|
BAHAWA kami Persatuan Melayu
Negeri Perlis (PEMANIS), menyampaikan pernyataan dan
keperhatinan kami terhadap berakhirnya penerbitan akhbar
Utusan Melayu bertulisan jawi yang sebelum ini - dalam zaman
sebelum dan pra kemerdekaan tanahair - menjadi nadi
perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan, sehingga
tercapainya kemerdekaan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia
termasuk para pemimpin yang sebelum ini tidak mengenal atau
sengaja tidak memberi keperhatinan kepada akhbar Utusan
Melayu.
PERANAN Utusan Melayu amat besar dalam membina jati
diri Melayu (seperti juga akhbar-akhbar berbahasa lain yang
membina jati diri bangsanya). Melalui Utusan Melayulah:
• Menjadi sumber sejarah perjuangan orang-orang Melayu. Di
samping perjuangan menuntut kemerdekaan, Utusan Melayu
merupakan perjuangan membina penghidupan masyarakat Melayu
terutama masyarakat di kampung-kampung (yang rata-rata
masyarakat Melayu 76 peratus tinggal di luar bandar).
• Utusan Melayulah memperkembangkan ilmu pengetahuan dan
minda masyarakat Melayu kerana suatu ketika dahulu
penerbitannya menyeluruh di Tanah Melayu selain akhbar Warta
Negara.
• Utusan Melayulah - akhbar bertulisan jawi - yang
disesuaikan daripada tulisan al-Quran menjadi sumber
pembacaan yang menyenangkan masyarakat Melayu beragama Islam
membaca Al-Quran dan mempelajari isi-isi naskhah,
kitab-kitab agama dan hikayat-hikayat yang menggunakan
tulisan jawi - melalui Al-Quran, kitab-kitab dan
hikayat-hikayat itulah memperkembangkan sahsiah, keyakinan
diri, keimanan, memperteguhkan semangat, jati diri dan
kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanahair.
• Utusan Melayulah, di samping majalah-majalah lain yang
bertulisan jawi seperti Mastika, Qalam, Mutiara, Qiblat,
Warta Negara dan Warta Mingguan (di utara) yang menyibarluas
ilmu, pendidikan, kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan
Melayu.
• Munculnya Tongkat Warrant, Keris Mas, Pak Sako, A. Samad
Ismail, A. Samad Said, Ruhi Hayat, Burhanuddin Helmy, Aziz
Ishak, Aminuddin Baki, Atan Long, Awang Had Salleh, Shahnon
Ahmad, Mazlan Nordin dan sasterawan serta penulis masa kini
seperti S.Othman Kelantan, Baha Zain, Hassan Ahmad,
A.F.Yassin, Nahmar Jamil, Mokhtar Yassin, Alias Ali, Wahba,
Wahab Ali, Kamaludin Mat Lela, Rashid Ahmad, Zakaria Abadi,
Jihati Abadi, Noorjaya dan sekian ramai lagi kalangan
penulis Melayu mengasah bakat dan menulis melalui Utusan
Melayu!
• Utusan Melayu juga membina jati diri dan semangat pemimpin
tanahair seperti Dato' Oon, Tun Abdul Razak, Tengku Abdul
Rahman, Tun Dr. Ismail, Ghaffar Baba, Saadon Zubir, Jaafar
Albar dan sekian ramai mantan-mantan menteri dan mantan
pemimpin-pemimpin negara yang membina negara ini:
Semenanjung Tanah Melayu.
• Betapa besarnya jasa dan bakti 'Utusan Melayu' dan
Syarikat Penerbitannya yang bermula di Singapura pada 29 Mei
1939, mencecah usia hampir 67 tahun!
SEHINGGA begitu besar jasa dan baktinya kepada bangsa
Melayu, agama Islam dan tanahair, lantaran apakah akhbar
Utusan Melayu 'berkubur' begitu sahaja, sedangkan
akhbar-akhbar bahasa lain yang mempunyai identiti tulisannya
yang tersendiri terus berkembang dan berwibawa? Mengapa?
• Para pemimpin dan orang Melayu yang berkepentingan memburu
globalisasi, menumpukan perjuangan memajukan bangsa Melayu
melalui bahasa Inggeris, menyebabkan akhbar tulisan jawi ini
berkubur.
• Pemimpin Melayu tidak peka dan prihatin terhadap tulisan
bangsanya sendiri, jika dibandingkan dengan pemimpin bangsa
lain yang begitu memberi perhatian kepada bahasa, tulisan
dan akhbar bangsanya seperti bangsa Cina dan India terhadap
akhbar yang menggunakan bahasa mereka - akhbar tulisan rumi
sebenarnya dibaca juga oleh kedua-dua bangsa itu.
• Pemimpin kita khususnya yang menerajui Kementerian
Pelajaran (dulu Kementerian Pendidikan) barang kali tidak
menyedari bahawa tulisan jawi merupakan jati diri, identiti
dan maruah bangsa Melayu. Jika Cina dan India mempunyai
tulisannya yang tersendiri merupakan identiti bangsanya,
mengapa Melayu tidak mempertahankan tulisan jawi sebagai
identiti bangsa Melayu?
• Apakah kerana tulisan jawi ini berasal daripada bahasa
Arab maka kita merasakan tulisan tersebut bukan identiti
bangsa kita? Bukankah tulisan Cina hampir serupa dengan
tulisan Jepun dan Korea? Bukankah tulisan India hampir
serupa dengan tulisan Burma dan Sri Langka? Bukankah setiap
tulisan itu saling pengaruh mempengaruhi melalui budaya
bangsa dan masyarakatnya. Apa salahnya tulisan jawi yang
dipengaruhi daripada tulisan Al-Quran (Arab) kita jadikan
tulisan identiti dan jati diri kita? Dan patut disedari
bahawa, meskipun kita mengambil tulisan Arab, kita
ubahsuaikan dengan ejaan dan bahasa kita sendiri. Bangsa
Arab sendiri tidak dapat memahami tulisan jawi yang sudah
menjadi tulisan kita pula!
KERANA itu kami berpendapat untuk memartabatkan
kembali tuliasan jawi sebagai suatu sumber pendidikan dan
budaya Melayu, sewajarnya:
• Kerajaan, khususnya pihak-pihak yang bertanggungjawab
dalam Kementerian Pelajaran berusaha (jika menyedari bahawa
bangsa Melayu sudah tidak mempunyai tulisan identiti
bangsanya) mempergiatkan anak-anak bangsa kita mempelajari
pelajaran jawi ini di sekolah-sekolah, mulai sekolah rendah
sehingga ke sekolah Menengah dan institusi pengajian tinggi.
Jadikan pelajaran wajib sepertimana yang dilakukan di
sekolah-sekolah Cina dan India mewajibkan tulisan mereka.
Mengapa kita tidak boleh?
• Suatu ketika dahulu ada pendapat yang mengatakan,
mempelajari tulisan jawi akan membebankan pemikiran
anak-anak kita! Kenapa pula bangsa Cina dan India
mempelajari tulisan mereka tidak membebankan? Mengapa? (pendapat
itulah atau mantan menteri itulah yang melumpuhkan tulisan
jawi - sepatutnya dikecam). Ini merupakan sejarah, sejarah
tidak dapat dipadam sampai bila-bila!
• Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan berperanan
benar-benar untuk mempopulerkan kembali tulisan jawi ini.
Tulisan jawi merupakan warisan bangsa. Kerajaan telah
memperuntukan sebanyak RM26 juta (wang rakyat) untuk
melaksanakan program pemulihan jawi. Pergunakanlah wang
tersebut sebaik mungkin untuk menebus kembali maruah bangsa
Melayu! Jika tidak dipecahkan ruyung di manakah dapat
sagunya?
• Penerbitan Utusan Melayu masih berperanan untuk
menyibarluaskan akhbar yang bertulisan jawi ini melalui 'sisipan'
seminggu atau sebulan sekali. Jika sekian banyak sisipan
diterbitkan, tentulah naskhah yang bertulisan jawi ini dapat
juga dilakukan. Jika hendak seribu daya ...
• Ahli-ahli korporat Melayu yang prihatin terhadap jati diri
dan maruah bangsa (lainlah jika ahli-ahli korporat Melayu
yang sudah lupa kepada jati diri - perjuangan mereka
semata-mata untuk globallisasi) seperti Yayasan Al-Bokhari
dan sekian banyak lagi ahli-ahli korporat Melayu yang muncul
dari hasil perjuangan pemimpin Melayu (yang tidak melupakan
diri dahulu) boleh turut bersama berusaha membantu
Penerbitan Utusan Melayu.
APA LAGI yang kita tunggu dan lihat setelah sekian
banyak budaya, jati diri dan identiti bangsa Melayu sudah
terhakis? Bahasa Melayu sudah dipinggir dan diketepikan oleh
pemimpin, pegawi kerajaan dan ahli-ahli korporat Melayu
sendiri. Anak-anak muda kita sudah begitu ramai mengenepikan
budaya bangsa kita, semakin banyak yang bersikap 'kurang
ajar' akibat daripada tidak kukuh jati diri, budaya dan
identiti bangsa, sedangkan bangsa-bangs lain tidak.
Apa lagi yang kita tunggu?
KAMI Persatuan Melayu
Negeri Perlis (PEMANIS) merasakan begitu terharu dan terhina
apabila sebuah akhbar yang begitu banyak berjasa dan
berbakti kepada bangsa Melayu, tiba-tiba 'berkubur' lantaran
orang Melayu sendiri termasuk di antaranya para pemimpin
Melayu sendiri yang tidak prihatin terhadap jati diri,
identiti dan maruah bangsa.
Kami berpendapat, maruah bangsa bukan saja dapat
membangunkan bangsa melalui pembangunan ekonomi, sains dan
teknologi. Maruah bangsa (seperti mana negara-negara maju
seperti Jepun, Korea, China (di sebelah Timur) dan Jerman,
Perancis, Rusia, Itali (di Barat) - maruah bangsa mereka
terpelihara begitu kukuh dengan semangat kental
memartabatkan bahasa dan budayanya!
Mengapa kita tidak? Mengapa kita melihat 'ke Timur' hanya
mengambil contoh pembangunan ekonomi tidak 'melihat' bersama
pembangunan bahasa dan budayanya?
Kami berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab terutama
pemimpin-pemimpin Melayu prihatinlah kepada budaya bangsa
Melayu yang kian terhakis sekarang akibat terlalu menekankan
kepada pembangunan ekonomi: Pembangunan ekonomi, sains dan
tenologi tanpa diseimbangkan dengan pembangunan budaya
pincanglah masyarakat!
Orang-Melayu kini sewajarnya perlu berani memperjuangkan
nasib bangsanya, sepertimana yang dilakukan oleh bangsa Cina
dan India yang begitu berani memperjuangkan nasib bangsa
mereka, apa lagi bangsa Melayu merupakan waris sejati negara
ini.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr. Mahathir
Mohamad juga berharap begitu. Mengapa seharusnya kita takut,
jika kita berjuang berdasarkan kebenaran. Sabda Rasullullah
s.a.w: Katakanlah kebenaran itu meskipun pahit.
Kami berharap para pemimpin kita tidak membeza- bezakan
pendapat antara pemimpin dengan rakyat dari golongan mana
sekalipun. Jika baik jadikan teladan, jika buruk jadikan
sempadan. Bukankah negara kita berlandaskan sistem demokrasi?
Kami jua berharap dan berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar
pihak-pihak yang berkenanan terutama para pemimpin negara
akan berbuat sesuatu demi menyelamatkan tulisan jawi dan
bahasa Melayu yang merupakan identiti, jati diri dan maruah
bangsa Melayu. Jika sesuatu itu dilakukan kami ucapkan
berbanyak-banyak terima kasih dan berdoa agar diberkati
Allah s.w.t.
Wabillah-hitaufik - assalamualaikum.
Ikhlas daripada kami,
Rejab bin Ismail,
Timbalan Yang Dipertua,
Persatuan Melayu Negeri Perlis
(PEMANIS)
|