|
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang Renggam,
Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(33/06)
Kenyataan Media
(26 April 2006)
TAJUK :
KETERBUKAAN MENERIMA KRITIKAN MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH PLKN
Saya terpanggil untuk mengulas satu berita yang dipetik daripada
laman Web Pemuda UMNO Malaysia yang disiarkan pada hari ini
bertajuk “Tidak Perlu Ada Keraguan, PLKN Terbukti Beri Nilai
Positif Pada Remaja”.
Timbalan Pengerusi Biro Latihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,
Shahrir Zaman Abdul Wahab hari ini menggesa semua pihak agar
tidak terburu-buru membuat penilaian dan tohmahan terhadap
program tersebut ekoran beberapa insiden yang tidak diingini
menimpa para peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Apa yang ingin saya sentuh adalah berkaitan dengan kenyataan
beliau yang menyentuh dengan tuduhan bahawa pembangkang cuba
mengambil kesempatan untuk mengekspoitasi isu ini. Beliau
menyatakan bahawa parti-parti pembangkang telah melemparkan
tohmahan terhadap PLKN berikutan beberapa insiden yang menimpa
para pelatih program terbabit sejak akhir-akhir ini.
Beliau meminta kerajaan agar tidak melayani sebarang tuduhan
remeh temeh mengenai pelaksanaan program tersebut serta membidas
sikap pembangkang yang hanya berusaha mencari kelemahan untuk
kepentingan politik mereka.
Tegas beliau jika pembangkang ikhlas mereka sepatutnya turut
sama memberi sumbangan untuk memperbaiki lagi mana-mana
kelemahan yang terdapat dalam PLKN ini dan bukan hanya menanti
peluang untuk mencuri kesempatan menghentam kerajaan.
Saya melihat bahawa kenyataan beliau ini adalah berasaskan
kepada emosi tanpa melihat realiti sebenar yang berlaku. Adakah
benar parti-parti pembangkang ini terutamanya PAS tidak
memberikan apa-apa pandangan terhadap penambahbaikan PLKN?.
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) sendiri pernah
mengemukakan 10 cadangan bagi memperbaiki PLKN. Syor DPPNJ ini
telah dibuat pada Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan
Khas Parlimen Malaysia Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara
yang telah diadakan di Bukit Timbalan, Johor pada bulan
September 2005.
Di antara cadangan yang pernah dikemukakan adalah :-
i. Mencadangkan Kementerian Pelajaran merangka subjek wajib
berkaitan Masyarakat dan Kenegaraan di peringkat sekolah
menengah lagi selain pelaksanaan PLKN itu sendiri perlu dibahagi
kepada beberapa tahap tertentu.
ii. Mencadangkan supaya pelaksanaan PLKN dibahagi kepada tiga
tahap iaitu tahap pertama membabitkan peserta berumur 15 tahun
(lepasan PMR) yang mana pada tahap ini peserta dididik dengan
Latihan Kemantapan Peribadi.
Tahap kedua pula membabitkan peserta berumur 17 tahun (lepasan
SPM) yang dididik dengan Latihan Kemasyarakatan dan Kenegaraan
yang mana pada tahap ini peserta dilatih dengan kefahaman
mengenai kepelbagaian agama, bangsa, sosial, budaya, politik,
ekonomi, masyarakat dan kenegaraan.
Manakala pada tahap ketiga pula membabitkan peserta yang sudah
atau belum bekerja (21 - 25 tahun), mereka diberi latihan
berkaitan politik antarabangsa, ancaman musuh dan kaedah
mempertahankan negara secara fizikal dan psikologi.
iii. Mencadangkan supaya penyertaan remaja lelaki dan perempuan
diwajibkan pada tahap satu dan dua manakala pada tahap ketiga
hanya remaja lelaki diwajibkan manakala remaja perempuan adalah
pilihan.
iv. Mengesyorkan beberapa cadangan lain seperti mewujudkan modul
khas berkaitan ajaran agama setiap peserta, pengasingan jantina
peserta PLKN serta melakukan penilaian pada setiap tahap.
v. Memasukkan keputusan setiap tahap ke dalam sijil PMR, SPM dan
Universiti, menjadikan keputusan lulus tahap satu dan dua
sebagai syarat masuk IPTA/IPTS atau pusat kemahiran dan latihan
manakala keputusan lulus bagi tahap ketiga dijadikan sebagai
syarat untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta.
vi. Menubuhkan badan bebas terdiri dari agensi kerajaan, NGO dan
pertubuhan politik bagi memantau setiap program yang
dilaksanakan memenuhi objektif yang digariskan untuk mengelakkan
sebarang unsur atau kecenderungan dan manipulasi terhadap
peserta PLKN ke arah mana-mana parti politik,.
Ini adalah bukti bahawa PAS terlibat sama dalam memperbaiki
kelemahan yang berlaku dalam PLKN. Jangan mudah membuat tuduhan
hanya kerana parti-parti pembangkang seperti PAS bukan peneraju
kepimpinan negara kerana dalam isu PLKN ini, PAS sangat
mementingkan masa depan anak-anak yang bakal menjadi waris
kepimpinan negara.
Sekian, wassalam.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
|