|
Pekerja bukan pekakas atau inventori syarikat
Sudah tiba masanya majikan melihat pekerja sebagai satu sumber pelaburan yang mampu membawa keuntungan bersesuaian dengan terma modal insani yang menjadi salah satu cabang penting dalam perbincangan mengenai rancangan Malaysia ke 9. Pekerja juga harus memulakan langkah agar kehadiran mereka dalam sesebuah syarikat bukan lagi sebagai hamba yang mudah di perbodohkan tetapi hadir dengan nilai integriti yang tinggi.
Lumrah inilah yang akan mengadakan satu pertalian bijak antara majikan dan pekerja dan lumrah inilah yang di perlukan bagi menjayakan semua agenda kehidupan. Asas penting semua kita adalah pekerja.
Kejayaan Kesatuan Sekerja Indah Water Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Bersama atau "Collective Agreement" antara majikan dengan pekerja bukan eksekutif membuka lambaran baru kepada keharmonian pekerja dalam industri tersebut. Setelah hampir 10 tahun - tidak ada satu dokumentasi yang wujud dalam mensyaratkan perkembangan tersusun pekerja - pekerja tersebut baik dari segi penyelarasan gaji tahunan - kebajikan pekerja - kenaikan jawatan dan khususnya peningkatan gaji serta elaun perkhidmatan. Hari ini semuanya menjadi satu kontrak antara majikan dan pekerja.
Sungguhpun ini baru langkah pertama namun menurut Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Indah Water Sdn Bhd ini adalah satu langkah yang perlu di buat bukan sahaja bagi Kesatuan Indah Water sahaja tetapi bagi kesatuan - kesatuan lain. Penyaranan saya adalah semua kita pekerja harus berpersatuan kerana dengan berpersatuan maka kita mampu bersuara - mampu membentuk perjanjian bersama agar pekerja bukan lagi PEKAKAS yang tersenarai sebagai salah satu inventori syarikat dan majikan.
Bagi mengasingkan kehadiran kita sebagai salah satu inventori maka kesatuan itu perlu kuat - perlu mempunyai kekukuhan kewangan dan di tadbir dengan sempurna oleh wakil - wakil ahli dan bukan majikan dalam persatuan.
Penerimaan Kesatuan lemah dan sering di cabar
Semestinya secara asas kalau kita lihat sesebuah organisasi yang enggan dan berusaha memecahkan atau tidak membenarkan kita berpersatuan maka unsur - unsur untuk mendiskriminasi pekerja mula wujud. Tanpa kesatuan ini maka ruangan untuk menindas pekerja wujud dan ruangan ini harus di tutup dengan suara kolektif pekerja. Pekerja harus sedar bahawa ruangan pertama untuk menutup atau menjaga kebajikan mereka adalah dengan berpersatuan. Ini adalah langkah pertama yang penting harus di lakukan.
Kita akan dapat indikasi jelas bahawa majikan itu hanya melabelkan pekerja sebagai salah satu perkakas mereka - apabila mereka berusaha untuk menutup, mengecilkan dan tidak membenarkan pekerja mereka berpersatuan. Ini asas penting dalam kita mengenali hati budi majikan dan syarikat yang kita bekerja.
Sungguhpun di Indah Water Sdn Bhd, kita hanya mencapai Perjanjian Bersama baru - baru ini, setelah 10 tahun namun kita dapat melihat bahawa terdapat bahawa majikan turut serta menyokong kesatuan sekerja dan ini memberi indikasi awalan yang baik.
Tauladan harus diambil dari kejayaan - kejayaan Perjanjian Bersama mana - mana kesatuan yang ada. Bagi saya, semua pekerja harus memulakan tindakan untuk berpersatuan kerana ini pasti memberikan lembaran baru dalam bagi kita sebagai pekerja. Kita tidak mahu di tindas atau di diskriminasi, kita mahu berkhidmat sebaik mungkin dalam persekitaran kerja yang baik dan kita mahu integriti kita sebagai pekerja dihormati. Seperti yang saya katakan - kita bukan alat atau perkakas dalam sesebuah organisasi.
Sehingga hari ini kita masih melihat kelemahan dalam memberitahu pekerja mengenai kepentingan berpersatuan. Sungguhpun telah timbul banyak kesatuan - kesatuan sekerja dan telah ada payung utama yang sepatutnya memberi penerangan yang menyeluruh mengenai kepentingan berpersatuan namun - kita masih tersangkut dalam meletakan kos penerangan sebagai satu kos dan bukan pelaburan.
Payung - payung seperti MTUC - Malaysian Trade Union Council harus bertindak dengan lebih agresif untuk memastikan bahawa penerangan yang secukupnya dibuat supaya semua pekerja tertakluk di bawah satu kesatuan di peringkat nasional. Penerangan - penerangan ini BUKAN KOS tetapi satu pelaburan bagi membina satu barisan pekerja yang sedar dan berwibawa. Ini perlu kerana bagi saya cabaran untuk membentuk persatuan adalah amat tinggi. Tidak keterlaluan kalau dikatakan kerajaan adalah antara penghalang utama kita berpersatuan. Kementerian yang terlibat tidak mahu menggalakkan dan tidak ada langsung penerangan dan galakan di buat oleh mereka.
Ini sudah cukup untuk melemahkan kita untuk berpersatuan. Bagi saya - sepatutnya semua galakan di buat agar mereka - pekerja tahu betapa pentingnya kita berpersatuan dan bagaimana persatuan tersebut dapat berkhidmat bagi menjaga kepentingan hak pekerja.
Sehingga ke hari ini pekerja masih diharapkan bekerja dalam kondisi tidak berpersatuan dan ini akan merunsingkan. Saya berharap bagi mana - mana organisasi yang tidak berpersatuan agar mereka memulakan langkah untuk sama - sama membentuk era pekerja yang gemilang. Kita juga menyaran agar pihak kerajaan mengikis pandangan bahawa Kesatuan Sekerja adalah kumpulan anti establishment kerana perkara utama yang mereka lakukan adalah untuk menjaga kebajikan pekerja.
|
|
Interaksi
atau kirimkan pesanan pada editor www.umno-reform.com
|