|
PEMANIS SOKONG NAJIB
TIDAK WAJAR SYARAT WAJIB
BAHASA CINA DALAM SEKTOR PEKERJAAN
PERNYATAAN yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Abd Razak dalam Dewan Negara pada 31 Mei 2006, agar
sikap kilang-kilang perusahaan dan korporat kepunyaan kaum Cina
yang mewajibkan syarat pekerja berkelulusan bahasa Mandrin
supaya memberhentikan amalan tersebut. Persatuan Melayu Negeri
Perlis (PEMANIS) menyokong penuh dan mengharapkan pernyataan itu
benar-benar dipatuhi oleh pihak-pihak yang berkenaan.
PEMANIS berpendapat bahawa syarat tersebut benar-benar tidak
menunjukkan erti perpaduan di negara ini serta tidak rasional.
Sikap atau syarat tersebut bukan sahaja menutup peluang
pekerjaan kepada anak-anak Melayu termasuk lain-lain bangsa
seperti India, Siam, Kadazan dan Iban yang tidak berkelulusan
bahasa Mandrin tetapi lebih jelas menunjukkan sikap diskriminasi.
Lebih jelas lagi bahawa sikap dan syarat itu menunjukkan tidak
menghormati Perlembagaan negara ini yang menetapkan bahasa
Melayu adalah bahasa rasmi negara. Golongan korporat milik kaum
Cina seolah-olah mengenepikan perlembagaan Negara dan hasrat
kerajaan untuk memupuk perpaduan di negara ini.
Pihak tersebut sewajarnya melihat secara menyeluruh
negara-negara maju seperti Jepun, Korea, China dan negara-negara
Eropah seperti Jerman, Perancis, Itali, Rusia; apa lagi negara
Baritish dan Amerika - termasuk negara-negara jiran tetangga
kita Thailand dan Indonesia mewajibkan setiap korporat mengambil
pekerja dengan menggunakan bahasa ibunda negara masing-masing.
Kini ternyatalah golongan korporat kaum Cina di negara ini
secara sewenang-wenangnya menunjukkan sikap yang bertentangan
dengan kehendak perlembagaan dan hasrat majoriti rakyat negara
ini.
1
PEMANIS percaya, berlakunya perkara tersebut disebabkan negara
ini khususnya para pemimpin tidak begitu memberi perhatian yang
sewajarnya kepada penggunaan bahasa Melayu. Kini bahasa Melayu
yang menjadi bahasa rasmi negara telah terpinggir dan
diketepikan. Para pemimpin dan ahli korporat begitu selisa
menggunakan bahasa Inggeris yang sebelum ini dianggap sebagai
bahasa penjajah.
Inilah puncanya mengapa pihak-pihak korporat kepunyaan kaum Cina
tanpa segan-silu menggunakan syarat pengunaan bahasa Mandrin
atau bahasa Cina itu.
Jika dalam tahun-tahun lapan-puluhan dahulu, bahasa Melayu
begitu mantap, digunakan oleh seluruh rakyat termasuk golongan
korporat, maka soal bahasa asing tidak timbul sama sekali. Semua
korporat menggunakan bahasa Melayu, kerana itu semua pelajar
lepasan sekolah menengah dan universiti tidak timbul masalah
bahasa untuk memohon pekerjaan dalam mana-mana sektor sama ada
sektor swasta atau sektor awam.
Sayang sekali, dalam era tahun dua ribu sistem pendidikan kita
telah berubah, bahasa Inggeris telah menggantikan bahasa Melayu
untuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Maka berlakulah sekian
banyak 'keciciran' pekerjaan terutama anak-anak Melayu untuk
memohon pekerjaan terutama sekali sektor swasta, apa lagi
apabila syaratnya berkelulusan bahasa Cina.
PEMANIS berharap sepatutnya semua rakyat yang taat setia kepada
Perlembagaan, termasuk para pemimpin negara benar-benar
menghormati Perlembagaan yang jelas menyatakan bahasa rasmi
negara ini adalah bahasa Melayu. Jika ketam menyuruh anaknya
berjalan betul, sedangkan dia sendiri berjalan serong, maka
berlakulah 'keserongan' sekian banyak sistem pentadbiran
termasuk 'keserongan' penggunaan bahasa rasmi negara kita.
- Rejab bin Ismail,
Timbalan Yang Dipertua,
Persatuan Melayu Negeri
Perlis (PEMANIS).
|