|
Dr. Khir ada pekej lengkap jadi pemimpin besar
Siri 3
Oleh Pena Suasa
UMNO sentiasa mahukan tokoh-tokoh muda untuk menjadi pewaris kepada kepimpinan yang ada.
Dalam masa yang sama, ramai tokoh-tokoh muda lahir tetapi bukan semuanya akan mampu mendapat tempat selesa di barisan atas kepimpinan.
Maka, timbullah rasa cemburu apabila ada orang muda yang tampil, mempunyai pakej lengkap untuk menjadi pemimpin.
Salah seorang darinya, Dr. Mohamad Khir Toyo, yang bermula sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian dan diberi peluang bertanding di Dewan Undangan Negeri.
Bekas seorang doktor gigi, dan anak kepada seorang petani tiba-tiba menjadi pilihan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi MB Selangor menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar yang dikatakan mempunyai masalah peribadi.
Serangan terhadap Abu Hassan dibuat di akhbar Indonesia dan rupa-rupanya ia memberi kesan yang cukup besar kepada masa depan politik bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ini.
Dari ramai-ramai calon yang cuba menonjol diri, Dr. Mahathir nampak bakat dan kemampuan Dr. Khir yang cukup muda tetapi mempunyai pakej lengkap sebagai bakal pemimpin besar masa hadapan.
Pemilihan Dr. Mohd Khir turut dikaitkan dengan usaha beberapa rakannya dalam Pergerakan Pemuda Umno yang nampak akan kualiti yang ada pada diri anak petani ini.
Peringkat awalnya, ramai yang kurang yakin dengan kemampuan Dr. Mohamad Khir tetapi selepas beberapa bulan, beliau membuktikan bahawa beliau mampu jika pun tidak dapat mengatasi kehebatan MB-MB sebelumnya.
Tulisan-tulisannya dalam media massa, ucapan-ucapannya di dalam banyak program-program politik dan kerajaan rupa-rupanya merisaukan banyak pihak, bukan sahaja di kalangan wakil-wakil rakyat di Selangor, malahan, orang-orang luar yang merasakan Dr. Mohamad Khir akan melangkah jauh dalam politik negeri dan kebangsaa.
Mereka nampak, Selangor sudah pernah melahirkan Datuk Harus Idris (Allahyarham), Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Selepas kedua-dua tokoh ini, tidak mustahil, Dr. Mohamad Khir akan menjadi penggantinya.
Malahan, ada yang menjangkakan, dengan usianya yang amat muda, beliau akan lebih berjaya dari Harun dan Muhammad.
Maka terbitlah rasa cemburu. Bukan sedikit tetapi cemburu yang amat mendalam! Saya cabar, siapakah antara ADUN dan MP termasuk Ketua-Ketua Bahagian, Timbalan-Timbalan Ketua Bahagian dan sesiapa sahaja yang berjawatan di Selangor tidak mendapat habuan dari MB?
Apakah tidak cukup habuan yang mereka terima atau ada perasaan tamak hingga menyebabkan sanggup mengupah penulis, berpakat dengan penulis-penulis untuk memburuk-burukkan MB.
Harapan mereka, MB akan jatuh dan akan ada MB baru! Harapan mereka, kalau MB dalam keadaan sulit, mudahlah untuk mereka menuntut apa-apa yang mereka inginkan. Siapa di antara Ketua-Ketua Bahagian dan ADUN-ADUN/MP di Selangor yang bangkit 'mempertahankan' MB mereka apabila diserang?
Inilah satu suasana politik Umno Selangor yang cukup tidak enak. Mereka menyokong kepimpinan secara separuh hati. Masa MB sedang berkuasa, merekalah yang menghimpit MB siang dan malam, minta itu dan minta ini.
MB mungkin tidak memerlukan sokongan mereka tetapi apalah salahnya jika mereka bangkit mengeluarkan kenyataan, berhadapan dengan musuh-musuh ini, yang juga musuh parti, supaya mereka tidak sewenang-wenangnya merosakkan imej MB.
Apakah mereka lupa, kemenangan besar UMNO/BN di Selangor dalam pilihan raya umum yang lalu kerana peranan MB selain dari imej Perdana Menteri baru yang cukup bersih?
Tidakkah kemenangan UMNO dan BN di Selangor mengenepikan nama-nama seperti Dr. Hassan Ali dan Ismail Kamus yang dikatakan bercita-cita besar dalam politik Selangor adalah sumbangan terbesar Dr. Mohamad Khir dan rakan-rakannya yang berusaha keras memastikan pembangkang sifar dahulu?
Janganlah mudah lupa! Janganlah disebabkan sudah terlalu kenyang hingga mampu duduk tersandar di rumah besar, di dalam kereta mewah hingga melupakan jasa dan komitmen yang tidak ternilai MB Selangor itu.
Saya akan terus menulis isu ini, berhadapan dengan serangan tidak betul dari orang-orang yang kini sibuk membuat fitnah kononnya saya sedang mengira wang upahan dari MB Selangor walaupun terpaksa bersendirian.
Saya ingin memperbetulkan persepsi orang ramai, yang rajin membaca laman-laman web supaya mereka mendapat maklumat dari banyak pihak.
Mereka tidak boleh diasakkan dengan pandangan musuh-musuh Dr. Mohamad Khir sahaja tetapi, mestilah turut berlaku adil kepada mangsa fitnah.
Janganlah kerana sebotol beer, kita sanggup menjadi pengkhianat kepada agama dan bangsa kita sendiri, mengumpul bahan-bahan yang tidak ada hujung pangkalnya untuk memberi gambaran kononnya, MB Selangor hanya memberi tanah kepada Shukor Idrus.
Apakah lain-lain Ketua Pemuda dan Ketua Bahagian di Selangor tidak kaya hasil tanah dan syarikat-syarikat kerajaan negeri yang diberikan kepada mereka? Apakah hanya Shukor Idrus sahaja menjualkan tanah-tanah yang dianugerahkan kepadannya sedangkan yang lain-lain tidak?
Seluruh anggota parti di Selangor, khususnya Umno, MCA, MIC, PPP, Gerakan dan lain-lain parti komponen sepatutnya berdiri teguh di belakang MB Selangor dalam apa juga isu pengondolan atau pembangunan yang dikatakan tidak seimbang di negeri itu.
Di era kepimpinan Dr. Mohamad Khirlah sebenarnya banyak tindakan dan arahan dibuat secara pantas dan berkesan jika dibandingkan dengan kepimpinan terdahulu. Kalau ada wakil-wakil rakyat di Selangor bercadang hendak menjadi MB Selangor menggantikan Dr.Mohamad Khir, mereka perlulah mencari isu yang lebih 'berat' seperti membawa duit berkilo-kilo ke luar negara atau mempunyai 'anak luar nikah' hasil hubungan sulit.
Saya rasa sekadar isu pengondolan hutan dan bukit, pembangunan yang tidak seimbang dan penganugerahan tanah serta kawasan balak, ia tidak memberi apa-apa kesan. Banyak tempat lain di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak yang turut gondola tetapi tiada siapa mendesak MB letak jawatan.
Cukuplah kita menjadi Luncai buat seketika. Jangan selama-lamanya!
-habis-
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|