|
From: Rozmal bin Malakan <rozmal@yahoo.com>
Subject: Jabatan Alam Sekitar perlu contohi MPS tangani masalah
alam sekitar
Date: Mon 04/17/06 04:38 AM
Saban hari alam sekitar di Malaysia ini menjadi perbualan hangat
kerana yang menerima bahana akibat permasalahan alam sekitar
yang tercemar ialah orang ramai.
Yang menjadi mangsanya pula ialah Jabatan Alam Sekitar.
Sedangkan orang ramai tidak mengetahui kedudukan sebenar Jabatan
Alam Sekitar samada mereka mempunya sumber yang secukupnya untuk
menangani masalah alam sekitar yang semakin mencabar mutakhir
ini. Samada sumber yang cukup dari segi kakitangan penguatkuasa,
sumber yang cukup dari segi kemudahan pengangkutan seperti
helikopter untuk mengawasi sungai yang tercemar, sumber kewangan
yang mencukupi untuk
mengendalikan sistem maklumat yang berkesan dan seterusnya.
Yang pasti ada golongan yang seronok menuding jari kepada pihak
tertentu apabila sesuatu masalah itu timbul tanpa menyedari
hakikat sebenar permasalahan serta puncanya.
Apa yang ingin saya cadangkan disini ialah orang ramai yang
prihatin akan masalah alam sekitar haruslah menjadi mata dan
telinga kepada Jabatan Alam Sekitar. Sekiranya mereka mempunyai
masalah berkenaan alam sekitar mereka boleh membuat aduan secara
terus kepada Jabatan Alam Sekitar sepertimana Polis DiRaja
Malaysia mengadakan konsep Rakan Cop untuk mengawal jenayah di
Malaysia ini.
Pujian harus diberikan kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS)
kerana mereka mempunyai sistem mata dan telinga yang cukup
efisien untuk orang ramai membuat aduan secara terus dan secara
rasmi kepada MPS mengenai permasalahan berkaitan pihak berkuasa
tempatan melalui sistem e-Public.
Saya telah menggunakan sistem e-Public MPS ini sejak ianya mula
dilancarkan. Dan saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan dan
maklumbalas serta tindakan susulan pihak MPS melalui sistem ini.
Setiap aduan yang dibuat melalui e-Public ini direkodkan dan
dapat disemak status pelaksanaannya dari masa ke semasa oleh
pengadu.
Justeru itu sekiranya Jabatan Alam Sekitar dapat
mengintegrasikan sistem seumpama e-Public atau Rakan Cop untuk
mengawasi permasalahan alam sekitar, sudah pasti
penjenayah-penjenayah alam sekitar tidak lagi akan bermaharaja
lela apabila mereka melakukan aktiviti mengaut keuntungan yang
hanya bahagia seketika tetapi derita selamanya.
Oleh itu sumber kewangan , sumber tenaga serta kerjasama
daripada orang ramai adalah begitu penting dalam mempastikan
negara kita Malaysia ini bebas daripada sebarang bentuk
pencemaran yang akan membawa derita kepada kaum keluarga kita
sendiri pada akhirnya.
Kerajaan bertanggung jawab menyediakan sumber tersebut melalui
Rancangan Malaysia ke 9, Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab
melaksanakannya, rakyat bertanggungjawab untuk memberikan
kerjasama.
Syarak Mengata , Adat Menurut - Syarak Dijunjung , Adat Dijulang
Sudi-sudi layari blog saya di http://waghih.blogspot.com
|