BALIK KE MUKA UTAMA


JANGAN SIARKAN JIKA TIDAK PERLU

Ucapan terima kaseh kepada editor1 ikhlas dari Raden Jowo. Aku adalah diantara satu dari beribu-ribu rakyat yang terdiri dari kaum Melayu yang miskin. Melayu yang pemimpin lihat mewah tetapi sebenarnya miskin. Aku hidup dikelilingi orang-orang seperti aku dan Alhamdulillah dengan bantuan Allah swt, aku mampu menjadi seorang yang perihatin pada alam sekitar dan
suasana kehidupan Melayu, semangat yang disemai oleh Arwah Ayah.

Perlu perjelaskan dan perlu diungkaikan, kenapa Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan rakan-rakan lari meninggalkan perjuangan? Adakah Melayu tidak mahu mempertahankan pahlawan, tidak mahu berkorban untuk bersama berjuang? Berapa ramai melayu yang menjadi pengkhianat hanya untuk menangkap Tok Janggut dan menggantungkannya dikhalayak ramai? Berapa ramai Raja dan Sultan yang membangkang dari trajedi ini berlaku? Apakah sikap pemimpin ketika itu? Adakah mereka membiarkan Mat Kilau di halau, Dato Bahaman dikecam? Berapa ramai Raja dan Sultan ketika itu yang asyik dengan candu dan brandi sehinggakan tidak tahu apa yang terjadi? Berapa ramai diantara kita yang mengaku Pejuang tetapi sebenarnya anak cucu pengkhianat? Berapa ramai pengkhianat yang mengaku kononnya seorang pejuang bangsa dan negara?

Aku pernah hidup menjadi anak tahanan ISA. Sehingga kini aku tidak dibenarkan langsung untuk menyertai apa-apa parti politik. Bukan kerana tiada keinginan, tetapi ibu tidak mahu pisang berbuah 2 kali. Kesengsaraan seorang ibu yang ditinggalkan suami tanpa apa-apa penjelasan. Ketika itu yang ada hanya minyak jelantah sebagai kuah, garam sebagai kicap dan pucuk paku mewakili ikan dan sayuran. Makanan yang sering diulang-ulang, biarpun hati meronta, biarpun perut bergelora, namun itu lah yang kami ada.

Sehingga kini kami sekeluarga ingat akan apa erti perjuangan dan sebelum ayah meninggal dunia, satu pesanan yang ditinggal. ?Dimana-mana ada politik.?

Walaupun begitu, aku bangga menjadi anak ayahku kerana sikapnya membantu yang tiada sempadan, hanya kerana dipanggil seorang pejuang dan sehingga kini aku merasa bangga kerana masyarakat masih kenaliku sebagai anak sipolan. Aku terima bukan cemuhan tetapi kebanggaan. Aku tiada harta kerana ayah tidak tinggalkan sedikitpun hanya kerana memberi bantuan.

Keadaan sudah banyak berubah. Aku kecewa dengan pejuangan Melayu, bukan kerana apa yang diperjuangkan. Kerana perjuangan yang terhenti akibat imbuhan yang diberi. Murahnya nilai seorang Melayu yang berhenti menjadi pejuang hanya kerana secebis upah. Berapa ramai Melayu yang sunyi apabila kuasa dan pangkat diberi. Berapa ramai melayu yang lenyap apabila diberikan hanya sebuah kemewahan. Berapa ramai Melayu yang hebat mengkritik tetapi bila menjadi senator senyap setiap detik. Bersetuju pada apa yang tidak pernah dipersetujui dan menerima pada yang sebelum ini tidak diterima.

Tidak rasa manusia itu keperitan apabila ia tidak dihidupkan di dalam kesusahan, tidak rasa manusia itu kemewahaan, apabila ia tidak dihidupkan di dalam kekayaan. Mungkin nasib menentukan sikap, kerana anak raja lahir di istana dan anak papa lahir di rumah berdindingkan akhbar dan beratapkan zink buangan. Terkongkong dengan situasi dan emosi, rendah diri dan hina menjadikan dirinya sekadar rakyat yang mengharap dan menanti, sebuah perjuangan bangsa yang tidak pernah menjadi pasti.

Pejuang kemiskinan sebenarnya sedih hanya seketika, sedangkan mereka tidak mampu walau sehari duduk bersama. Bergegas pergi kerana kemewahan menanti. Rindu akan air sejuk dan beku, bilik dingin dan berangin, kaca tv luas dan berkilau, makanan mewah dan lazat.

Pejuang sekarang hidup serba kemewahan. Cerita pasal kemiskinan tetapi sedikit pun tidak mahu susah. Cerita pasal melarat tapi masa makan mereka cukup tepat. Sedangkan simiskin makan pun tidak tentu masa, tiada perasa. Konon rakyat tidak kenang budi, tetapi rakyat berlaukkan siput babi.

Aku bercampur dikalangan ramai orang miskin dan orang kaya. Aku tahu bagaimana sikap mereka dari bangsa yang sama. Aku dihantar dan hidup bersama simiskin bertahun kerana ayahku inginkan aku mengerti erti kemiskinan. Tetapi sikaya mengatakan simiskin pemalas, kerana itu perut sukar untuk dialas. Pemimpin kata peluang tidak diambil, maka simiskin terus miskin. Tetapi aku tahu kenapa semiskin terus miskin, tidak perlu salahkan mereka, sepatutnya simiskin perlu dibimbing, perlu diajar bagaimana mengejar kekayaan.

Masa pejuang banyak habis dengan perancangan yang tiada kesudahan kerana terlalu banyak agenda dan terlalu banyak perancangan. Fokus bertukar-tukar dan akhirnya perjuangan tiada kesudahan dan kebanyakan usaha tergantung dan terbengkalai.

Lihat sahaja RMK 9. Bijak pada perancangan dan tapi tiada pada perlaksanaan. Berapa kali sudah ditegur, tapi masih sikap lama dikekalkan. Pemimpin tidak mahu dengar kritik rakyat kerana pemimpin sebok mahu rakyat dengar kritik pemimpin. Sudah dibilang berkali-kali, sudah diucap beratus kali. Tapi asyik-asyik merancang, asyik-asyik merancang. Ahli Parlimen Bertepuk meja bukan kerana hendak pikul tanggung-jawab, tetapi kerana peluang semakin hebat.

Pemimpin bimbang pada perubahan. Takut kawan menjadi lawan. Sikap berkawan pemimpin lebih diutamakan dari tanggung-jawab sebagai pemimpin kepada berjuta rakyat yang mengharapkan. Bimbang akan kawan kecil hati dan bimbang akan kawan lupa janji. Begitu juga dengan yang ramai pemimpin amalkan, lihat keratan yang tuan berikan. Mungkin hanya aku yang perasan. Tetapi aku asyik memaafkan sehinggakan pengkhianat menjadi pemimpin. Sehingga pemimpin menghentam bangsa.

Prowaris adalah rakan kami dan menyiarkan satu artikel yang menuduh Prowaris sebagai satu pertubuhan di bawah Khairy Jamaluddin dan mempunyai matlamat politik tersendiri mungkin akan melukakan perasaan mereka.? Bimbang akan lukanya perasaan kawan?

Sedangkan aku hanya mahukan penjelasan. Lihat sejauh mana penjelasan menjadi jelas. Perkara begini terjadi pada kepimpinan, bimbang akan perasaan teman sehingga kritikan rakyat hanya dipendam. Akhirnya menteri yang korup masih dikekalkan.

Persoalan boleh dalam bentuk pertanyaan dan persoalan boleh dibuat dalam bentuk sindiran. Tetapi sejauh mana persoalan akan dijawab dan sejauh mana kekeliruan akan terungkai. Ia akan melihat sikap seorang pejuang menerima persoalan dan banyak bentuk keadaan. Yang penting jawab dengan tenang dan sabar. Tidak mudah melatah dan marah.

Aku suka mengasak, aku suka menekan. Bukan kerana dendam, tetapi sejauh mana kentalnya semangat berjuang. Kita sudah tiada masa, tidak perlu pilih rakan dan taulan. Salah tetap salah. Jangan kerana terhutang budi, kesilapan didepan mata dibiar pergi. Memang pemimpin ada kuasa, memang pemimpin banyak membantu. Tetapi bukan bantuan menutup kesalahan, bukan kelulusan menutup pengkhianatan.

MELAYU takut berterus terang, takut mati sendiri, takut keranda tidak sampai ke kubur. Takut kita mendapat tentangan dan takut pertubuhan menjadi haram. Maka senyap pada yang mesti, sunyi pada yang pasti.

Bersetuju dengan penghantar pesanan, menulis bahawa tindakan Prowaris kepada Samy Vellu boleh menlahirkan isu perkauman kerana disekeliling kepimpinan Melayu terlalu banyak sikap yang serupa sahaja hinanya. Kenapa kacau orang lain sedangkan disekeliling kita masih ramai perlu dibetulkan. Kenapa bising isu Thailand jika kita sendiri pun lebih kurang sama. Kenapa bising pasal penahanan Aung San Suu Kyi (Myanmar) sedangkan ISA sendiri pun serupa, kenapa bising tahanan bogel Guatanamo sedangkan kita sendiri pun ada. Kenapa bising pasal penggunaan anjing sebagai ugutan sedangkan FRU guna kaedah yang sama. Sikap asyik menjaga tepi kain orang sedangkan kain sendiri sudah lama bocor, hancing malah tengik dengan dosa dan hina rakyat jelata.

Bagaimanakah anggapan bangsa lain pada Prowaris? Kita kena terima hakikat hidup berbilang bangsa, kerana kita tidak mahu salahkan pemimpin lama. Tetapi tarik rambut, tepung jangan berserakan. Perbetul bangsa kita sendiri sebelum memperbetulkan bangsa lain. Jangan nanti kita tunjuk dia, dan dia tunjuk kita balik. Kita tuduh dia dan dia tuduh kita balik. Tiada kesudahan malah mungkin mencetus kekalutan.

Kita kena terima hakikat bahawa pemimpin terlalu banyak kesilapan. Ini yang kita perlu perbetulkan. Aku tidak benci UMNO, apa yang aku benci adalah sikap pemimpin UMNO. Sikap mementingkan rakan dan taulan. Jangan kata pemimpin bersih, lihat sahaja sudah tahu. Kita bukan anak kecil yang perlu dituang susu. Tidak perlu cari bukti kerana selama-lamanya bukti akan terus tersembunyi.

Sampai bila lagi kita perlu berjuang untuk Melayu, sedangkan pemimpin Melayu sendiri sudah tidak sedar diri. Kita kena terima kaedah perubahan sikap Pemimpin akan merubah segalanya. Kita kena terima hakikat pemimpin menjadi contoh. Kita terima pesanan orang tua, Ayah contoh kepada anak, Abang contoh kepada adik, Guru contoh kepada murid. Jangan guru kencing
berdiri, murid kencing berlari sambil terkinja-kinja.

Bukan hendak menunjuk pandai tetapi sekadar memberi pandangan. Kita tidak ikhlas pada diri, kita tidak selidik sebelum merancang. Keputusan dibuat berdasarkan pandangan. Pandangan yang biasanya lahir dari beberapa kerat manusia. Kenapa tidak turun padang dan tanya rakyat yang ada, tidak kira bangsa, tidak kira fahaman, tidak kira negeri, tidak kira KASTA. Memang cerdik pandai perlu dapatkan pandangan, tetapi rakyat yang bodoh seperti aku pun perlu diberi ruang untuk berpandangan.

Melayu terlalu banyak buat kesilapan. Kesilapan pada diri dan kesilapan pada pemilihan pemimpin. Sebagai contoh yang paling pasti adalah, Melayu menyokong pemimpin Melayu yang kaki botol dan kaki judi. Disini jelas sudah terjadi, tetapi Tunku sudah lama pergi, tidak perlu diungkit lagi. Tetapi masakan kita mahu pemimpin dari golongan yang sama. Golongan yang lari
dari akidah Islam.

Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Bila berbicara tentang Melayu pasti ia adalah Islam. Mahukah kita berjuang untuk Melayu yang Murtad, melayu yang keparat. Aku tidak mengaku sebangsa ku kalau Melayu itu Murtad. Aku tidak mengaku, kalau Melayu itu kafir. Apa yang Melayu mahu ialah Melayu itu Islam.

Kita jangan ketinggalan, kita perlu seiring. Islam dan Melayu sama perjuangannya kerana, dunia berbicara tentang Islam. Dengan Islam kita sedunia, tetapi dengan Melayu kita hanya sebenua. Dengan Islam kita GAH tapi dengan Melayu kita hanya akan membingungkan keadaan, memeningkan kepala kerana terlalu banyak Melayu rakyat dan Melayu pemimpin yang sudah rosak.

Melayu kelliru, untuk berjuang demi Islam atau bangsa. Kenapa tidak disatukan?

Mungkin istilah Melayu digunakan untuk kelulusan, kerana Islam kelihatan redikal dan ganas. Tetapi kesempatan itu yang kita perlu ambil. Ketakutan antarabangsa menjadikan kita bertambah semangat dan sasa.

Walau bagaimana pun tahniah kerana Web anda mendapat sambutan, gunakan ia untuk pembangunan. Pembangunan minda dan akal. Ada ramai lagi rakyat yang terus mendengar dan membaca sedangkan kekeliruan semakin ketara. Berjuang untuk Islam atau berjuang untuk Melayu? Aku keliru tetapi maafkan aku kerana kekadang aku perlu luahkan. Luah yang tidak kenal musuh dan rakan. Luah yang tidak penting pada politik. Aku sedar hanya sekadar anjing menyalak bukit. Tetapi itulah hakikat alam. Kirim salam pada Feriz Omar dan sebangsaku di Prowaris.
 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762