|
Subject: Peniaga sepatutnya diberi panduan naik harga barang
Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter baru-baru ini
sudah pasti memberi kesan langsung kepada semua harga barangan
di pasaran. Ini adalah logik akal kerana semua barangan yang
hendak dipasarkan memerlukan setidak-tidaknya kos pengangkutan
yang berkait langsung dengan penggunaan minyak, samada petrol,
diesel mahupun gas asli.
Memberi amaran kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga
barangan adalah merupakan satu tindakan yang tidak pro aktif
dalam kita sama-sama menanggung beban kenaikan harga minyak baik
daripada pihak pengguna, mahu pun pihak peniaga apatah lagi
pihak kerajaan.
Apa yang sepatutnya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna lakukan ialah menyediakan garis panduan
kepada pelbagai sektor peruncitan dan perniagaan di negara ini
untuk menaikkan harga barangan mereka mengikut kadar yang
bergantung kepada berapa banyak barangan berkenaan bergantung
secara langsung atau tidak langsung kepada
minyak atau hasil sampingan minyak.
Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter adalah merupakan
kenaikan sebanyak 18.6% daripada harga asal minyak. Dalam erti
kata lain kenaikan apa barang sekali pun di Malaysia ini
sepatutnya tidak boleh melebihi daripada 18.6% selepas kenaikan
harga minyak sebanyak 30 sen seliter.
Sebagai contohnya katakan harga ikan tenggiri sebelum kenaikan
minyak ialah RM 18 ringgit sekilo. Maka harga ikan tenggiri
selepas kenaikan minyak sebanyak 18.6% tadi tidak boleh melebihi
RM 21.35 sekilo. Tapi adalah tidak logik harga ikan tenggiri
adalah berkadar terus dengan kenaikan harga minyak. Katakan kos
pengangkutan dalam perniagaan barangan basah adalah 50% daripada
kos keseluruhan.
Justeru itu harga ikan tenggiri sekilo sepatutnya
dinaikkan 50% daripada 18.6% menjadikan harga ikan tenggiri yang
sepatutnya selepas kenaikan harga minyak ialah RM 19.70.
Malaysia mempunyai pakar-pakar ekonomi, pakar-pakar matematik,
pakar-pakar perangkaan dan pakar-pakar teknologi maklumat.
Justeru itu gunakanlah kepakaran mereka tadi untuk memberi garis
panduan kepada pelbagai sektor perniagaan di Malaysia ini untuk
menaikkan harga barangan mereka mengikut kadar yang sepatutnya.
Daripada perniagaan kecil-kecilan
hinggalah ke peringkat perniagaan besar-besaran, selaras dengan
apa yang dislogankan iaitu untuk melahirkan Melayu Glokal.
Berilah panduan kepada peniaga roti canai berapa harus mereka
menaikkan harga roti canai mereka, berilah panduan kepada
peniaga ikan berapa mereka harus menaikkan harga ikan mereka,
berilah panduan kepada pengeluar simen berapa mereka harus
menaikkan harga simen mereka. Kenaikan harga minyak hanya sekali
untuk tahun ini sepatutnya memudahkan pihak kerajaan untuk
mengeluarkan garis panduan tersebut. Bukan seperti kenaikan
harga minyak yang sedikit tetapi kerap seperti tahun yang
sebelumnya.
Sekiranya garis panduan ini tidak diberikan sudah pasti apa yang
akan berlaku ialah kesan domino , apabila ada pengeluar atau
pemborong yang menekan butang panik kerana tidak tahu berapa
hendak menaikkan harga barangan, mereka akan menaikkan harga
barangan mengikut kadar mereka sendiri untuk mengelakkan
kerugian memandangkan para pembekal sekeliling mereka
telah menaikkan harga barangan.
Yang pada akhirnya yang menanggung kerugian bukan
hanya para peniaga yang kehilangan pelanggan, bukan hanya para
pengguna yang semakin kosong poket mereka, bahkan kerajaan
sendiri yang akan rugi dari segi kehilangan pendapatan daripada
hasil cukai jualan.
Maka apakah tindakan memberi amaran kepada para peniaga untuk
tidak menaikkan harga barangan sebagai wajar ? Atau apakah
sepatutnya kerajaan memberi garis panduan kenaikan harga
barangan, dan kemudian mengambil tindakan kepada para peniaga
yang menaikkan harga barangan mereka pada satu kadar yang tidak
logik.
Selepas diberikan garis panduan kenaikan harga barangan,
terpulang pula kepada peniaga samada mereka hendak menaikkan
harga barangan mengikut garis panduan tersebut atau mengekalkan
pada harga lama bergantung kepada permintaan di pasaran atau
bergantung kepada kuasa membeli pengguna.
Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau, N.Sembilan
rozmal@yahoo.com , http://waghih.blogspot.com
|