BALIK KE MUKA UTAMA

Bukan semua hutan milik kerajaan - Dr Khir
Oleh Pena Suasa

Bahagian 2

KALAU kita faham, cara dan peraturan pentadbiran sesebuah negeri, tidak mungkin bagi kita, saya atau sesiapa sahaja sanggup menulis satu rencana atau sebuah buku, sama ada diupah atau dengan inisiatif sendiri menuduh seseorang Menteri Besar terlibat dengan rasuah dan sebagainya.

Disebabkan latarbelakang kita, mungkin seorang yang pernah hidup terdesak, tidak tahu memilih bidang kerjaya yang sesuai, menjadikan kita sanggup menulis asalkan dapat sedikit wang, bagi meneruskan hidup, menanggung anak dan isteri selain keperluan-keperluan sendiri.

Akhbar melaporkan, Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Mohamad Khir (selepas ini ditulis Dr. Khir sahaja) sebagai berkata; "Kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya menghalang pemaju daripada membangunkan tanah hutan di Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa kerana ia adalah milik persendirian,"

Kalaulah ada penulis lain sanggup menjalankan penyiasatan latar belakang penulis-penulis ini, nescaya terdedah pekung dan nanah yang penuh di badan penulis-penulis itu termasuk kita yang menjadi penulis kerana 'desakan hidup'.

Apa yang saya kesal, di mana orang-orang politik, penulis-penulis, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua pemuda, wanita dan puteri yang pernah mendapat bantuan dan pertolongan dari Menteri Besar Selangor dalam keadaan sekarang?

Tidak da seorang pun yang tampil mempertahankan Dr. Khir yang kelihatan seorang diri di belasah seorang penulis yang pernah kena pukul di Mawar Dangdut kerana minum arak tidak berbayar.

Dr. Khir pun mungkin tidak perlukan sesiapa mempertahankan dirinya kerana beliau tidak merasa apa-apa kerugian dengan pengedaran buku tersebut tetapi sebagai sebuah pasukan bola, Dr. Khir nanti dilihat sebagai tidak mendapat kerjasama dari 'rakan-rakan sepasukannya' dalam kerajaan dan Umno di peringkat negeri.

Pembangkang di Selangor sebenarnya tidak berkemampuan untuk berhadapan dengan ketokohan Dr. Khir. Nasib baiklah ada buku politik yang menyerang Dr. Khir, untuk dijadikan bahan ucapan dalam ceramah-ceramah.

Isi kandungan buku politik itu, mungkin bahan yang diberikan oleh orang-orang Umno sendiri kepada penulis upahan untuk dijadikan buku. InsyaAllah, selepas tempoh 40 hari, rakyat yang pernah membeli atau membaca buku ini akan melupakan isi kandungan buku tersebut kerana tidak ada apa-apa yang perlu disimpan di kotak fikiran mereka.

Dalam situasi politik seperti ini, Dr. Khir boleh melihat siapa sebenarnya kawan-kawannya dan siapa yang hanya ada sekadar melukut di tepi gantang.
Memetik kata-kata Dr. Khir lagi; "Pihak kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya mewartakan mana-mana tanah individu kerana hanya tanah milik kerajaan yang boleh diwartakan sebagai hutan simpan.

"Jadi orang ramai perlu memahaminya kerana tidak semua hutan simpan yang ada di negeri ini milik kerajaan," Kalau orang ramai sudah memahami kedudukan 'pengondolan dan menebang hutan' hingga berlaku penggodolan, tidak ada siapa yang boleh tampil dengan buku-buku picisan dan tuduhan kononnya Menteri Besar Selangor terlibat dengan rasuah dan anak seorang petani miskin yang lupa daratan.
Negeri Selangor perlu terus dibangunkan bukan kerana pemaju dan kontraktor itu kawan atau kroni Menteri Besar. Tetapi ia adalah untuk kepentingan sosio ekonomi. Tanah pertanian tidak mempunyai nilai setinggi nilai tanah industri dan Selangor tidak perlu menoleh kebelakang lagi dalam mencapai status negeri maju 2005.
Apa yang jadi masalah di Malaysia, ada penulis-penulis mahu menjadi pengawai penyiasat, dia juga mahu menjadi pendakwa dan akhirnya menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman.

Sebagai seorang Menteri Besar yang muda, berpelajaran tinggi dan kuat pegangan agamanya, Dr. Mohamad Khir tentunya tidak seperti 'apa yang dituduh' kononnya mempunyai wang yang banyak dan mula memunggah kekayaan untuk kesenangan dirinya sendiri.

Biasalah, jika ada sepuluh pihak yang membuat permohonan, hanya satu permohonan sahaja yang akan diberikan. Sembilan pihak yang gagal dalam permohonannya itu mungkin kecewa dan mencari penulis-penulis yang sudah terdesak hidupnya untuk menulis, menghentam Menteri Besar Selangor.

Kenapa tidak ada penulis yang mahu menulis mengenai Menteri Besar Perlis? Johor atau negeri-negeri lain, dalam isu pengondolan bukit-bukit atau hutan… - ia disebabkan Selangor adalah sebuah negeri yang menjadi perhatian umum.
Di Selangor sendiri, bukan seorang dua yang berangan-angan mahu menjadi Menteri Besar, lebih-lebih lagi mereka melihat bagaimana akhbar berjaya menjatuhkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Abu Hassan Omar.

Apabila sebuah akhbar arus perdana memulakan serangan tehadap Dr. Khir secara berturut-turut, ada pihak yang menyangkakan 'usia politik Menteri Besar' sudah sampai ke penghujung.

Biasalah, akan ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh. Ia dibuat bukan kerana perjuangan atau keikhlasan tetapi sekadar mencari sedikit habuan dari orang-orang yang sealiran dengannya - memijak orang yang sudah jatuh. InsyaAllah, penulis seperti ini dan orang-orang yang bersekongkol bersama-samanya tidak akan ke mana dan tidak akan dikenali sebagai seorang penulis yang mempunyai idealisme.

Cara yang paling mudah, kalau ada sesiapa sanggup bangkit menegur penulis ini, mereka akan menyerang orang lain pula dengan dakwaan sebagai 'penulis diupah' dan fitnah murahan, sekadar mahu melindungi diri sendiri daripada 'kisah silam' yang cukup menjijikkan!

Sebagai penulis, kita, sesiapa sahaja… amat ego dengan pendirian kita. Kita tidak akan sanggup menerima teguran, jauh sekali kritikan. Kita, sebagai penulis sanggup menulis mendedahkan aib orang, mengkritik orang lain termasuk Menteri Besar, Menteri-Menteri atau Perdana Menteri, tetapi apabila kita, atau tulisan kita ditegur, dikritik atau disentuh, mulalah kita melenting, kononnya kita sahaja yang betul… orang lain salah!

-habis-
 

  Interaksi atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
Powered by TagBoard Message Board
Name

URL or Email

Messages(smilies)

Beberapa artikel ini juga boleh di dapati dalam web - blog http://diskusi-umno.blogspot.com  untuk tujuan perbincangan. Sekiranya ia tidak terdapat dalam web-blog maka sebarang komen boleh di buat secara mudah di sana atau klik sini untuk borang maklumbalas atau hubungi 012-6544762