BALIK KE MUKA UTAMA


BERITA KAMPUS UM

MAHASISWA & KAKITANGAN MENENTANG PELANTIKAN RAZALI AGUS SEBAGAI NC UM

Episod diktaktor Naib Canselor(NC) Hashim Yaacob telah terkubur. Beliau kini menjadi artifek bernyawa bersama sejarah kezaliman dan penyelewengan yang pernah dilakukannya yang kesannya dapat dilihat sekarang malah akan kekal menghantui generasi mahasiswa & kakitangan Universiti Malaya.

Kejatuhan Hashim Yaacob sebenarnya adalah atas usaha semua pihak yang mahukan keadilan tertegak di Universiti Malaya selain mahukan seorang pemimpin yang berkaliber dalam pentadbiran universiti ke arah memacu universiti menjadi yang terbaik di dunia. Namun kita tidak berseorangan bersorak gembira dengan kejatuhan Hashim Yaacob. Ia turut diraikan oleh puak-puak yang gila kuasa yang sedang mengintai untuk menguasai tampuk pemerintahan universiti tertua di Malaysia ini.

Puak yang dimaksudkan ini didapati lebih zalim dan kejam serta mempunyai rekod yang lebih teruk dari pemerintah Hashim Yaacob sebelum ini. Oleh itu tugas kita di dalam mahu pun diluar kampus belum selesai setakat ini. Cabaran yang paling getir adalah menentukan Naib Canselor baru yang betul-betul layak memimpin Universiti Malaya.

Setelah penamatan kontrak Hashim Yaacob sebagai NC UM pada 31 Mac 2006, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Razali Agus telah mengambil alih tempat sebagai pemangku untuk tempoh sebulan sebelum kerajaan mengumumkan NC yang sebenar.

Razali Agus telah mula menapak malah lebih pantas dan luar biasa sekali pergerakannya. Beliau telah mula membina tapak walaupun pelantikannya sebagai pemangku hanya sebulan sahaja. Beberapa perubahan drastik dalam pentadbiran bakal dilakukan dalam tempoh terdekat. Beberapa jawatan penting bakal bertukar tangan dan tentunya akan diisi oleh orang-orang kepercayaannya. Beberapa penyingkiran bakal dilakukan bagi memastikan beliau selamat dan terus dilantik manjadi NC UM selepas tempoh sebulan tamat pada 30 April 2006.

Tidak dapat dinafikan bahawa Razali Agus adalah antara pihak yang berperanan menjatuhkan NC Hashim Yaacob disamping rekod buruk dan pergeseran antara Hashim Yaacob dan pentadbiran tertinggi UM. Beliau merupakan duri dalam daging dalam kejatuhan Hashim Yaacob. Oleh itu beberapa orang penting Hashim Yaacob sebelum ini dikatakan akan disingkir dan ditukarkan ketempat lain.

Untuk itu kita perlu melihat apa yang bakal berlaku dalam tempoh sebulan ini. Mungkin ada sesuatu peristiwa BESAR yang akan berlaku dalam tempoh terdekat ini. Razali Agus pasti tidak akan berdiam diri. Sesuatu pasti lakukan demi mencuci tahi-tahi yang terpalit ditubuhnya bagi membolehkan beliau kekal dikerusi empuk NC.


30 DOKUMEN SALAH LAKU RAZALI AGUS

Harakah keluaran terbaru minggu ini memaparkan sesuatu yang amat menggemparkan apabila seorang kakitangan UM mendakwa ada memiliki dokumen salah laku Razali Agus yang didakwa setebal 30 muka surat. Benarkah dakwaan tersebut?

Jika ditanya siapa sebenarnya Razali Agus, pasti semua orang di UM samada mahasiswa mahupun kakitangan mengenalinya. Mengenalinya melalui rekod buruk yang terpalit disepanjang pentadbirannya.

Razali Agus terkenal dengan penyelewengan yang terlalu banyak. Penyelewengan ketika menjadi pengetua kolej Kediaman Kesepuluh dan ketika menjadi TNC (HEP). Semua orang tahu akan penyelewengan yang pernah dilakukan. Pernah suatu ketika satu laporan kepada BPR telah dilakukan oleh pihak tertentu dan sehingga sekarang aduan tersebut masih belum disiasat dan dokumen aduan tersebut masih disimpan oleh beberapa individu di dalam UM.

Kes-kes penyelewengan duit kolej dibeberapa buah kolej kediaman yang turut dilakukan bersama sahabat karibnya iaitu pengetua kolej Ke9 sekarang iaitu Wira Karnain. Beberapa buah kolej telah didapati bankrup akibat kerja tidak bertanggungjawab Razali Agus dan kroni-kroninya.

Tindakan beliau menempatkan pegawai-pegawai HEP dan beberapa individu berkepentingan sebagai penyelia kolej secara sesuaka hati telah menyebabkan keadaan kolej kediaman menjadi bertambah teruk. Mereka ini telah mengambil kesempatan dengan menggunakan kemudahan kolej sewenang-wenangnya. Duit kolej dibelanjakan untuk benda yang tidak berfaedah. Duit tabung kolej yang ada antaranya derma dari orang ramai untuk membina surau telah hilang entah kemana.

Penyelia-penyelia ini juga telah menggunakan sepenuhnya rumah yang diberi untuk sebagai tempat berhibur dan membawa keluar masuk perempuan sesuka hati mereka. Malah ada juga yang mengambil makanan dari pihak kantin kolej sesuka hati mereka untuk majlis peribadi di rumah. Terdapat juga penyelia yang menjadikan tukang masak kolej sebagai orang gaji mereka. Semua bahan mentah masakan datang dari duit kolej dan mereka adalah pelahapnya. Ini telah menyebabkan pentadbiran kolej menjadi huru-hara.

Kes-kes penyelewengan Razali Agus dan konco-konconya telah mendapat perhatian daripada Canselor UM sendiri iaitu Sultan Azlan Shah serta ahli lembaga pengarah universiti yang telah menubuhkan pasukan penyiasat untuk mengaudit setiap kolej kediaman di Universiti Malaya.

Kerja menyelewengkan duit UM disambung ketika beliau menjawat jawatan TNC (HEP). Beberapa tabung yang ada antaranya tabung untuk projek kakitangan UM telah lesap dibawah tanggungjawabnya. Malah projek yang dijanjikan juga tidak berjaya dan terbengkalai.

Penyalahgunaan kuasa terhadap mahasiswa pula melibatkan kes-kes disiplin pegawai-pegawai HEP lantikan Razali Agus yang terlibat dalam kes pukul mahasiswa, cabul mahasiswi dan pelbagai lagi salah laku. Terdapat juga kes pegawai HEP mengherdik staf dari jabatan lain sehingga mencetuskan pergaduhan. Ia juga melibatkan kes pukul semasa pilihanraya kampus dimana beberapa individu asing telah diupah untuk menakut-nakutkan mahasiswa.

Terdapat banyak lagi penyelewengan Razali Agus yang tidak dapat didedahkan di sini. Maka tidak hairanlah kita jika memang wujud dokumen setebal 30 muka surat tentang salah laku Razali Agus. Kita nantikan sahaja siapakah staf yang akan mendedahkan dokumen-dokumen berkenaan.


GERAKAN ANTI RAZALI AGUS?

Pada hari Jumaat yang lepas, Universiti Malaya telah digemparkan dengan terbentangnya sebuah banner yang menentang pelantikan Razali Agus sebagai NC UM. Mereka yang mengelarkan diri mereka sebagai Gerakan Anti Razali Agus telah menyatakan bantahan dan ketidakpuasan hati mereka melalui banner yang telah digantung di hadapan lampu isyarat dihadapan Masjid Ar-Rahman.

Tidak diketahui siapa yang bertanggungjawab menggantung banner mengecam Razali Agus itu. Mungkin golongan mahasiswa atau mungkin kakitangan universiti sendiri yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Razali Agus sebagai pemangku NC.

Memang tidak dapat dinafikan, memang wujud Gerakan Anti Razali Agus samada dikalangan pelajar sendiri mahupun kakitangan UM yang dikatakan telah berpecah kepada beberapa kumpulan dalam isu pengganti NC UM.

Mahasiswa sendiri telah lama menyimpan dendam atas tindakan Razali Agus melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang menekan amalan demokrasi di kampus melalui pilihanraya serta aktiviti seharian mahasiswa. Bukan setakat itu sahaja, beliau turut menyekat segala aktiviti berunsurkan agama khususnya anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Akibat mahu menyekat dakwah Islam di kampus, beliau telah melantik beberapa pegawai HEP yang sebelum ini adalah merupakan bekas mahasiswa UM dan juga anggota rejim aspirasi. Nama-nama seperti Kalam Azad Abu Bakar, Eduardo Marusin, Mohd Hairolnezam Khamis, Mahaganapathy Dass @ Paskaradass, Halmi Rajin, Mahadzir Mat Isa dan beberapa lagi telah dilantik untuk memantau gerakan mahasiswa. Mereka ini bukan sahaja dilantik sebagai pegawai di HEP malah turut dilantik sebagai penyelia kolej.

Akibatnya kolej-kolej telah kepupusan golongan agama. Aktiviti surau menjadi lesu dan budaya couple serta maksiat berleluasa dan bermaharajalela. Itulah yang sebenarnya dihendaki oleh Razali Agus. Baginya agama Islam itu adalah penghalang kemajuan, mewujudkan golongan yang menentangnya serta bertentangan dengan nafsu serakahnya. Maka dakwah Islam dicantas secara terang terangan. Apa yang lebih malang lagi, semua aktiviti agama dipantau oleh seorang pegawai bukan Islam. Begitulah prinsip kepimpinan Razali Agus.

Sebagai TNC (HEP) beliau juga telah bertindak sebagai ketua dalam memastikan penipuan dan penyelewengan berlaku semasa pilihanraya kampus. Beliau telah menggunakan segala kuasa bersama jenteranya dengan mengugut dan memaksa pelajar mengundi calon pilihan HEP. Jika mahasiswa ingkar, mereka diugut untuk dibuang kolej. Pelbagai lagi taktik kotor telah digunakan demi memastikan demokrasi kampus terkubur termasuk membawa masuk kaki pukul dari yang telah mencetuskan huru-hara dalam kampus.

Apa yang menarik adalah terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa, HEP UM telah membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi menjamin calon tajaannya menang ketika pilihanraya kampus yang lepas. Ini termasuklah belanja menyediakan tshirt dan makanan untuk diagihkan kepada semua mahasiswa. Soalnya dari mana HEP mendapat sumber duit ini? Tambah malang lagi pihak HEP pada pilihanraya yang lepas telah melepaskan tanggungjawab membuat banner dan poster atas alasan terlalu banyak calon yang bertanding, sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka.

Selain itu, pihak HEP dibawah Razali Agus juga telah membelanjakan ratusan ribu ringgit dalam meraikan kemenangan calon Aspirasi tajaannya. Lawatan keluar Negara seperti ke London, Mesir, Indonesia Thailand dan banyak lagi Negara lain telah dilakukan bagi meraikan kemenangan mereka. Rombongan melancong ini telah pergi ketempat-tempat pelancongan utama untuk bersuka ria sesama mereka. Mereka turut dibekalkan duit saku setiap seorang. Untuk mengaburi orang awam mereka telah menggunakan nama lawatan sambil belajar untuk menghalalkan penggunaan duit universiti. Selain lawatan anjuran HEP, mereka juga turut membahagi-bahagikan program lawatan itu kepada kolej-kolej tertentu sebagai ucapan terima kasih atas sumbangan semasa pilihanraya.

Lawatan-lawatan ini turut disertai oleh pengetua-pengetua kolej, pegawai HEP dan beberapa individu penting dengan sebahagian besar mereka membawa anak bini mereka sekali. Mengapakah semua ini boleh berlaku sedangkan universiti memerlukan sumber kewangan yang besar untuk memajukan tahap pencapaiannya. Namun pihak tertentu sanggup membelanjakan ratusan ribu ringgit duit universiti untuk segelintir pihak atas matlamat berseronok.

Bagi golongan kakitangan pula, didapati majoriti kakitangan tidak bersetuju dengan pelantikan Razali Agus sebagai NC berdasarkan rekod buruknya sebelum ini yang terkenal sebagai seorang penyeleweng dan perasuah. Mereka mula bimbang pelantikan Razali Agus akan mencetuskan suasana tidak stabil kepada universiti. Ini kerana Razali Agus tidak mendapat sokongan daripada Canselor, Pro Canselor dan Ahli Lembaga Pengarah UM sendiri. Lebih dari itu beliau juga tidak mendapat sokongan dari kalangan golongan akademik yang telah masak dengan sikap beliau.

Selain itu wujud beberapa kumpulan dikalangan kakitangan akademik yang mengesyorkan beberapa nama yang dikatakan sesuai untuk menjawat jawatan itu. Lebih mengejutkan ialah tindakan sesetengah pihak yang menghantar memorandum menyokong individu-individu tertentu. Malah ada individu tertentu yang begitu berani berjumpa dengan Menteri KPT dan PM sendiri untuk menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pelantikan Razali Agus sebagai NC. Ini dilakukan bagi menghalang Razali Agus yang memangku jawatan NC daripada kekal menjawat jawatan tersebut.

Terkini sebuah fakulti telah menghantar memorandum kepada KPT dan Perdana Menteri mencalonkan seorang Profesor dari fakluti itu sendiri. Malah terdapat juga cadangan untuk menaikkan bekas TNC (Akademik) ketika zaman NC Anuar Zaini yang dikatakan mendapat sokongan penuh Ahli Lembaga Pengarah UM. Juga kedengaran Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) juga turut mencadangkan ahlinya. Nama-nama lain yang turut menjadi perhatian adalah Pengarah PPUM dan 2 orang lagi TNC yang ada.

Malah ada juga yang mengatakan terdapat juga golongan yang tidak menyokong wanita menerajui UM serta mahukan orang dalam dilantik mengisi kekosongan yang ada. Golongan yang masih setia dibelakang bekas NC Hashim Yaacob juga dikatakan sedang merancang strategi bagi membalas dendam akan penamatan kontrak Hashim Yaacob. Mereka dikatakan akan menjadi golongan pengacau. Ini kerana Hashim Yaacob dan Razali Agus sering bertentangan pendapat dan terdapat perselisihan faham sesama mereka.

Perpecahan ini dilihat amat serius dan apa yang dikuatiri ialah jika Razali Agus dilantik sebagai NC, beliau akan menjadi seperti bekas NC sebelum ini iaitu Hashim Yaacob malah dijangka lebih teruk lagi. Beliau bukan sahaja tidak akan mendapat sokongan dari kakitangannya sendiri malah bakal dipulaukan oleh pihak-pihak tertentu. Ketidaksefahaman pentadbiran tertinggi seperti apa yang berlaku diantara Hashim Yaacob dan Canselor UM bakal berlaku malah ia lebih dahsyat dari itu.

Mengikut rekod semasa, Razali Agus telah gagal dalam 2 percubaan untuk menjawat jawatan NC di 2 buah IPTA tempatan. Ini semua gara-gara rekod buruk yang beliau miliki. Selain itu, kreadibiliti beliau sebagai pemimpin juga dipertikaikan. Cara pengurusan beliau serta kefasihan bertutur dalam bahasa Inggeris juga heboh diperkatakan.

Oleh itu tidak hairanlah wujud satu gelombang penentangan dikalangan mahasiswa dan kakitangan UM sendiri baik diperingkat tertinggi sehingga yang terendah. Oleh itu marilah kita bersama-sama berdoa dan bertindak dalam memastikan UM diterajui oleh seorang pemimpin yang benar-benar bersih dan mampu membawa universiti ke tahap tertinggi. UM perlukan pembaharuan pentadbiran setelah zaman merudum dibawah pimpinan Hashim Yaacob. Kami mahukan UM terus maju dan jika pemimpin seperti Razali Agus dipilih, maka hancurlah cita-cita itu.


RAZALI TERDESAK DAPATKAN SOKONGAN MENJADI NC UM

Walaupun baru beberapa hari memangku kerusi Naib Canselor (NC) UM, Razali Agus telah mula mengambil langkah drastik bagi terus kekal memegang jawatan itu. Beliau sedang cuba mengatur strategi dalam tempoh sebulan yang ada ini bagi memastikan matlamatnya tercapai.

Maka tidak hairanlah beberapa perubahan dan pertukaran jawatan penting dalam pentadbiran UM akan berlaku. Beberapa perubahan akan dilakukan ke atas pentadbiran yang ada sekarang.

Situasi sekarang jelas tidak memihak padanya. Apatah lagi setelah mendapat tahu bahawa calon yang dicadangkan oleh kerajaan iaitu Sharifah Hapsah adalah merupakan calon yang cukup lemah. Pertama kerana beliau adalah orang luar, kedua kerana beliau seorang wanita, ketiga beliau adalah merupakan anggota Sister In Islam (SIS), keempat adalah kerana beliau melalui National Council of Women Organizations Malaysia (NCWO) telah menyokong penubuhan Suruhajaya Antara Agama (IFC) yang mencadangkan tuntutan yang akan merosakkan akidah umat Islam yang ditentang hebat sebelum ini sebelum ianya ditangguhkan oleh PM sendiri. Beliau adalah merupakan pengerusi (NCWO).

Mungkin tindakan akhbar tempatan menaikkan nama Sharifah Hapsah bertujuan serampang dua mata. Ia untuk menarik perhatian umum kepada beliau dan tidak kepada Razali Agus. Ini kerana kedua-dua mereka ini mendapat sokongan dari UMNO dan Khairy Jamaluddin menantu PM. Mungkin ia strategi mereka bagi membolehkan salah seorang dari mereka bergerak bebas merancang strategi bagi menjawat jawatan NC ini.

Namun begitu ia tidak begitu mudah bagi Razali Agus untuk menduduki kerusi NC ini. Ini kerana rekod buruk beliau yang penuh dengan rasuah, penyelewengan serta penindasan dan kezaliman terhadap mahasiswa merupakan masalah besar yang perlu dibersihkan. Selain itu beliau tidak mendapat sokongan dari kakitangannya sendiri. Golongan akademik adalah golongan yang paling lantang menentang beliau. Ini ditambah dengan hubungan beliau yang tidak baik dengan Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Pro Canselor malahan Canselor sendiri.

Untuk mencapai matlamatnya walaupun dirinya kotor, beliau perlu satu rancangan yang baik untuk melobi semua golongan yang terdapat di UM. Usaha pertama beliau adalah mengarahkan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) menghantar memorandum menyokong beliau dilantik sebagai NC. Tanpa mengendahkan rekod buruknya dengan mahasiswa beliau telah mempergunakan MPMUM sebagai batu loncatan beliau. Sesungguhnya MPMUM adalah golongan ‘angguk-angguk…geleng-geleng…tunduk-tunduk…ikut telunjuk…sama-sama…ia-ia… sama saja ‘. Mereka ini adalah golongan yang tiada pendirian dan berkepentingan peribadi. Apa yang boleh kita harapkan dari kepimpinan yang semacam ini.

Seterusnya beliau telah melobi beberapa orang penting dalam kementerian dan PM sendiri untuk melantik beliau sebagai NC. Tidak cukup dengan itu usaha melobi cuba dilakukan terhadap pentadbiran tertinggi UM iaitu dari Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Pro Canselor hingga kepada Canselor walaupun usaha ini dikatakan mustahil.

Beliau juga sedang giat merencanakan perjumpaan dengan semua Profesor-Profesor seluruh UM bagi meminta simpati dan sokongan. Ini berlaku setelah sebuah fakulti menghantar memorandum kepada PM dan KPT mencadangkan nama lain sebagai NC UM.

Terdapat juga aura-ura yang satu perhimpunan untuk menyatakan sokongan terhadap beliau akan diadakan tidak lama lagi bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan penuh dari semua pihak.

Oleh itu tidak hairan apabila kita dapat perhatikan kereta beliau sentiasa berada di hadapan DTC termasuk pada hari Sabtu dan Ahad. Mungkin hari Sabtu dan Ahad adalah tarikh yang sesuai untuk merangcang strategi. Perbincangan sulit yang bertempat di pejabat NC tersebut juga turut melibatkan beberapa pegawai dari HEP.

Tindakan melulu Razali Agus ini telah menyebabkan UM lumpuh. Tiada noktah untuk sesuatu isu dan tiada peneraju bagi sesebuah fakulti/akademik/pusat. Ini kerana tindakan beliau yang dikatakan akan menamatkan perkhidmatan ketua jabatan/dekan/pengarah.

Sesungguhnya pelantikan Razali Agus sebagai NC UM bakal membawa imej buruk universiti bukan sahaja di dalam negara malah keseluruh dunia. Usaha untuk mempertingkatkan kedudukan UM dalam rangking dunia akan terjejas.


MAHASISWA MENENTANG PELANTIKAN RAZALI AGUS SEBAGAI NC UM

Mahasiswa hari ini ingin menyuarakan kebimbangan kami di atas pelantikan Prof Razali Agus walaupun sebagai pemangku NC. Pelantikan beliau sebagai pemangku lebih merupakan proses cuba-cuba yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

Tindakan kerajaan dalam mencuba-cuba pengganti NC UM ini dianggap sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi ura-ura tindakan kerajaan untuk melantik wanita pertama menerajui universiti di Malaysia. Tindakan ini dilihat tidak tepat dengan keadaan universiti yang kelam kabut. Ini telah menyebabkan berlaku perpecahan dikalangan pengurusan pentadbiran UM.

Melantik Razali Agus yang terkenal dengan rekod rasuah serta penyelewengan wang universiti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima pakai. Mengapa kerajaan mesti melantik TNC (HEP) sebagai pemangku? Adakah kerana mengikut susun atur pemerintahan universiti atau memang tradisinya begitu? Mengapa tidak dilantik TNC (Akademik) sebagai pemangku?

Mengikut rekod semasa, Razali Agus telah gagal dalam 2 percubaan untuk menjawat jawatan NC di 2 buah IPTA tempatan. Ini semua gara-gara rekod buruk yang beliau miliki.

Rekod hubungan beliau dengan mahasiswa yang amat buruk sepatutnya dilihat dari semua sudut. Adakah kita mahu melantik seorang NC yang tidak mesra dengan mahasiswa. Bagaimana kami ingin menggelarkan beliau sebagai ‘Ayahanda’ gelaran yang telah lama hilang dari NC UM selepas era Dato’ Anuar Zaini.

Mana ada seorang NC yang sanggup mempertahankan anak-anaknya dari tuduhan membakar DTC suatu ketika dahulu. Dato’ Anuar Zaini mempertahankan bahawa mahasiswa tidak terlibat membakar DTC walaupun bekas PM sendiri telah awal-awal menuding jari menuduh mahasiswa sebagai militan. Namun tuhan itu maha adil kerana terbukti sudah bahawa kebakaran DTC adalah disebabkan oleh litar pintas.

Perkara yang sama tidak pula berlaku di UTM apabila dewannya turut berlaku kebakaran. Mahasiswa terus dituduh sehingga timbul isu gerakan bawah tanah di UTM. Ia disokong oleh NC UTM ketika itu dan berpunca dari itu PMIUTM telah diharamkan walaupun kebakaran tersebut tidak mempunyai kaitan dengan mahasiswa. Adakah kita hendak NC seperti ini?

Malang sekali sejak mahasiswa UM memiliki NC seperti Hashim Yaacob, mahasiswa telah ditekan. Ia ditambah dengan TNC (HEP) yang begitu zalim menekan demokrasi mahasiswa untuk bersuara malah turut ditindas ketika melalui proses pilihanraya.

Apakah pilihan yang mahasiswa ada? Mahasiswa baru yang mula menjejakkan kaki ke UM bakal di ‘BrainWash’. Siapa yang menetang pentadbiran disamakan dengan menentang pihak universiti. Untuk lebih menekan mahasiswa, Razali Agus yang telah melantik sendiri Kalam Azad Abu Bakar, Mohd Hairolnezam Khamis, Mahaganapathy Dass, Mahadzir Mat Isa dan beberapa barua kerajaan yang lain sebagai pegawai khas di HEP.

Tugas mereka ini tidak lain hanyalah memerhati dan memantau mahasiswa. Mana-mana yang didapati menentang kerajaan akan dibuang kolej atau dikenakan tindakan tatatertib. Pegawai-pegawai HEP ini dikatakan tidak mempunyai kelayakan langsung sebagai pentadbir dan mereka ini tidak boleh buat kerja terutamanya menyediakan kertas kerja dan sebagainya.. Oleh itu berlaku pergeseran diantara mereka dan pegawai lama. Ini kerana pegawai-pegawai Razali Agus ini jarang berada dipejabat. Sentiasa hilang entah kemana.

Apa yang lebih malang lagi rekod-rekod pegawai-pegawai yang dilantik oleh Razali Agus ini amat buruk sekali. Mereka ini sebenarnya adalah gengstar yang turut mempunyai talian dengan kumpulan tertentu diluar. Maka tidak hairanlah ada mahasiswa yang dipukul, dicabul dan sebagainya.

Masalah disiplin pegawai-pegawai di HEP bukanlah satu rahsia lagi. Kes pukul dan cabul seorang pegawai HEP bernama Mahaganapathy Dass terhadap mahasiswa dan mahasiswi di dalam UM telah ditutup oleh Razali Agus sendiri. Kes pukul yang terbaru melibatkan Mahaganapathy telah menyebabkan seorang mahasiswa menyaman UM dan kes ini telah mendapat perhatian dari peguam Negara. Mahaganapathy juga mempunyai rekod disiplin yang buruk dan pernah digantung kerja.

Selain itu banyak lagi kes tertutup yang dirahsiakan dari umum dimana ada antaranya sehingga menyebabkan seorang pegawai dipenjarakan dilokap balai polis kerana terlibat dengan kes pukul.

Bagi kalangan mahasiswa Razali Agus adalah pengkhianat bangsa dan agama. Beliau telah menindas semua program dakwah agama dan beliau sendiri pernah merancang untuk mengharamkan PMIUM. Akibat dari penindasan terhadap Islam, maka gejala sosial terus bertambah di UM. Kita telah digemparkan dengan pesta seks bebas di KL yang melibatkan mahasiswa/mahasiswi UM dan yang terbaru perangkaan Jabatan Agama Islam Wilayah menunjukkan mahasiswi UM adalah golongan tertinggi dari IPTA tempatan yang didapati mengandung luar nikah.

Inilah hasil daripada penindasan terhadap dakwah Islam dikampus. Surau menjadi lesu, bilangan pelajar Islam berkurangan sehingga ada kolej yang peratusan pelajar Islam hanya 20% sahaja. Apabila semua ini berlaku mudahlah program-program maksiat seperti Festival Seni dan Battle of The Band bermaharajalela. Semua program ini dianjurkan oleh HEP demi melalaikan mahsiswa dengan hiburan.

Akibat penindasan terhadap mahasiswa, banyak program tidak dapat dijalankan. Lebih menyedihkan mahasiswa telah menjauhkan diri dari menganjurkan program. Maka kuranglah aktiviti berpersatuan dalam UM. Ada mahasiswa mendakwa ada program yang dirancang oleh persatuan telah ditukar sewenang-wenang oleh HEP menjadi program anjuran MPMUM dan persatuan tersebut diberi status sebagai penyokong sahaja. Begitulah terdesaknya MPMUM ciptaan Razali Agus dengan acuan UMNO.

Setelah mengambil kira semua kezaliman ini mahasiswa mengambil keputusan untuk turun padang bagi memastikan Razali Agus tidak dilantik sebagai NC UM. Kami menuntut NC yang lebih berwibawa serta mesra mahasiswa. Kami juga mendesak Razali Agus disingkirkan dari UM. Kami juga mahukan semua kes penyelewengan dan rasuah yang pernah dilakukannya dibicarakan bersama-sama konco-konconya.





 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762