BALIK KE MUKA UTAMA


Berapa lama Reezal dianggap hero setinggan
Oleh Pena Suasa

APAKAH status isu Penduduk Setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut sekarang apabila Exco Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican masuk campur untuk menjadi pembela kepada penduduk setinggan ini?
Dari beberapa laporan yang dibuat, di beberapa laman-laman web, penulis-penulis mengambarkan Reezal Merican telah berjaya memberi tekanan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan turut memberi tekanan kepada Ketua Umno Bahagian Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok yang digambarkan sebagai seorang yang sudah tidak dihurmati lagi.

Usaha yang Reezal buat, menyambung usaha Datuk Kamaruddin amatlah disanjung. Secara peribadi, saya mengangkat top kepada Reezal, seorang tokoh muda dalam Pergerakan Pemuda yang ada kemahuan untuk membantu penduduk setinggan. Inilah sikap kepimpinan yang mesti disanjung.

Padahal, jika dikira, apalah pentingnya Reezal mahu memberikan perhatian dalam isu ini? Penduduk setinggan pun khabarnya sudah mendapatkan perintah mahkamah supaya projek tersebut ditangguhkan.
Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan penduduk-penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut supaya tidak melupakan bekas pejuang yang sudah memperjuangkan nasib mereka sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Janganlah disebabkan sudah ada Reezal, yang baru sekali mengetuai rombongan setinggan ini mengadap DBKL, maka Reezal disanjung dan diangkat sebagai hero sedangkan mereka yang pernah memperjuangkan nasib mereka lebih 10 tahun lalu diberikan gelaran sebagai sombong, tidak patut diberi penghormatan dan sebagainya!

Apakah kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam diajar supaya melupakan budi dan jasa orang yang pernah membantu kita. Bolehkah kita menafikan jasa dan perjuangan Datuk Kamaruddin Ambok selama ini hingga 'mengizinkan' kita terus berada di situ hingga ke hari ini?

Hari ini, apabila tampil Reezal, kita mengangkat Reezal sebagai hero kita dan melupakan jasa Datuk Kamaruddin. Suatu hari nanti, kalau usaha Reezal ini gagal, ketika kita teraba-raba mencari orang lain, apakah Reezal juga akan kita hina dan kutuk seolah-olah Reezal juga tidak perlu dihormati lagi, sebagaimana kita sudah melakukan kepada Datuk Kamaruddin yang tidak pernah jemu memikirkan nasib kita penduduk setinggan di kawasan ini.

Nanti akan tampil pula penulis-penulis (yang kononnya mahu menjadi pembela kepada penduduk setinggan) yang memberi gelaran penulis upahan kepada sesiapa sahaja yang cuba mempertahankan Reezal dari serangan dan kutukan mereka yang kecewa dengan usahanya yang mungkin menemui jalan buntu.

Sedikit sebanyak, semua usaha memburuk-burukkan nama dan imej Datuk Kamaruddin Ambok ini dibuat oleh golongan mereka yang ingin mendapat keuntungan politik. Mereka mungkin tidak mampu berhadapan dengan pengaruh Datuk Kamaruddin ketika pertandingan di peringkat bahagian dan peluang ini, digunakan untuk menangguk di air keruh.

Di mana orang-orang ini ketika Datuk Kamaruddin memperjuangkan nasib penduduk setinggan dahulu. Mereka hanya muncul apabila musim pertandingan Umno tiba dan hilang semula selepas itu. Bila ada isu seperti ini, mereka memainkan peranan menjadi penghasut.

Jika mereka tahu dan sedar tanggungjawab memperjuangkan nasib penduduk setinggan ini perlu dilaksanakan, janganlah menjadi pejuang secara bermusim.
Jika mereka mahu bermain politik, tunggulah musim pertandingan tiba kira-kira dua tahun lagi.

Janganlah berpolitik untuk kepentingan peribadi hingga menjadikan penduduk setinggan sebagai alat untuk mendapat populariti.
Janganlah jadikan penduduk setinggan sebagai mangsa dan menjadikan mereka tidak tahu siapa sebenarnya pejuang nasib mereka selama ini, yang tidak jemu-jemu membawa kes mereka kepada Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Syabas kepada Reezal Merican yang baru sahaja bergelar penggantin baru buat kali kedua dan kini menjadi pejuang setinggan yang tersohor. Bersedialah untuk dikeji suatu hari nanti apabila 'gagal apa yang diminta' oleh penduduk setinggan ini.
Masa mereka suka kerana dapat menggunakan kita, kitalah hero mereka. Bila mereka nampak kita pun tidak mampu merubah apa-apa, kitalah sasaran maki hamun mereka kelak!

-habis- 

  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762