|
KERAJAAN PERLU SERIUS TANGANI MASALAH SOSIAL !
Dewan Pemuda PAS Pusat ( DPPP )
melihat laporan kes rogol ‘abang-adik’ yang berpunca daripada
pengaruh VCD lucah sebagai suatu tragedi yang perlu ditangani
secara serius oleh kerajaan dan semua pihak yang terlibat.
Tragedi ini juga perlu dilihat oleh semua pihak sebagai suatu
indikator kepada usaha kerajaan dalam menangani permasalahan
sosial yang berpunca daripada lambakan bahan-bahan porno
dipasaran. Sewajarnya isu ini menjadi pengajaran berguna kepada
semua pihak yang terlibat khususnya kerajaan agar tidak sekadar
melepaskan batuk ditangga didalam usaha bagi menangani
permasalahan ini.
DPPP
melihat isu kegagalan ini berpunca daripada beberapa faktor
seperti yang dinyatakan dibawah :
-
Kegagalan instrumen kerajaan khususnya Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDN & HEP
) dalam menangani lambakan VCD lucah di pasaran.
Perlaksanaan penguatkuasaan yang seringkali dibayangi dengan
unsur-unsur rasuah dilihat sebagai punca utama kepada
kegagalan usaha untuk membenteras pengedaran VCD lucah
dipasaran. Penguatkuasaan dilihat hanya menumpukan kepada
usaha untuk membenteras operasi penjualan dan pengedaran
sedangkan faktor utama yang perlu difokuskan iaitu faktor
pengeluaran bahan mentah CD diabaikan. Jelas sekali di dalam
hal ini kaedah pemantauan pihak kementerian terhadap operasi
pengeluaran CD tidak berkesan bagi mengekang
penyalahgunaannya.
-
Antara faktor yang sering digembar gemburkan berlakunya
lambakan VCD lucah dipasaran ialah kerana wujudnya
permintaan daripada orang ramai. Dengan menggunakan logik
mudah, kerajaan bertanggapan usaha pembenterasan dapat
dijayakan dengan mengurangkan permintaan. Logik ini
sememangnya ada kebenaran tetapi persoalannya adakah usaha
untuk mengurangkan permintaan dengan memberikan kesedaran
kepada masyarakat betapa buruknya kesan VCD lucah seiring
dengan usaha-usaha kerajaan yang lain. Jelas sekali
jawabannya tidak. Bagaimana mungkin kesedaran dapat dipupuk
dikalangan rakyat sekiranya di dalam masa yang sama
faktor-faktor yang mendorong orang ramai untuk ‘mendekati’
VCD lucah masih lagi berleluasa, antaranya ialah penyiaran
secara tidak terkawal filem, drama dan iklan komersil yang
mempunyai unsur-unsur lucah secara melampau. Kerajaan
melalui Kementerian Penerangan dilihat gagal dalam mengawal
perkara ini.
-
Begitu juga kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri
dilihat gagal dalam mengawal penerbitan buku,majalah dan
akhbar yang memaparkan cerita, berita dan grafik yang
mengandungi unsur-unsur kelucahan melampau. Dengan begitu
banyaknya bahan-bahan seperti ini ianya mendorong kepada
permintaan VCD lucah. Peliknya kerajaan dilihat begitu tegas
di dalam menangani penerbitan-penerbitan berunsur politik
tetapi di dalam hal ‘penerbitan lucah’ kerajaan dilihat
menutup mata sebelah.
Penegasan, Saranan dan Pandangan
Maka
dengan itu DPPP menegaskan agar satu usaha yang proaktif,
sistematik dan telus perlu dilakukan bagi memastikan
permasalahan ini dapat ditangani dengan kadar segera. Berikut
dibawah adalah antara saranan dan pandangan DPPP :
-
Penstrukturan semula KPDN & HEP perlu dilakukan agar fungsi
dan peranannya dapat dimaksimumkan. Orientasinya juga perlu
lebih kepada penguatkuasaan. Di dalam hal ini DPPP bertegas
agar usaha penyusunan semula ini juga perlu juga diiringkan
dengan usaha pembersihan KPDN&HEP daripada gejala rasuah dan
campur tangan politik. Hanya dengan melalui proses ini
sahaja fungsi dan peranan KPDN&HEP dapat dikembalikan
kepada visi dan misinya.
-
Kegagalan Kementerian Penerangan dalam mengawal bahan-bahan
siaran samada di stesen penyiar kerajaan mahupun swasta
perlu ditangani secara telus. Hak penapisan kandungan bahan
siaran yang diberikan kepada sesetengah stesen penyiar perlu
ditarik balik. Permasalahan ini yang pernah dibangkitkan di
Dewan Negara perlu dipandang serius oleh Kementerian
Penerangan. Kewujudan garis panduan dan Lembaga Penapisan
Filem yang dilihat gagal memainkan peranan dan fungsinya
perlu dinilai semula.
-
Peningkatan penguatkuasaan hukuman perlu dilakukan. Hukuman
berbentuk denda dilihat tidak mampu memberi kesedaran kepada
pengedar VCD lucah. Sewajarnya kerajaan mempertimbangkan
hukuman yang lebih keras.
-
Dasar langit terbuka yang menjadi amalan kerajaan perlu
ditangani dengan bijak. Kewujudan laman-laman lucah perlu
disekat dengan segala cara yang mungkin. Usaha ini tidak
sekadar kepada kewujudan pelbagai undang-undang tetapi juga
perlu diseiringkan dengan tindakan yang proaktif dengan
penggunaan teknologi terkini bagi menyekat capaian ke laman
web tersebut.
DPPP
secara tegasnya mendesak kerajaan untuk lebih prihatin dan telus
terhadap usaha untuk menangani permasalahan ini. Tragedi rogol
sebagaimana yang dilaporkan sewajarnya menginsafkan kerajaan
kepada realiti betapa keruntuhan moral yang berlaku di dalam
negara ini berada ditahap kritikal dan kronik. Institusi
kekeluargaan yang menjadi aset kepada pembinaan masyarakat
madani dilihat kini sedang melalui detik-detik kehancuran yang
memilukan. DPPP juga amat yakin rentetan beberapa kejadian rogol
dan bunuh yang berlaku sebelum ini sedikit sebanyak berpunca
daripada permasalahan lambakan bahan-bahan lucah dipasaran. Maka
dengan itu DPPP memperingatkan dengan tegas agar kerajaan tidka
melihat rentetan kejadian yang berlaku sebagai suatu kes
terpencil. Ianya adalah suatu tragedi yang akan menyumbang
kepada musibah yang lebih dahsyat.
MAZLAN
BIN ALIMAN
NAIB KETUA PEMUDA PAS PUSAT
8
SAFAR 1427 / 8 MAC 2006
|