|
Dalam Negeri
`Pinda perlembagaan jaga hak bukan Islam'
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
KUALA LUMPUR 17 Jan. - MIC meminta kerajaan meminda Perlembagaan
Persekutuan sedia ada bagi memastikan hak orang bukan Islam di negara
ini akan lebih terpelihara.
Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pendirian yang diambil
oleh parti itu adalah hasil daripada pertemuan dengan Majlis Perundingan
Agama yang dianggotai oleh wakil agama Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh
di pejabatnya semalam.
Katanya, beliau dan wakil setiap agama terbabit bercadang mengadakan
pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan
lebih lanjut berhubung perkara tersebut.
``Selain wakil agama beberapa peguam turut bersama-sama di dalam
pertemuan semalam dan saya telah mendengar beberapa pandangan daripada
mereka.
``Pada akhir pertemuan kita telah sepakat bahawa satu tindakan yang
lebih proaktif iaitu satu pindaan (Perlembagaan Persekutuan) perlu
dilakukan dan jika kerajaan bersetuju ia boleh mengatasi masalah pada
masa depan,'' katanya selepas majlis pertemuan dengan rakyat di ibu
pejabat MIC di sini, hari ini.
Beliau buat pertama kali mengulas mengulas kontroversi kes pendaki
Everest, Sarjan M. Moorthy atau Mohamad Abdullah yang memeluk Islam
sebelum kematiannya tanpa pengetahuan isteri beliau yang masih beragama
Hindu.
Ekoran daripada kontroversi itu beberapa pihak termasuk pertubuhan agama
telah meminta kerajaan meminda perlembagaan negara supaya Mahkamah Sivil
boleh mendengar perkara mengenai Islam apabila seorang daripada pihak
terlibat bukan Islam.
Samy berkata, satu laporan mengenai perkara itu (pindaan) sedang dibuat
dan apabila telah siap ia akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan
Timbalan Perdana Menteri.
``Saya juga akan membincangkan isu yang sama dengan Presiden MCA, Datuk
Seri Ong Ka Ting serta beberapa menteri bukan Islam sebelum mesyuarat
jemaah menteri esok.
``Menteri-menteri ini turut menjaga kepentingan orang bukan Islam dan
saya mahu mendapat pandangan dari mereka,'' ujarnya.
Beliau berkata pandangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu
seharusnya dijadikan satu jalan penyelesaian yang wajar dipertimbangkan
oleh kerajaan.
``Jika tidak ia boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.
``Kita mahu satu keputusan yang akhirnya kita bukan sahaja dapat duduk
bersama setakat satu tahun atau dua tahun tetapi untuk selama-lamanya,''
ujarnya.
Ketika ditanya mengenai undang-undang yang dikatakan tidak memelihara
hak orang bukan Islam beliau berkata, antaranya ialah keluarga bukan
Islam tidak berpeluang untuk mengetahui ahli keluarga mereka yang masuk
Islam.
``Satu masalah lagi ialah terdapat undang-undang Islam di negeri-negeri
yang menetapkan seorang yang telah memeluk Islam secara automatik
anak-anak mereka turut beragama Islam,'' ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut menjelaskan pindaan yang dicadangkan itu
tidak akan menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama rasmi.
``Kita tahu Islam adalah agama rasmi tetapi kita mahu juga hak-hak orang
bukan Islam sentiasa dipelihara supaya setiap masalah yang berbangkit
dapat diselesaikan,'' tambahnya.
|