BALIK KE MUKA UTAMA


LAWATI LAMAN WEB WWW.PROWARIS.ORG DAN DAFTARLAH DENGAN PROWARIS@YAHOOGROUPS.COM


LAPORAN KHAS PROWARIS : CERAMAH PUPUS BAHASA, PUPUSLAH BANGSA?


KUALA LUMPUR, 10 Jun 2006 - Satu lagi sesi pertemuan di antara ahli PROWARIS dan penasihat-penasihat PROWARIS telah berlangsung di ibu pejabat PROWARIS MALAYSIA di Tingkat 5 Menara Le Proton, Kampung Baru. Turut dijemput hadir dalam pertemuan pada hari tersebut ialah Prof. Dr Awang Sariyan (Presiden Persatuan Linguistik Malaysia). Beliau merupakan seorang tokoh cendekiawan dan seorang pejuang bahasa yang dihormati ramai.


Prof Dr Awang telah dijemput bagi menyampaikan sebuah ceramah yang sangat penting dan kritikal bertajuk "Pupus Bahasa, Pupuslah Bangsa". Ceramah itu sebenarnya adalah susulan dari Rancangan Hujah di TV9 pada hari Selasa 30 Mei 2006 jam 8.30 malam yang bertajuk "Bahasa Jiwa Bangsa". Program Hujah yang dihoskan oleh Presiden Prowaris tersebut telah dihadiri oleh Professor DiRaja Ungku Aziz dan Prof. Dr. Awang Sariyan sebagai jemputan.

Pertemuan pada pagi Sabtu yang bermula kira-kira jam 10.30pagi tersebut antara lain membincangkan perihal tersisihnya Bahasa Melayu yang juga adalah bahasa kebangsaan. Sessi tersebut kemudiannya diteruskan dengan pandangan dan pendapat ahli-ahli PROWARIS berkenaan kritikan Y.A.Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dihujung pertemuan tersebut satu sidang akhbar berkenaan perkara tersebut telah diadakan bagi menyatakan pendirian PROWARIS.

Ilmu dipindahkan melalui penterjemahan ilmu itu. Prof Dr Awang sebagai penceramah berkata, Barat didalam usaha mereka mencedok ilmu dari Islam sanggup menterjemahkan karya-karya Ibnu Sinna, Ibnu Rasyid dan sebagainya sehinggakan menukar nama-nama ilmuwan tersebut ke dalam bahasa mereka yang juga dikenali sebagai Avicenna dan Averroes.

Kerajaan Malaysia sebenarnya telah menghabiskan jutaan ringgit semata-mata kerana ingin mencari, mengumpulkan dan menterjemahkan istilah-istilah baru, namun amat mengecewakan kerana usaha ini menjadi hasil yang sia-sia kerana dasar memperhebatkan penggunaan Bahasa Inggeris telah melenyapkan sama sekali hasil-hasil dari penterjemahan istilah-istilah baru tersebut.

Ramai pejuang-pejuang bahasa yang nyata kecewa apabila kajian dan cadangan untuk memartabatkan kembali Bahasa Melayu hanya disambut lesu satu ketika dahulu.

Prof Dr. Awang dalam ceramahnya juga turut mempelawa ahli-ahli PROWARIS menyertai bengkel-bengkel seperti penulisan kreatif, catatan minit mesyuarat, penulisan karya, ceramah pidato dan pelbagai lagi aktiviti sebagai langkah permulaan kepada ahli-ahli PROWARIS yang berminat untuk memperjuang dan memartabatkan Bahasa Melayu.

Prof. Dr Awang juga telah dimaklumkan bahawa PROWARIS berhasrat untuk memperkembangkan aktiviti mereka di Eropah bersama-sama dengan ahli-ahli PROWARIS yang tinggal disekitar England, Ireland, New Zealand dan Switzerland.

Di akhir sesi ceramah, Prof Dr. Awang Sariyan telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada PROWARIS kerana telah menjemput beliau dan berharap agar anak-anak muda dan veteran didalam PROWARIS dapat mengusahakan dan berbuat sesuatu agar Bahasa Melayu tidak terus pupus dan terhina dipandangan masyarakat Melayu itu sendiri.
 

Laporan:-
 

JEFFRI MOHAMAD SALLEH
Ketua Unit Media & Komunikasi
PROWARIS Malaysia


LAWATI LAMAN WEB WWW.PROWARIS.ORG DAN DAFTARLAH DENGAN PROWARIS@YAHOOGROUPS.COM

 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762