BALIK KE MUKA UTAMA

 

Kepada;

YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Menteri Keselamatan Dalam Negeri
Pejabat YAB Menteri Keselamatan Dalam Negeri
Blok D1 / D2, Parcel D,
Pusat Pentadbiran & Kerajaan Persekutuan,
62546 Putrajaya 23 Februari 2006

YAB Datuk Seri,

MEMORANDUM MENDESAK TINDAKAN KERAJAAN TERHADAP PENYIARAN KARTUN PENGHINAAN NABI MUHAMMAD S.A.W PADA 20 FEBRUARI 2006 DAN PENGHINAAN NABI NUH A.S PADA 21 FEBRUARI 2006 OLEH AKHBAR THE NEW STRAITS TIMES

Perkara di atas adalah dirujuk dan amat mendukacitakan.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merasa kesal dengan penyiaran kartun di mukasurat 8 ruangan Coffee Break di akhbar News Straits Times (NST) bertarikh 20 Februari 2006 dan 21 Februari 2006 masing-masing menggambarkan mesej yang sinis dan menghina kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W. dan Nabi Nuh A.S.

DPP Pusat merasa sangat bertanggungjawab untuk membawa isu di atas kepada pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri supaya ditangani dengan segera sebelum ia mencetus kemarahan umat Islam di negara ini. Kami percaya kebiadapan penyiaran tersebut boleh memberikan kesan buruk kepada kestabilan dan keharmonian negara kerana ia sangat menyentuh kemuliaan agama Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan.

Kami sangat hairan bagaimana pelanggaran kepada etika penyiaran oleh NST boleh berlaku disaat gelombang bantahan umat Islam sedunia masih meluap terhadap penyiaran karikatur menghina Rasulullah S.A.W. oleh sebuah akhbar negara Denmark. Kami juga hairan apakah NST tidak mengambil pengajaran dari tindakan pihak kerajaan yang telah mengambil langkah tegas menggantung permit akhbar Sarawak Tribune yang telah mengulang cetak karikatur tersebut.

Kami telah membuat laporan Polis pada 21hb Februari 2006 berkenaan dengan perkara di atas di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur dan mengharapkan satu tindakan tegas diambil oleh pihak kerajaan terhadap pelanggaran etika penyiaran ini. Kami juga telah menghantar surat terbuka kepada pihak pengurusan NST untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di atas perkara yang telah dilakukan.

Kami dengan ini menuntut agar pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengambil langkah tegas terhadap NST termasuk dengan mengenakan tindakan-tindakan berikut:-


i. The New Straits Times harus memohon maaf secara terbuka kepada rakyat di negara dan juga negara-negara Islam lain;

ii. Pelukis lakaran tersebut iaitu Wiley Miller dengan semua lakarannya tidak dibenarkan di siar oleh semua akhbar di negara ini;

iii. Mengambil tindakan sewajarnya kepada editor ruangan Coffee Break (Joan Lau), Ketua Editor serta Ketua Pengarang NST;

iv. Menggantung permit penyiaran the New Straits Times bagi tempoh masa tertentu;

DPP Pusat dengan ini menuntut dan mendesak supaya pihak kementerian agar mengenakan tindakan tegas ke atas akhbar tersebut. Kegagalan pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya akan menggambarkan sikap ketidak tegasan kepemimpinan dan juga menggambarkan sikap tidak ambil berat dalam soal sensiviti umat Islam dalam negara. Kami juga ingin merakamkan rasa dukacita kami kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu-isu yang mencabar kemuliaan dan kedaulatan Islam dalam negara Malaysia.

Tindakan tegas juga amat penting untuk diambil bagi untuk menjadi satu mesej amaran kepada semua akhbar supaya tidak mengulangi perkara yang sama kelak.

Sekian, pandangan dan desakan kami.


Yang menjalankan amanah,



HAJI IDRIS HAJI AHMAD
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762