BALIK KE MUKA UTAMA

Layakkah Radzi jadi SUA Umno?

Oleh Pena Suasa

ADA betulnya kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam (BM), Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir mengenai Setiausaha Agung (SUA) Umno, Datuk Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad yang sepatutnya berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.

Semenjak dilantik menjadi SUA Umno, Radzi seperti tidak tahu apa yang diperkatakannya; sekaligus menyebabkan ramai tertanya-tanya apa dia mampu untuk terus menjadi orang penting Umno.

Ketika dia mengarahkan Umno Bahagian Kangar (yang ketika itu diketuainya) supaya tidak membuat sebarang percalonan bagi kerusi Naib Presiden, kononnya mencontohi Umno Bahagian Kepala Batas (yang diketuai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Umno Bahagian Pekan (yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak), banyak pihak melihat Radzi sebagai mengada-ngada.

Kononnya, dia khuatir percalonan yang bakal dibuat Umno Bahagian Kangar (selepas itu dia melepaskan jawatan Ketua Bahagian) akan diikuti oleh bahagian-bahagian lain. "Lu sapa," kata seorang tukang sapu sampah di Majlis Perbandaran Kangar yang berminat mengikuti perkembangan politik.

Ketika sibuk kempen berjalan di dalam pemilihan Umno, Radzi muncul dengan kenyataan "ada politik wang yang dibenarkan dan ada yang tidak dibenarkan," turut menjadi bahan ketawa orang-orang yang memang gelihati melihat SUA ini.

Khabarnya, ketika memberi penerangan mengenai politik wang di zon utara, yang diadakan di Ipoh, teruk juga Radzi dibelasah perwakilan. Ada yang menyindirnya kerana "sudah terlupa budaya dan tatasusila Umno". Radzi dikatakan tergamam juga dengan kecaman itu.

Tidak lama dahulu, dia juga ada mengeluarkan kenyataan mengenai yuran seumur hidup dengan bayaran hanya RM2 dan tidak perlu lagi yuran tahunan. Namun, Radzi terlupa bahawa dia tidak boleh bercakap seperti itu kerana yuran adalah soal Perlembagaan parti yang memerlukan pindaan di dalam Perhimpunan Agung Khas.

Apakah Radzi tidak faham? Mustahil dia tidak faham kerana beliau seorang peguam. Radzi juga bercakap kononnya Lembaga Disiplin tidak perlu mengumumkan nama-nama mereka yang terlibat dengan politik wang.

Tetapi dalam mesyuarat MT Umno, selepas Lembaga Disiplin memberi taklimat, mengambil keputusan untuk membenarkan Lembaga Disiplin mengumumkan nama-nama mereka yang terlibat dengan kesalahan politik wang.

Terbaru, Radzi bercakap pula soal ISA mungkin digunakan untuk mencegah penyangak diesel. Kenyataannya itu disokong Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Noh Omar dan kemudiannya, Datuk Shafie Afdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Malangnya, Perdana Menteri menolak idea 'dungu' itu dengan berkata; "tidak perlu ISA kerana sudah ada undang-undang yang patut digunakan kepada penyangak diesel. Dari semua ini, layakkah Radzi terus kekal sebagai Setiausaha Agung Umno dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri?

-habis- 


  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762