|
PENDAPAT TENTANG TINDAKAN DATUK SHAHRIR
- Pemerhati Politik, Perlis
Tindakan yang dilakukan oleh Datuk Shahrir selaku Pengerusi
Kelab Penyokong Barisan Nasional (KPBN - kenapa BBC? Bukankah
itu bahasa penjajah?), bertindak meletakkan jawatannya, terdapat
dua aspek yang penting perlu kita teliti bersama. Pertama, aspek
perletakan jawatannya itu. Kedua, punca perletakan tersebut.
Pada dasarnya, kita menghormati tindakan beliau kerana mempunyai
prinsip, tegas dan wajar. Jarang benar berlaku di negara kita,
seseorang pemimpin meletakkan jawatan, jika dibandingkan dengan
negara-negara maju, Jepun misalnya. Pernah berlaku, dalam masa
setahun beberapa orang Perdana Menteri Jepun meletakkan jawatan.
Menterinya pula, begitu senang meletakkan jawatan apabila
berlaku gerak-gempa yang meranapkan kediaman dan sekian ramai
pula penduduk yang terkorban. Apakah kejadian itu dapat diatasi
oleh menteri tersebut? Akan tetapi kerana bertanggungjawab
sebagai seorang menteri, dia meletakkan jawatan.
Di negara kita, bagaimana? Jarang sekali para menteri, wakil
rakyat malah pegawai tinggi kerajaan meletakkan jawatan meskipun
berlaku sesuatu penyelewengan, penipuan, rasuah di hadapan mata
sendiri! Mengapa? Halobakan pangkat, darjat dan wang ringgit!
Sehingga diambil tindakan pecat atau diruntun oleh rakyat dalam
pilihan raya baru mengundurkan diri. Ternyata sekali para
pemimpin kita langsung tidak mempunyai harga diri dan maruah.
Kerana itu, tindakan Datuk Shahir perlu dihormati! Namun apa
yang kita persoalkan, mengapa BN mempunyai dasar bahawa
seseorang itu tidak dibenarkan menyokong pendapat yang benar dan
adil daripada pihak pembangkang? Mengapa? Apakah dasar itu
sesuatu yang rasional? Di manakah amalan sistem demokrasi yang
dilaung-laungkan oleh para pemimpin BN? Sesungguhnya, inilah
suatu faktor mengapa negara kita tersekat daripada mencapai
taraf keadilan sebeanr-benarnya!
Aspek kedua tadi, ternyata pula tindakan Datuk Mohd. Said Yusof
(BN-Jasin) yang mengaku bahawa beliau adalah ahli Parlimen yang
dikatakan cuba mengganggu urusan Kastam Diraja Malaysia pada 14
April 2006 berhubung dengan rampasan kayu bergergaji di
Pelabuhan Sungai Linggi. Jelas sekali bahawa kuasa politik
begitu bermaharajalela di negara kita. Tujuannya tidak lain dan
tidak bukan untuk membendung kedudukannya dalam arena politik.
Mungkin terdapat pula unsur-unsur lain di sebalik tindakannya
itu.
Campur-tangan orang-orang politik seperti ini memang terdapat di
mana-mana dan begitu berleluasa di neagara kita sekarang. Faktor
ini menyumbang kepada penyelewengan, rasuah, peras-ugut,
penyalah-gunaan kuasa, berpunca daripada sifat angkuh dan tamak.
Apakah pihak atasan tidak menyedari hal ini? Apakah pihak BPR
dan polis tidak bertanggungjawab? Ternyata bahawa 'kuasa politik'
itulah menyebabkan BPR dan polis terpaksa akur, jika tidak
sekian banyak angkara buruk akan menghempap kepala mereka.
Kerana itu, tertanya-tanyalah kita di manakah keadilan,
kesaksamaan dan 'kedaulatan undang-undang' yang digembar-gembur
oleh para pemimpin kita dewasa ini melalui Rukun Negara? Di mana???
Syabas Pak Lah! Ketika era inilah baru kita dapat melihat segala
keburukan, kebobrokan, penyelewengan, rasuah, penipuan
dibenarkan dikemukakan dalam siaran-siaran televisyen. Tujuannya
tidak lain untuk membuka segala pekung yang selama ini
terbendung dalam kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan
kerajaan. Cuma yang kita tertanya-tanya pula (boleh jadi seribu
tanta-tanya) mengapa pula tugas-tugas itu dilakukan oleh tv?
Kini jelas sekali tv pula memangku peranan sebagai pengawai BPR,
pengawai polis, pegawai Jabatan Alam Sekitar, pegawai Majlis
Bandaran, pegawai hutan, dan sekian banyak pengawai lagi. Apakah
yang dilakukan oleh pegawai-pegawai tersebut menjalankan
tugasnya setelah menerima gaji (wang rakyat) beribu-ribu ringgit
sebulan?
Jika hutan yang diceroboh, mengapa tv yang menyelongkar, apa
tugas Jabatan Hutan? Jika bangunan roboh, retak dan sebagainya,
bagaimana kelulusan boleh diberi oleh pihak Kerajaan Tempatan?
Apakah mereka menjalankan tugas sebenarnya atau mendapat sesuatu
suapan menyebabkan 'mata mereka tertutup?'
Kerenah-kerenah inilah yang menimbulkan sekian banyak kebobrokan
di negara kita. Kerenah inilah yang ingin dibasmikan oleh
seorang PM yang bernama Pak Lah. Tapi, berjayakah Pak Lah
seorang diri membasmi kerenah-kerenah ini jika para 'pembodek',
'Pak Pacak' dan 'Pak turut' di sekeliling beliau mendiamkan diri,
melihat sambil tersenyum sinis?
Begitulah apa yang berlaku kini, di negara kita yang bernama
'Malaysia'.
Mari kita fikirkan bersama-sama apakah disebalik tindakan Datuk
Shahir itu mempunyai sekian banyak hikmahnya. Apakah
hikmah-hikmah itu dapat menyedarkan pemimpin-pemimpin kita
terutama pemimpin BN. Fikir-fikirkanlah!
|