|
Seriuskah Umno mahu kepada Islam?
ROSLAN SMS
Mungkin ada yang marah dengan tajuk ini. Ianya bukan bermaksud
mahu mengkufurkan sesiapa, tetapi hakikatnya Umno merupakan
tulang belakang parti pemerintah.
Dalam hal Islam, kepada Umnolah lantaran kuasa yang ada ditangan
mereka, rakyat jelata yang beragama Islam berharap agar nasib
dan kebajikan serta masa depan Islam dapat dipertahan dan
dimartabatkan.
Soalnya, sebagai parti yang memegang tampuk pemerintahan,
seriuskah Umno dalam melakukan tugas ini?
Cuba kita perhatikan MINGUAN MALAYSIA semalam.
Mukasurat enambelas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana
Menteri Dr Mashitah Ibrahim dalam satu majlis di Baling
dilaporkan sebagai berkata bahawa JAKIM sedang merangka garis
panduan hiburan alternatif supaya dipatuhi dan diikuti oleh
semua pihak.
Kata beliau lagi:
Kita mahu menetapkan garispanduan lengkap mengenai hiburan
alternatif yang itdak bercangan dengan Islam. Kerajaan tidak
mahu membiarkan hiburan cara barat mempengaruhi remaja Islam di
negara ini sehingga mereka lalai.
Wujudnya kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT), Black Metal, ounk dan
ROCK yang menular di negara ini amat MEMBIMBANGKAN kerajaan.
Manakala kalau kita selak akhbar yang sama mukasurat sebelas
kita akan terjumpa berita dengan tajuk:
Konsert Malam Indonesia: 8 ditahan disyaki baling botol air
Berita tersebut merujuk kepada Konsert Malam Indonesia yang
diadakan Sabtu lepas di Stadium Merdeka. Konsert gergasi
tersebut atas anjuran HOTLINK membariskan artis-artis terkemuka
Indonesia antaranya Dewa 19, Gigi, Padi, Cokelat, Ada Band, Ari
Lasso, Ratu dan Unggu.
Menurut laporan konsert selama 8 jam bermula jam 3 petang itu
telah dibanjiri oleh lebih 20,000 orang penonton yang
bersesak-sesak menari dan melonjak-lonjak mengikuti persembahan
artis-artis pujaan mereka. Penonton rata-rata terdiri dari
rakyat Malaysia dan warga Indonesia sendiri.
Berdasarkan kedua-dua berita inilah maka saya bertanya:
Seriuskah Umno mahu kepada Islam?
Pada satu ketika Umno atas platform Islam Hadhari cuba membawa
imej bersih, bermoral dan taat pada agama.
Akan tetapi pada ketika yang lain Umno tanpa ragu memberi lesen
besar kepada pihak-pihak tertentu menganjurkan konsert dan
majlis hiburan yang sudang barang-pasti menghimpunkan muda-muda
dan orang-ramai dalam cara yang paling tidak syarie.
Kalau benar kerajaan bimbang kepada penularan budaya ini mengapa
kerajaan sendiri yang memberikan baja sehingga mekar subur ia.
Akhirnya yang menjadi keliru adalah rakyat jelata, yang menjadi
mangsa adalah Islam, yang ditebuk dan dikikis mengikut selera
dan kehendak mereka, asal sahaja menguntungkan dan mendapat
sokongan ramai.
Air yang manis dan tawar tak dapat dihimpunkan dalam satu gelas.
Kalau dihimpunkan juga hilanglah tawar dan yang tingal adalah
manisnya. Atas kitalah samada mahu kekalkan tawar atau mahu yang
manis.
Dalam erti kata lain Islam dan mungkar tak boleh dihimpunkan
dalam satu bekas. Atas Umnolah untuk pilih yang mana satu.
SILA KE BLOG ROSLAN SMS
http://n32.blogspot.com
|