Salah PBT -- Gagal patuhi garis panduan pembangunan
tanah tinggi
Oleh YULPISMAN ASLI
PUTRAJAYA 5 Jun - Kementerian Sumber Asli dan Alam
Sekitar merumuskan kejadian tanah runtuh di sekitar Hulu
Klang termasuk di Kampung Pasir minggu lalu berpunca
daripada kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT)
mematuhi garis panduan pembangunan tanah tinggi.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Suboh Mohd.
Yassin berkata, mengikut garis panduan, kawasan tanah
tinggi melebihi 1,000 meter dengan kecerunan lebih 40
darjah tidak dibenarkan pembangunan projek.
Justeru tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap
PBT memastikan garis panduan tersebut dipatuhi.
``Persoalannya, dia (pihak berkuasa tempatan) tidak
ikut,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2005 kementerian
itu di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau mewakili Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid menyampaikan
anugerah kepada 41 penerima.
Suboh berkata, setiap projek pembangunan di kawasan
tanah tinggi mempunyai risiko kejadian tanah runtuh,
lebih-lebih lagi ketika hujan.
``Pihak pemaju kena berhati-hati,'' katanya.
Mengulas kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir,
Bukit Zoo View, beliau berkata, kementerian melalui
agensinya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai
mekanisme tertentu dalam memastikan aspek penjagaan alam
sekitar.
Malah, katanya, Jabatan Mineral dan Geosains juga
telah menjalankan kajian ke atas kawasan berkenaan bagi
membantu usaha mengenal pasti punca kejadian sebenar.
``Jadi, semua pihak, tidak kira PBT, kerajaan negeri
dan jabatan-jabatan Persekutuan, perlu memberi perhatian
dan input masing-masing,'' katanya.
Ditanya sama ada JAS berdepan masalah bekerjasama
dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan tugas serta
peranannya, Suboh bagaimanapun berkata, pegawai jabatan
itu mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri.
Dalam kejadian 31 Mei lalu, empat beranak mati
tertimbus apabila berlaku pergerakan tanah berikutan
pembangunan di kawasan terbabit.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi mengingatkan semua PBT bertindak tegas dan
bukan sekadar memberi amaran sahaja terhadap pemaju yang
melanggar peraturan berkaitan pembinaan di kawasan tanah
tinggi.
Perdana Menteri turut mengarahkan kerajaan Selangor
mengambil tindakan segera terhadap pihak yang
bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Ekoran itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr.
Mohamad Khir Toyo memberitahu pihaknya sedang
mengumpulkan bukti bagi membolehkan tindakan diambil ke
atas pihak terlibat.
|