|
Rumah ibadah berperanan mewujudkan negara harmoni
Rozmal bin Malakan <rozmal@yahoo.com>
Episod penghantaran dan penarikan balik memorandum meminda artikel 121
1(a) Perlembagaan Persekutuan oleh menteri-menteri kabinet bukan
Islam telah mendebarkan semua pihak. Sudah pasti semua rakyat Malaysia
ingin hidup dalam keadaan aman dan harmoni di dalam sebuah negara yang
rakyatnya terdiri daripada pelbagai lapisan agama dan bangsa.
Ianya menggambarkan bahawa masih terdapat jurang kefahaman antara agama
dan bangsa di Malaysia ini. Justeru itu rumah-rumah ibadah antaranya
masjid-masjid, kuil-kuil serta gereja-gereja seharusnya memainkan
peranan untuk memberikan pemahaman kepada penganut agama masing-masing
betapa peri pentingnya rakyat Malaysia ini harus hormat menghormati
antara satu sama lain.
Sekiranya selama ini kerajaan begitu efisien mengawal serta memantau
masjid-masjid serta pendakwah-pendakwah Islam yang memberi ceramah agar
tidak mencampur adukkan politik dan agama yang boleh membawa kepada
perpecahan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini. Maka perkara
yang sama haruslah diberi penekanan dan pemantauan kepada rumah-rumah
ibadah yang lain, agar sami-sami, paderi-paderi , penceramah-penceramah
bukan Islam tidak memberikan ceramah yang boleh membawa kepada
perpecahan antara rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
Sekiranya selama ini teks-teks khutbah Jumaat sentiasa dipantau dan
diteliti oleh pihak berkuasa agama serta Majlis Agama Islam Negeri maka
perkara yang sama haruslah dilakukan agar teks-teks khutbah serta
ceramah agama lain sentiasa dipantau dan mendapat kelulusan kementerian
yang berkaitan seperti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Malah tidak keterlaluan jika kerajaan mengambil inisiatif supaya
diadakan perhimpunan tahunan imam-imam masjid, sami-sami dan
paderi-paderi, dimana dalam perhimpunan ini diberi penerangan kepada
ketua-ketua agama ini dimana mereka ini memainkan peranan yang penting
untuk membentuk pengikut-pengikut agama masing-masing yang mempunyai
sikap bertoleransi dalam agama, bukannya bersikap mengapi-apikan
sentimen keagamaan dikalangan penganut penganut agama mereka.
Ini adalah kerana imam-imam, sami-sami serta paderi-paderi adalah orang
yang sentiasa menjadi tempat rujukan penganut-penganut pelbagai agama.
Mereka-mereka inilah sebenarnya yang dapat membentuk masyarakat
disekeliling mereka samada untuk menjadi masyarakat yang pasif, agresif,
ofensif atau bertoleransi. Malah mereka ini jugalah yang menjadi
sumber rujukan pihak pimpinan masyarakat dan pimpinan politik.
Sudi-sudi layari blog saya di waghih.blogspot.com
|