleh Dr Mahathir Mohamad supaya
beberapa dasar yang telah dibuat oleh beliau diteruskan, dengan
harapan, perkara-perkara itu dianggap sebagai hadiah penghargaan
kepada dia oleh Abdullah Ahmad Badawi, orang yang dikutipnya
semula dan di angkat ke martabat yang tinggi.
Malangnya Abdullah Ahmad Badawi yang asalnya mengambil bidang
Ekonomi di Universiti Malaysia kemudian bertukar ke bidang
Pengajian Islam kerana mungkin sering gagal kertas ekonomi,
tidak meneruskan apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir Mohamad
sebagai "janji". Dr Mahathir Mohamed mungkin tidak terkilan
besar, kalau bukan kerana sandiwara semasa yang dibuat oleh
Abdullah Ahmad Badawi di dalam Perhimpunan Agong UMNO 2002, yang
awal-awal bangun walau pun tidak menerkam Dr Mahathir Mohamad,
bila beliau mengumumkan perletakan jawatannya.
Cuba tengok balik rakaman peristiwa itu. Abdullah Ahmad Badawi
adalah antara yang tidak bersetuju dengan pengumuman itu, yang
lain belah bagi, ada perwakilan diam dan ada ikut terjerit
tetapi perwakilan rata -ratanya tidak fanatik, kalau buat
undi sulit, kemungkinan yang setuju Dr Mahathir Mohamad berhenti
akan menang dan yang menentang yang diketuai oleh Abdullah Ahmad
Badawi akan kalah.
Sekarang, para ahli MT UMNO yang dahulu menerkam mikrofon Dr
Mahathir Mohamad pada tahun 2002 sebok memberi komen semacam
keldai hari ini, yang duduk relax-relax di kerusi MT semasa
kelam kabut itu bukan tidak menyokong Dr Mahathir Mohamad tetapi
mereka tak mahu jadi manusia berpura-pura. Namun sikap kepura -
puraan ini kini seakan sinonim dengan kebanyakan pemimpin Melayu.
Musa Hitam yang tergila sangat nak jadi Tun walau pun tidak
layak kerana dialah yang menyebabkan peristiwa berdarah di
Mamali kini berjaya mendapat anugerah "TUN" tersebut mungkin
atas sumbangan menyebabkan kematian polis dan orang awam di
Mamali. Bukankah ini suatu yang yang pelik?
Kemungkinan itulah kehendak Allah, dua sahabat. Musa dan Dr
Mahathir yang di tahun 70an berkerjasama menjatuhkan Tunku Abd
Rahman dan memanggil diri mereka Order Baru. Dr Mahathir kalau
dilihat juga tidak mengikut janjinya dengan Tun Hussein Onn yang
bercadang untuk meletakan jawatan dan meminta Dr Mahathir
Mohamad setelah menjadi Perdana Menteri melantik Tengku
Razaleigh sebagai Timbalannya. Sebaliknya sebaik sahaja berkuasa
Dr Mahathir Mohamed menyerahkan kepada UMNO untuk memilih
timbalan tetapi di dalam diam dia menyokong Musa Hitam.
Itu sebab untuk beberapa tahun Tengku Razaleigh dikekalkan dalam
kabinet, sehingga peristiwa 1987 dan bila Musa Hitam tewas
ditangan Abd Ghafar Baba. Beliau, Musa Hitam berucap secara
merayu, meminta orang UMNO jangan menendang bola yang kempis,
yang bermaksud janganlah dilayak dia, kerana sudah tidak ada
kuasa dan jawatan. Tetapi sekarang dia sudah terlupa semua yang
diucapkan oleh dirinya sendiri . Kemungkinan untuk bola yang
kempis ditendang atau disepak lagi, itu ada, tetapi insiden bola
yang kempis dipijak orang terlalu jarang berlaku, kecuali
tujuan memijak itu adalah untuk memastikan baki angin yang ada
didalam bola tersebut dikeluarkan. Jadi bila Musa Hitam
bersungguh sangat mahu memijak bola yang kempis, maka Musa Hitam
belum lagi layak digelar Negarawan kerana sikap keanakan masih
ada dalam dirinya.
Sekarang pejuang order baru sudah jadi tua,mereka mengata
sesama sendiri. Mungkin disebalik ini ada kebaikan yang akan
berlaku kerana setiap musibah adanya hikmahnya. Setidaknya kedua
mereka akan bercakap perkara-perkara yang tersembunyi
bertahun-tahun dalam kerongkong mereka lantas perkara-perkara
yang tidak tertulis akan diketahui ramai. Seperti juga isu Dr
Mahathir vs Abdulah Badawi, pada ingatan UMNO dan rakyat jelata
kedua mereka seperti abang dan adik tetapi setelah ada
berbeza pendapat salah saorang akan bercerita perkara yang tidak
tertulis dan akhirnya benang yang menjahit mulut-mulut mereka,
akan terputus akibnat tindakan mereka sendiri.
Itu sebab dalam Islam, bukan Islam Hadhari, ada disebut "perkara
yang batil akan lenyap dan kebenaran akan datang". Maka hari ini
yang batil sudah nampak dan kebenaran semakin jelas. Kebenaran
yang wujud kini adalah sesiapa yang menjual Melayu dengan harga
murah akan menanggung akibatnya. Jika dalam Islam kita dilarang
menjual ayat-ayat Al-Quran, begitu juga dalam perjuangan bangsa,
jangan sekali dijual bangsa untuk kepentingan diri, jangan
sesekali gunakan "bersatu melayu" kerana jika kita berpecah
orang lain akan mengambil peluang. UMNO dilahirkan dengan air
mata, darah dan keringat orang Melayu, sesiapa belot, mungkir
janji dan khianat akhirnya akan menanggung sendiri akibatnya.
Abdullah Ahmad Badawi, semenjak isu Mahathir Vs Abdullah ini,
walau pun dikatakan oleh Musa Hitam sebagai tenang tetapi amat
jelas air muka beliau dalam berita TV berubah. Terdapat
kerisauan mempertahankan kuasa yang ternyata dan Dr Mahathir
Mohamad yang pada mula hanya sebagai satu tunggul kayu kini
dipandang oleh Abdullah Ahmad Badawi macam hantu Sekarang yang
disangka hantu sudah benar-benar menjadi hantu. Bacalah ayat
kursi atau apa pun ayat, hantu ini tidak akan lari dan yang
perlu adalah untuk muhasabah diri dan sembahyang tengah malam
minta pertunjuk.
Sang Kelembai: Teringat kata Tan Melaka: Suara aku
didalan kubur lebih kuat tempiknya dari atas bumi. Begitulah
juga agaknya suara-suara Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein
dalam kubur bila melihat cara ABDULLAH AHMAD BADAWI hendak
memusnahkan UMNO.
|