|
1. Baru-baru ini dalam satu perjumpaan dengan saya dan beberapa
penyokong kuat beliau yang lain, Pengerusi Perhubungan UMNO
Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim telah berkongsi banyak
maklumat yang amat membimbangkan saya. Walaupun saya orang kuat
beliau, tapi saya rasa bersalah jika terus bersekongkol
dengannya dan mengambil keputusan secara rahsia untuk
mendedahkannya kepada pengetahuan umum.
2. Rupa-rupanya dalam hal kenaikan harga petrol, Datuk Seri
Shahidan mengambil sikap bertentangan dengan polisi kepimpinan
parti di peringkat tertinggi. Beliau berpura-pura mengkritik
demonstrasi yang dianjurkan pembangkang Jumaat lepas di sebuah
masjid di Kangar. Beliau maklumkan kepada kami beliau sangat
menyokong demonstrasi tersebut kerana ia melambangkan satu
tekanan terhadap kepimpinan Pak Lah. Hasrat beliau Pak Lah akan
meletakkan jawatan sebelum pilihanraya umum yang akan datang.
3. Rupa-rupanya Datuk Seri Shahidan menyokong Timbalan Presiden
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya beliau terpaksa bermuka-muka dalam menunjukkan sokongan
terhadap Pak Lah memandangkan Pak Lah masih PM. Beliau tetap
memandang Pak Lah sebagai orang Semangat 46 walaupun kita semua
tahu Pak Lah tak pernah masuk ahli S46. Tetapi Datuk Seri
Shahidan berkata Pak Lah adalah antara pemimpin yang menyokong
S46.
4. Datuk Seri Shahidan juga selalu pertikai secara diam-diam
perlantikan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai Setiausaha
Agung parti kerana perlantikan itu menyebabkan Datuk Radzi
sentiasa kacau daun di Perlis. Tetapi pertikaian ini disimpan
rapi demi menjamin kedudukan beliau sebagai MB terus selamat.
5. Datuk Seri Shahidan juga berkata cadangannya yang menggesa
penduduk Perlis menunggang basikal ke pejabat ekoran kenaikan
harga petrol itu sebenarnya adalah satu usaha beliau menyindir
keputusan Pak Lah dalam hal kenaikan harga petrol. Beliau
sendiri mengakui kenaikan harga petrol itu membebankan rakyat
dan beliau agak gusar bagaimana caranya beliau hendak terangkan
kepada majoriti rakyat Perlis yang sedang marah secara senyap
tentang kenaikan harga petrol. Datuk Seri Shahidan juga
menerangkan kepada kami walaupun subsidi minyak dikurangkan
sehingga penjimatan sebanyak RM4.4 Bilion, tetapi beliau tidak
berpuas hati kerana peruntukan pusat untuk Perlis tetap tidak
bertambah.
6. Datuk Seri Shahidan juga mendedahkan beliau agak terkilan
apabila Saudara Khairy Jamaluddin yang dijemput datang
merasmikan majlis anjuran Pergerakan Pemuda Perlis di Batu
Bertangkup. Sebenarnya beliau mahukan Datuk Seri Hishamuddin Tun
Hussien merasmikan majlis tersebut. Beliau mengatakan bahawa
beliau agak kurang gemar dengan saudara Khairy tetapi beliau
terpaksa menghormatinya kerana faktornya sebagai menantu PM.
Beliau berkata sekiranya Pak Lah meletakkan jawatan nanti,
beliau tahu bagaimana caranya untuk mengajar saudara Khairy yang
melebih-lebih yang sangat berbeza berbanding dengan kelakuan
anak-anak Tun Mahathir ketika Tun masih PM.
7. Ketika majlis perasmian saudara Khairy di Batu Bertangkup
Perlis, Datuk Seri Shahidan tidak hadir dan sedang minum bersama
kami di Kuala Perlis. Ketika saudara Khairy sedang berucap,
kebetulan Datuk Seri Shahidan menelefon Senator Wan Nordin Che
Murat menyuruhnya supaya meninggalkan majlis tersebut dan
bertolak ke Kuala Perlis untuk minum bersamanya. Selepas
perbualan telefon itu, Datuk Seri Shahidan kata Senator Wan
Nordin akan sampai.
8. Datuk Seri Shahidan pernah berkata sebelum ini bahawa beliau
agak marah kepada Saudara Rozabil Abdul Rahman, Ketua Pergerakan
Pemuda Perlis kerana saudara Rozabil seolah-olah tidak boleh
ditegur langsung oleh Datuk Seri Shahidan kerana maklumlah
saudara Rozabil adalah boleh dikatakan sangat rapat dengan
saudara Khairy. Datuk Seri Shahidan banyak kali berkata sejak
saudara Rozabil menjadi Ketua Pemuda Arau dan Ketua Pemuda
Perlis, beliau nampak saudara Rozabil semakin besar kepala
seolah-olah seorang pemimpin besar di Perlis. Datuk Seri
Shahidan telah mengatur orang yang bersedia untuk mencabar
saudara Rozabil pada pemilihan parti yang akan datang dan beliau
yakin saudara Rozabil akan kalah.
9. Saya tidak mengharapkan sesuatu balasan di atas surat
pendedahan perlakuan Datuk Seri Shahidan ini. Saya cuma mahukan
kepimpinan tertinggi parti melakukan sesuatu yang terbaik untuk
Perlis. Saya ucapkan terima kasih kepada pembaca dan saya
mengharapkan agar semua faham mengapa saya tidak mampu dedahkan
nama saya.
Wassalam.
Bakar Bin Saad
|