|
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat
Markas Tarbiyah Taman Melewar, Lorong Haji Hassan Jalan Batu
Geliga Batu Caves Selangor
KENYATAAN MEDIA
25 RABIULAWAL 1427 / 24 APRIL 2006
PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA PERLU DI NILAI SEMULA
Mampukah tragedi kematian pelatih Program Latihan Khidmat Negara
( PLKN ), adik Haziq bin Jaafar akan melembutkan kedegilan
kerajaan dan Jabatan Latihan Khidmat Negara ( JLKN )
terhadap saranan pelbagai pihak khususnya PAS agar penilaian
semula PLKN dilakukan bagi memastikan pengurusan dan
perlaksanaan PLKN mencapai kepada objektifnya ? Inilah persoalan
yang menjadi tanda tanya kepada Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP )
apabila dimaklumkan tentang tragedi yang menimpa adik
Haziq tersebut.
Telah berkali saranan ini dibangkitkan oleh DPPP lewat pelbagai
usaha samada melalui kenyataan media, memorandum dan
sebagainya. Telah berulang kali juga DPPP meluahkan
kerisauan terhadap kepincangan pengurusan PLKN yang dikhuatiri
satu hari nanti akan mendatangkan mudarat kepada peserta.
Begitu juga telah berderet pandangan yang diutarakan oleh
DPPP bagi membantu kerajaan dan JLKN untuk memastikan PLKN
mencapai statusnya sebagai sebuah program pembinaan insan
ulung negara. Tetapi segala usaha, luahan dan pandangan DPPP
itu tidak sedikit pun dipandang oleh kerajaan mahupun JLKN.
Malah lebih memilukan usaha DPPP tersebut dipandang sepi
dan dibakul sampahkan oleh kerajaan dengan angkuh.
Mungkin sudah menjadi tradisi kepimpinan negara ini yang hanya
terngadah apabila telah terhantuk dan mungkin juga telah
menjadi amalan kepimpinan negara ini yang lebih mudah
mempelajari sesuatu perkara dengan cara yang paling menyakitkan.
Maka jika benar inilah tradisinya maka bagi DPPP apa yang
menimpa keatas adik Haziq dan keluarganya adalah tragedi
yang sengaja ditempa dan untuk itu DPPP meletakkan sepenuhnya
pertanggungjawaban terhadap apa yang telah berlaku diatas
bahu kerajaan dan JLKN khususnya.
DPPP menegaskan, tiada ruang lagi untuk kerajaan berdalih
mahupun mengkambing hitamkan pihak lain atas segala apa
yang berlaku. Tiada ruang juga untuk kerajaan ‘menjual’ retorik
lapuk bagi menjustifikasikan tragedi yang berlaku. Nyawa
yang dikorbankan oleh adik Haziq terlalu mahal untuk
dibayar dengan retorik usang lagi memualkan.
Maka bagi untuk itu DPPP mendesak kerajaan untuk mengambil
tindakan segera dengan :
1. Menutup sementara waktu kem latihan yang terlibat ( Kem Agro
Tourism Kluang ) Penutupan ini bagi memastikan satu
siasatan lengkap dapat dijalankan untuk menilai semula
keseluruhan aspek yang telah menyumbang kepada yang berlaku
kepada adik Haziq. Khususnya penilaian ini ialah bagi
melihat kemampuan fungsi dan peranan jurulatih bagi memastikan
kejadian yang berlaku tidak berulang.
2. Menilai semula operator pengendali kem bagi memastikan kem
latihan yang digunakan menyediakan suasana yang kondusif
kepada peserta.
3. Menyiasat secara terperinci punca kejadian berlaku. Malah
DPPP menginggatkan kerajaan untuk tidak melihat apa yang
berlaku sebagai kes terpencil ini kerana ianya melibatkan
kematian dan yang lebih penting lagi ianya melibatkan pergaduhan
antara kaum. Maka kajian menyeluruh dan telus perlu
dilakukan.
4. Kajian menyeluruh terhadap modul latihan PLKN juga perlu
dilakukan. Ini kerana jelas dari hari ke hari kes
pergaduhan dan sebagainya kian kerap dilaporkan. Ini seakan-akan
menunjukkan modul yang sedia ada gagal membentuk disiplin
peserta malah lebih teruk ianya menjadikan pelatih lebih
ganas dan tidak berdisiplin.
5. Malah lebih daripada itu DPPP mendesak agar satu kajian
dilakukan bagi menilai semula tahap keberkesanan PLKN itu
sendiri untuk berfungsi sebagai program pembinaan insan
ulung negara ini. Dengan segala isu yang berbangkit serta
permasalahan yang timbul DPPP menegaskan bahawa masanya
untuk melakukan penilaian semula adalah lebih mendesak. Untuk
itu langkah awal yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah
dengan menangguh dan menghentikan seketika pengambilan
pelatih sehingga satu laporan lengkap hasil daripada siasatan
dan kajian itu diumumkan.
Maka untuk itu DPPP menyeru dengan tegas, agar kerajaan
membuktikan, bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah
sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab terhadap
keselamatan rakyatnya. Kerajaan juga perlu membuktikan
ketelusan dan keterbukaan dengan memandang berat terhadap
cadangan yang telah diberikan khususnya terhadap cadangan
melakukan penilaian semula terhadap keberkesanan
perlaksanaan PLKN.
Bagi tujuan tersebut DPPP menggariskan beberapa perkara yang
tidak boleh dilepas pandang oleh semua pihak bagi
memastikan penilaian semula tersebut benar-benar bererti kepada
PLKN. Perkara yang digariskan oleh DPPP ini adalah kutipan
cadangan daripada pandangan DPPP sebelum daripada ini.
1. Menilai semula keseluruhan jurulatih yang terlibat bagi
memastikan mereka yang telah dipilih benar-benar mempunyai
kelayakan untuk bergelar jurulatih. Penilaian ini juga bagi
memastikan setiap jurulatih yang dipilih tidak dilantik atas
kapasiti bagi menjalankan kerja-kerja indoktrinisasi ke
atas pelatih untuk pihak lain yang berkepentingan dan juga
bagi memastikan jurulatih yang dilantik benar-benar layak.
Kegagalan jurulatih berfungsi sebagaimana yang diharapkan
dapat dilihat daripada beberapa kejadian seperti :
i. Laporan berlakunya kes-kes pencabulan oleh jurulatih terhadap
pelatih wanita.
ii. Laporan berlakunya kes rogol yang melibatkan jurulatih.
iii. Laporan berlakunya kes jurulatih terlibat didalam
pergaduhan dengan pelatih sehingga
mengakibatkan kes Polis dan sebagainya.
iv. Laporan berlakunya proses indoktrinisasi oleh jurulatih bagi
menyemai fahaman
politik kepartian.
2. Memansuhkan modul latihan yang digunakan. Modul yang diguna
pakai oleh PLKN secara jelas tidak mampu dan gagal untuk
menyokong hasrat kewujudan PLKN bagi membentuk sebuah
generasi yang patriotik dan berdisiplin. Kegagalan modul ini
dapat dilihat daripada :
i. Peningkatan kes yang melibatkan pergaduhan, kecurian dan
vandalisme.
ii. Wujudnya perlakuan-perlakuan jenayah seperti rogol, cabul
dan sebagainya yang cukup
membimbangkan.
iii. Berlakunya kes-kes pergaduhan antara kaum sebagaimana yang
dilaporkan berlaku di
beberapa kem PLKN seperti di Kem Kuala Berang
iv. Kewujudan kumpulan-kumpulan ‘gangster’ di dalam kem latihan
PLKN sehingga dilaporkan
didalam satu peristiwa pihak Polis telah berjaya merampas
sejumlah kayu dan besi yang
dijadikan sebagai senjata.
v. Modul mengabaikan aspek-aspek agama sehingga berlakunya
percampuran bebas,
pengabaian terhadap amalan wajib agama dan sebagainya.
Bagi merangka modul yang akan digunapakai DPPP menggariskan
pandangan dibawah sebagai garis panduan kepada kerajaan
dan semua pihak yang bertanggungjawab :
i. Asas kepada modul perlu meletakkan kepercayaan kepada tuhan
dan agama sebagai asas terpenting. Latihan, gerak kerja
samada secara fizikal mahupun tidak perlu disandarkan
kepada asas ini.
ii. Skop pembinaan kenegaraan dan patriotisme perlu diluaskan.
Matlamat pemahaman pelatih perlu disasarkan kepada
kejituan jati diri untuk sedia dan setia berkhidmat dan
berkorban untuk negara bukan kepada parti politik pemerintah.
Pembentukan pemikiran kritis kalangan peserta juga perlu
disemai dan disegarkan ke arah membina warga negara kelas
pertama.
iii. Pemahaman mendalam pelatih terhadap aspek-aspek
perlembagaan negara dan kedaulatan undang-undangnya.
iv. Pembinaan jati diri dan disiplin pelatih perlu dilihat
daripada skop yang lebih luas. Pembinaan sewajarnya tidak
berlandaskan kepada paksaan tetapi lebih kepada kefahaman
jelas yang lebih praktikal.
3. Menilai kembali kem-kem latihan yang telah dipilih bagi
memastikan segenap aspek yang melibat kemudahan asas,
tahap keselamatan dan sebagainya dipenuhi tanpa kompromi.
Pentauliah kem-kem latihan juga perlu melalui proses saringan
yang ketat. Pengendalian kem hendaklah berdasarkan
meritokrasi tidak sekadar memenuhi kuota yang ada. Kemampuan
pengendalian kem untuk mewujudkan suasana kondusif kepada
pelatih perlu dilihat sebagai \ syarat utama.
4. Mewujudkan pengasingan antara pelatih lelaki dan wanita
dengan menggunakan salah satu formula dibawah :
i. Pengasingan lelaki dan wanita melalui pengasingan kem latihan
secara total. Contohnya kem Kuala Berang dikhususkan untuk
lelaki manakala kem Sungai Semuji Resort dijadikan kem
pelatih perempuan.
ii. Pengasingan lelaki dan wanita melalui proses sessi
pengambilan pelatih. Sebagai contohnya sessi pertama
pengambilan dikhususkan kepada lelaki manakal sessi kedua untuk
perempuan dan begitulah seterusnya.
5. Menilai semula penglibatan dan campur tangan agensi-agensi
luar seperti Biro Tata Negara, Persatuan Belia dan
sebagainya. Penglibatan agensi luar didalam program latihan PLKN
mendedahkan PLKN kepada abusing oleh kepentingan pihak lain
khusunya parti politik ( UMNO khususnya ). Pelatih-pelatih
PLKN juga perlu dikekang daripada menghadiri mana-mana program
yang melibatkan anjuran mana-mana parti-parti politik.
Patriotisme dan semangat cintakan tanahair perlu dilihat
pada skop yang luas tidak didalam kerangka sempit kepada politik
UMNO sahaja.
Pandangan inilah yang acapkali diluahkan oleh DPPP kepada
kerajaan bagi menjadikan PLKN lebih ampuh dan mantap
objektif dan perlaksanaannya. Seandainya kerajaan lebih sensitif
dan tidak terlalu angkuh terhadap keputusannya dengan
menolak pandangan pihak lain mungkin kejadian yang menimpa
kepada adik Haziq dapat dielakkan. Sayangnya semua telah berlaku.
DPPP amat memahami dan menyelami perasaan sedih dan kekecewaan
keluarga adik Haziq terhadap apa yang berlaku. Untuk itu
DPPP ucapkan takziah kepada seluruh keluarga adik Haziq. Namun
begitu bagi DPPP ucapan tersebut tidak memadai seandainya tidak
diiringi dengan iltizam untuk mendesak kerajaan bagi
memastikan setiap kepincangan yang berlaku didalam PLKN
diatasi.
Untuk itu DPPP menyeru kerajaan agar berani untuk mengaku segala
kepincangan yang berlaku. Sudah sampai masanya kerajaan
mencampak ketepi segala keangkuhan dan bersikap matang dengan
mengambil setiap pandangan yang telah dilontarkan. Cukup sudah
segala kepincangan PLKN menjadi duri dalam daging kepada
rakyat negara ini semata-mata untuk memenuhi ego dan angkuh
itu.
MAZLAN ALIMAN
NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
25 RABIUL AWAL / 24 APRIL 2006
0137130103 pircjohor@gmail.com
|