|
KEMPEN BERBUDI BAHASA, BAGAIMANA DENGAN PEMIMPIN NEGARA?
- Pencinta Budaya, Perlis.
SEMALAM, 18 April 2006, Menteri Kubudayaan, Kesenian dan Warisan
Datuk Seri Dr. Rais Yatim menjawab pertanyaan daripada
seorang ahli dewan bahawa kempen tersebut telah berjaya
sehingga 64 peratus. Bagaimana dan di manakah perangkaan
itu dibuat tidaklah kita ketahui.
Apa yang menjadi tanda tanya kita, mengapa kempen tersebut
dilancarkan sekarang, dahulu tidak, tegasnya dalam zaman
pemerintahan Tengku Abdul Rahman sehingga Tun Hussein Onn.
Jelaslah bahawa setelah itu, dalam zaman Mahathir
pembangunan ekonomi, sains dan teknologi begitu diutamakan,
sehingga pembangunan budaya diabaikan. Maka
berebut-rebutlah rakyat terutama ahli-ahli korporat termasuk
pemimpin-pemimpin kita mengaut kekayaan, kemewahan, keagungan
dan
martabat hidup.
Ketika itu mereka langsung terlupa kepada maruah dan harga diri,
apa lagi jati diri dan identiti bangsa. Bahasa Inggeris
dipergunakan seluas-luasnya. Maka berbahasa Inggerislah
mereka di mana-mana untuk mengejar globalisasi, mengejar
pembangunan, kemajuan dan ekonomi untuk berhubung dengan
Amerika dan Britian (yang menggukan bahas Inggeris).
Sehingga kini bahasa Melayu terpinggir dan diketepikan. Bukankah
bahasa itu nilai bangsa? Setelah tertanam sifat-sifat
keinggerisan itu maka berperangai Baratlah mereka.
Berbudaya Baratlah mereka, terpinggirlah budaya tempatan
kerana berlomba-lomba mengejar pangkat, darjat dan
kekayaan. Lupa pada jati diri dan maruah bangsa.
Di sinilah di antara puncanya maka mengapa kalangan tersebut
tidak berbudaya kita lagi. Tegasnya: Pembangunan ekonomi,
sains dan teklnologi tanpa diseimbangkan dengan
pembangunan budaya pincanglah masyarakat! Punca utama
kerosakan budi bahasa (budaya) kita ialah daripada para
pemimpin sendiri. Sekian ramai pemimpin yang terlibat secara
langsung memburu kekayaan dan kemewahan hidup. Mereka
membuka korporat di mana-mana. Setelah itu berlaku pula
rasuah, penyelewengan dan kekurang ajaran monopoli hak dan
pusaka rakyat. Dalam kalangan ahli-ahli politik terutama
sekali UMNO/BN rasuah dan penyelewengan ini berleluasa
daripada peringkat kampung JKKK, cawangan dan bahagian sehingga
ke dalam mesyuarat perwakilan di KL. Percayalah ketika
mesyuarat tersebut seratus-peratus perwakilan menerima
rasuah! Apakah yang dilakukan oleh BPR? Apakah kerajaan BN
tidak menyedari hal ini? Mengapa tidak diambil tindakan
sewajarnya kepada sebahagaian besar penerima dan pemberi rasuah
itu, mengapa hanya seorang sahaja yang diambil tindakan?
Sesiapa yang menjadi ketua UMNO cawangan atau bahagaian, atau
AJK Bahagian, maka terbuka luaslah peluang memperolehi
projek-projek kecil dan besar, sehingga beribu-ribu
kontrektor kecil kelas F dimiliki oleh ahli-ahli UMNO
meskipun sebahagian besarnya langsung tidak berkebolehan.
Berlakulah Ali-Baba, mengaut keuntungan di atas angin. Kemudian
berlaku pula bangunan runtuh, jejambat rosak, bukit runtuh,
tanah jerlus dan sebagainya. Semuanya perpunca kerana
rasuah sama ada dari peringkat bawah, pegawai-pegawai
kerajaan dan ahli-ahli korporat dan para pemimpin itu
sendiri!
Kini, tertanya-tanyalah kita Kempen Berbudi bahasa itu apakah
hanya ditujukan kepada murid-murid sekolah menengah dan
universiti. Mengapa tidak, pertama-tama sekali kempen itu
disasarkan kepada pemimpin-pemimpin negeri dan negara kita?
Kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ketua-ketua
pejabat, ahli-ahli korporat, Ketua-ketua cawangan,
bahagian dan Majlis tertinggi UMNO/BN? Mengapa??? Sedangkan
pihak-pihak inilah yang ternyata kini tidak berbudi bahasa!
BERBUDI BAHASA itu ertinya tidaklah semata-mata bercakap
berlemah-lembut (sepertimana yang dilakonkan oleh seorang wakil
rakyat dalam parlimen). Berbudi bahasa itu luas skopnya
termasuk perangai, tingkah-laku, sahsiah, budi pekerti,
semangat, daya kepimpinan sama ada jujur, ikhlas dan
amanah. Jika 'Kepimpinan Melalui Teladan' yang dilaung-lauangkan
dahulu menjurus kepada pemimpin yang korap, menyeleweng,
ganas dan tidak bertimbang-rasa, pelahap, boros,
pembohongan, penipuan maka kini natijahnya berlakulah di
negara kita, sehingga terpaksa diadakan kempen BERBUDI
BAHASA. Tepat sekali kata peribahasa kita: Seperti ketam
nenyuruh anaknya berjalan betul!
Kempen tersebut memang baik jika benar-benar menepati sasarannya.
Tidak hanya ditumpukan kepada segelintir rakyat (kadang-kadang
rakyat itu sudah pun berbudi bahasa). Tumpukan kepada
kalangan pemimpin terlebih dahulu termasuk wakil-wakil
rakyat, menteri-menteri besar, ahli-ahli korporat termasuk
kontraktor dan para menteri kita, jika kerajaan kita
benar-benar bertanggungjawab untuk 'membudayakan' rakyat
dan negara ini.
Apa pendapat Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk
Seri Rais Yatim?
|