BALIK KE MUKA UTAMA

Email dari pelayar ( bukan pedapat www.umno-reform.com )

KENYATAAN MEDIA (19 Januari 2006)

SKUAD SUKARELAWAN : TINDAKAN KABINET DIPERSOAL

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melahirkan sokongan di atas usaha penubuhan Skuad Sukarelawan yang telah dibentuk oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi menjalankan usaha-usaha mengatasi permasalahan sosial dan gejala dadah yang semakin menular pada hari ini. Walaupun penubuhannya agak lewat tetapi ianya suatu usaha murni yang sepatutnya dikembangkan ke seluruh negara bukan sekadar di kawasan pentadbiran Putrajaya. Bagaimanapun tindakan kabinet kelmarin  yang telah menolak penubuhan skuad berkenaan dengan menganggap pasukan itu seolah-olah pasukan pengintip, menimbulkan rasa kebimbangan dan amat mendukacitakan DPPP.

DPPP beranggapan tindakan MAIWP menubuhkan skuad tersebut seharusnya diterima dan bertetapan dengan konsep Islam Hadhari mereka, di saat gejala sosial yang semakin menanah dan dengan penubuhan skuad tersebut merupakan satu mekanisme untuk membantu anggota penguatkuasa yang dimasa ini amat terbatas bilangannya. Lebih mendukacitakan, keputusan itu dibuat tanpa kehadiran menteri yang bertanggungjawab, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Abdullah Md. Zin yang kini berada di Mekah..

DPPP juga difahamkan, perkara tersebut telah dibawa ke mesyuarat kabinet oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Nazri Abdul Aziz yang sepatutnya menjaga hal ehwal parlimen sahaja bukannya mengambil bidang kerja orang lain. Di atas dasar inilah, DPPP mempersoalkan kewajaran tindakan Nazri yang dianggap cuba mencampuri bidang kuasa Abdullah, yang mana perkara tersebut perlu diputuskan oleh Abdullah sendiri sekembalinya dari Mekah. DPPP beranggapan tindakan itu merupakan satu penghinaan kepada Abdullah sebagai menteri yang bertanggungjawab.

DPPP juga menyangkal kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan Dato’ Sri Radzi Sheikh Ahmad bahawa tindakan MAIWP itu bertentangan dengan hak asasi manusia dan beranggapan ia seolah-olah sebagai badan pengintip atau ‘sekodeng’. Persoalannya adakah remaja bercumbu dikhalayak ramai, melakukan aksi lucah, tarian bogel, menjual arak secara terbuka kepada orang Islam, lebih lebih lagi oleh remaja bawah umur    sebagai hak asasi manusia? Hak peribadi apa kalau segala perlakuan keji anak anak muda dilakukan tanpa segan silu dan ditonton perilaku buruknya oleh orangramai khasnya anak anak kecil? Bagi DPPP, Skuad Sukarelawan MAIWP ini merupakan satu usaha baik untuk menyedarkan masyarakat dengan usaha mendekati dan menasihati generasi muda secara berhemah untuk meninggalkan perilaku sosial yang semakin kritikal.

Kerajaan seharusnya berterima kasih dengan penubuhan skuad ini memandangkan kerajaan sering mengatakan alasan kekurangan penguatkuasa untuk mengadakan pemantauan dan pengawalan di negara ini. Bahkan skuad sukarelawan ini berbakti tanpa upah yang didorong keinsafan menyelamatkan anak bangsa mereka. DPPP juga merasakan penolakan kabinet terhadap skuad ini bertentangan dengan aspirasi kabinet Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melaksanakan 10 prinsip Islam Hadhari; yang antaranya mempertingkatkan ketaqwaan rakyat. .

Dalam pada itu, DPPP turut berasa sangsi, adakah penolakan ini lahir kerana gejala sosial menular bukan sahaja dilakukan oleh anak muda, tetapi turut didokong oleh pemimpin negara. DPPP merujuk insiden yang berlaku pada 29 Disember tahun lalu, di mana serbuan yang dilakukan di sebuah kelab exclusif di Subang Jaya yang dikatakan melibatkan seorang VVIP, yang kemudiannya melarikan diri melalui pintu belakang. Sampai bila perilaku buruk sesetengah VVIP mahu disorok hanya kerana mereka punya kuasa lalu berdalih ini soal hak asasi!. Percayalah, suatu hari nanti akan terdedah jua tembelang mereka seperti kes judi Dato’ Seri Osu Hj Sukam. 

Justeru, DPPP beranggapan jika situasi inilah yang mahu ditutup pemimpin negara hingga menyebabkan keputusan itu diambil, maka harapan kepada Islam Hadhari tidak akan menjadi kenyataan bahkan akan meletakkan negara ke jurang kemusnahan kerana dipimpin oleh barisan kabinet yang rendah nilai moral dan tidak mempunyai tanggungjawab sosial. DPPP melahirkan rasa sedih yang amat sangat dan khuatir kalau ianya  merupakan satu pakej yang bersangkutan dengan isu lain, termasuk cadangan meminda Perlembagaan, isu Enakmen Keluarga Islam, pendidikan sexsualiti di sekolah di mana seolah-olah wujud konspirasi  untuk membuang apa jua usaha kebaikan kononnya melanggar hak asasi manusia!!!.

MAZLAN BIN ALIMAN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat.
Hp : 0137130103


Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762