|
MALU LAGI MEMALUKAN
Sejarah penubuhan UMNO bermula daripada satu perhimpunan
besar-besaran yang diberi nama Kongres Melayu Se-Malaya.
Perhimpunan yang dirancang oleh Persatuan Melayu Selangor dan
diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur
pada 1 hingga 4 Mac 1946 menghimpunkan 41 buah
pertubuhan-pertubuhan Melayu. Perhimpunan yang berdasarkan
kepada penolakkan terhadap gagasan Malayan Union tajaan
British itu di pengerusikan oleh Dato’ Onn bin Jaafar
daripada Persatuan Melayu Johor yang akhirnya telah bersetuju
dan sepakat terhadap 3 usul utama iaitu:
1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
2. Membantah penubuhan Malayan Union dan,
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.
Kongres tersebut juga telah bersepakat melantik Dato’ Onn Jaafar,
Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’
Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad ( Zaaba )
bagi menganggotai sebuah jawatankuasa bagi mendrafkan satu
piagam datu perlembagaan UMNO.
Piagam inilah yang akhirnya dibentang dan diterima oleh Kongres
Melayu Se-Malaya yang bersidang di Istana Besar Johor
Bahru yang mana kongres itu juga dianggap sebagai
perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (
PEKEMBAR ) yang juga secara rasminya pada tarikh itu
tertubuhlah UMNO.
Ini adalah sejarah ringkas penubuhan UMNO, sejarah yang
berlatarkan kepada perjuangan menolak gagasan Malayan
Union cadangan British yang kembali ke Tanah Melayu selepas
dengan pengecutnya meninggalkan bumi bertuah Tanah Melayu kerana
kemasukkan Jepun yang tidak terbendung lagi. Sejarah awal
UMNO atau PEKEMBAR sedikit cacat kerana gagasannya yang tidak
langsung menyebut tentang usaha untuk membawa Tanah Melayu serta
seluruh rakyat yang bernaung dibawahnya kepada kemerdekaan.
Sedangkan pada ketika itu gerakan kiri yang dipelopori
mereka yang cukup kritikal dengan penjajahan telah lama
melaungkan slogan merdeka sebagai dasar perjuangan mereka.
UMNO ketika itu sebenarnya dipandang oleh kebanyakkan
rakyat sebagai satu lagi projek British bagi meredakan kemarahan
orang Melayu terhadap Malayan Union. Gerakan kiri seperti
Angkatan Pemuda Insaf ( API ), Angkatan Wanita Sedar (
AWAS ), Hizbul Muslimin dan pelbagai lagi parti politik yang
ditubuhkan lebih awal daripada UMNO lebih dekat dihati
rakyat. Nama-nama seperti Dr. Burhanuden al-Helmi, Ahmad
Boestaman, Shamsiah Sutan Fatah, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan
ramai lagi sering menjadi sebutan kerana pendirian tegas
mereka terhadap penjajahan. Sememangnya ada kebenaran rasa
keraguan orang Melayu terhadap penubuhan UMNO ketika itu yang
dilihat begitu rapat dengan British ini dapat dilihat
apabila hampir keseluruhan parti-parti politik yang ditubuhkan
sebelum merdeka dan mempunyai pandangan kritikal terhadap
British telah diharamkan pada 1948 selepas beberapa tahun
sebelum UMNO ditubuhkan. Ironinya semuanya diharamkan atas
alasan keterlibatan mereka dengan gerakan komunisme ! Satu label
yang menjerut gerakan kiri parti-parti politik sebelum
merdeka ke satu zon yang amat perit dimana kesan daripada itu
segelintir daripada mereka memilih untuk menghuni hutan dan
mengangkat senjata.
Rintisan kembali sejarah ini bukanlah untuk menyelongkar kembali
sejarah perjuangan kemerdekaan negara tapi ianya adalah
satu perbandingan terhadap persoalan sebenar yang akan
dibangkitkan. Kesilapan sejarah menghukum dan menilai penubuhan
sebuah parti politik yang bernama UMNO telah meletakkan
negara ini pada kedudukan yang ada kini. Penulisan ini tidak
menafikan segala bentuk sumbangan dan kejayaan yang telah
dikecapi rakyat negara ini dibawah naungan pemerintahan
UMNO. Apa yang dikecapi oleh rakyat negara ini adalah satu
kebanggaan kepada semua. Tetapi kita juga perlu berlaku adil
bahawa disana terdapat fakta yang tidak boleh ditolak
bahawa diketika kita mengecapi kegemilangan ini beberapa perkara
yang menjadi titik begik kepada kelangsungan orang Melayu masih
tidak mampu diusaikan. Malah selepas tahun demi tahun
persoalan itu menjadi lebih parah dan kian menghumban orang
Melayu ke satu daerah yang terpencil. Inilah antara tujuan
penulisan ini dan penulisan ini dilandaskan kepada uar-uar
yang gempita tentang sambutan ulang tahun UMNO ke yang 60 tahun.
Kerana apa ? Kerana asas kesilapan inilah yang melontar orang
Melayu ke lembah yang cukup mengerikan.
Penulisan ini mengajak semua pihak berfikir tentang
kesilapan-kesilapan fakta yang dilakukan oleh pimpinan
UMNO sehingga meletakkan ahli UMNO dan rakyat seluruhnya ditapak
sejarah yang celaru dan silap. Dengan kesilapan ini lonjakan
terhadap kelangsungan perjuangan orang Melayu menjadi
kalut. Sanggahan yang akan diutarakan dalam perbincangan
ini ialah untuk menyedarkan orang Melayu daripada hembusan
lamunan yang cukup mengasyikkan sehingga mereka terbuai
dan terlena dalam satu tidur yang amat panjang dan kerana itu
buaian itulah orang Melayu menjadi sebagaimana mereka menjadi
hari ini.
Sambutan ulang tahun 60 tahun penubuhan UMNO adalah satu bentuk
penipuan terhadap fakta sejarah kerana umum menyedari,
tahu dan sedar UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 telah
lama mati dan dikuburkan oleh mahkamah kerana keegoan
pimpinannya sendiri. UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn
Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil,
Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (
Zaaba ) perlembagaannya telah lama dikapankan dan
tahlilnya pun tidak diingati lagi. UMNO yang ada hari ini adalah
UMNO yang ditubuhkan pada 1988 dan pengasasnya adalah
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ( sekarang TUN ). UMNO sekarang
walau apa pun hujahnya samada sama namanya, sama
perlembangaannya atau sama pemimpinnya tetap tidak akan
menolak hujah bahawa ianya bukanlah UMNO yang diasaskan
daripada Kongres Melayu Se-Malaya di Istana Besar Johor Bahru.
Katakanlah apa saja.
Hujahkanlah apa saja. Kenyataannya UMNO telah lama mati !
Malah jika kita nilaikan dasar perjuangan antara UMNO yang
diasaskan oleh Dato’ Onn dengan UMNO yang ada ketika ini
jelas dan sememangnya amat jelas ianya bagaikan langit dan bumi.
Perjuangan UMNO yang ada hari ini langsung tidak sedikit
menghampiri perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn.
Jika UMNO yang ada pada hari ini adalah kelangsungan perjuangan
UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn maka mengapa dari ke hari
orang Melayu semakin teruk dihimpit akibat perlaksanaan
dasar yang cukup menghimpit orang Melayu.
UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn tidak akan mungkin meletakkan
Bahasa Melayu yang menjadi salah satu agenda perjuangan
UMNO ke tempat yang paling hina. UMNO yang diasaskan Dato’ Onn
tidak akan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas bawahan
yang hanya layak diucapkan dipasar-pasar. UMNO yang
diasaskan oleh Dato’ Onn mengangkat individu-individu seperti
Zaaba untuk merencanakan dasarnya. Tetapi UMNO yang ada hari ini
meletakkan mereka yang beriltizam meneruskan perjuangan
Pendita Zaaba ditempat palin hina dan dimusihi. Kerana
mereka menentang kaedah pembelajaran Sains dan Matematik didalam
bahasa Inggeris mereka dihina dan digelar sebagai cauvinis
Melayu yang emosi dan menolak kemajuan. Maka jika begitu
keadaannya maka apa kelayakkan yang ada untuk UMNO yang ada pada
hari ini untuk mengaku sebagai sinambungan daripada UMNO
yang diasaskan oleh Dato’ Onn melalui Kongres Melayu
Se-Malaya di Kelab Sultan Sulaiman dan Istana Besar Johor Bahru.
Jauh panggang daripada api.
Jika UMNO yang ada pada hari ini adalah sinambungan daripada
UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn mereka tidak akan
terus-terus menghina orang Melayu dengan pelbagai label yang
cukup menusuk hati. Tidak ada orang yang mengaku berjuang
untuk bangsanya tetapi didalam masa yang sama menghinanya
sedemikian rupa. UMNO yang ada hari ini mewajahkan orang Melayu
sebagai Melayu yang haprak, Melayu yang berminda kelas ketiga,
Melayu yang pemalas, Melayu yang selalu bermungkir janji
dan pelbagai lagi gelaran yang menjadikan orang Melayu itu
dipandang hina. Dengan pelbagai hinaan itu masih lagikah UMNO
yang ada hari ini hendak mendabik dada sebagai waris
kepada perjuangan Dato’ Onn. Hentikanlah !
Layakkah UMNO yang mengaku pada hari ini sebagai pewaris kepada
perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn jika
ditangan mereka yang berhasil hanyalah sejuta orang penagih !
Jika ditangan mereka yang berhasil hanyalah 250 000 orang Melayu
Islam yang murtad ! Jika ditangan mereka yang berhasil
hanyalah deretan jutawan kroni hasil daripada sistem korupsi
! Jika ditangan mereka yang berhasil hanyalah kekecewaan demi
kekecewaan yang melukakan hati orang Melayu ! Fikirkan
layakkan mereka untuk mengaku sebagai pewaris kepada
perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn.
Jika UMNO yang diasaskan oleh Dato Onn yang kemudiannya
diteruskan oleh Tun Abdul Razak dengan hati emasnya
menyerahkan begitu banyak tanah kepada orang Melayu melalui DEB
dan FELDA maka apa yang dilakukan oleh UMNO hari ini yang
kononnya mengaku sebagai sinambungan perjuangan tersebut.
Layakkah mereka untuk mendabik dada sebegitu jika orang-orang
Melayu di FELDA dari hari ke hari kian dihimpit dengan
pelbagai sekatan dan perjanjian yang berat sebelah. Yang
kaya hanyalah kapitalis lintah darat yang kerjanya hanya
menghisap sebanyak mungkin kudrat dan keringat orang
Melayu. Layakkah mereka untuk mengaku jika dari hari ke
hari mereka robohkan rumah-rumah orang Melayu yang tidak mampu
untuk membelinya dengan alasan itu adalah rumah setinggan
haram ! Jika kerja mereka adalah merampas tanah orang
Melayu diatas nama kemajuan ! Fikirkan !
Bagaimana dengan dasar perjuangan Derma Pelajaran Kebangsaan
Melayu yang menjadi asas penubuhan UMNO tajaan Dato’ Onn
adakah mereka meneruskannya sehingga mereka berani untuk
mengaku sebagai pewaris kepada perjuangan UMNO Dato’ Onn. Jika
biasiswa yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara
kepada setiap orang Melayu itu pun dihapuskan maka mengapa
mereka dengan muka yang tidak malu berani mengaku sebagai
pewaris kepada Dato’ Onn. Cerminkan wajah mereka dulu
kemudian tanyakan ke dalam diri mereka layakkan mereka untuk
mengaku sebagai pewaris kepada perjuangan Dato’ Onn jika
hanya yang mampu mereka lakukan ialah dengan mencicirkan
ribuan anak-anak Melayu daripada mendapatkan pendidikan yang
lebih baik kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.
Maka tidak jelaskah lagi bahawa dari segenap segi dan dari
segenap sudut UMNO yang ada hari ini langsung tidak
menyerupai UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn. UMNO yang
diasaskan oleh Dato’ Onn melihat orang Melayu sebagai aset
yang perlu digilap bagi menyerlahkan potensi mereka ke
mata dunia, tapi UMNO yang ada hari ini melihat orang-orang
Melayu sebagai sampah, sebagai hamba yang perlu dikerah
kudrat dan tenaga mereka untuk mencapai cita-cita tinggi
politik mereka. Maka kerana cita-cita politik mereka itulah
akhirnya orang-orang Melayu lahir sebagai sebuah bangsa
yang menjadi pengemis dibumi mereka sendiri.
Fikir-fikirkanlah, layakkah mereka untuk berdiri di Istana Besar
Johor Bahru kemudian berteriak histeria sambil mungkin
menghunuskan keris ke langit kemudian mendabik dada
mengaku kami adalah pewaris kepada perjuangan UMNO yang
diasaskan oleh orang-orang Melayu melalui Kongres Melayu
Se-Tanah Melayu bagi menentang penjajahan British. Jauh panggang
daripada api. Mereka tidak layak walau sekelumit pun untuk
berbuat demikian.
Tidak sekelumit pun mereka layak walaupun mereka masih lagi
menggunakan akronim UMNO dalam pertubuhan mereka ! Tidak
sekelumit pun mereka layak walaupun mereka menjunjung gambar
Dato’ Onn di kepala ! Tidak sekelumit pun mereka layak walaupun
mereka berkobar-kobar menyanyikan Bersatu, Bersetia dan
Berkhidmat ! Tidak sekelumit pun mereka layak meskipun
mereka tempel dan tumpangkan sejarah UMNO yang diasaskan oleh
Dato’ Onn ke dalam sejarah mereka ? Kerana apa..? Kerana
UMNO telah lama mati 18 tahun yang lalu dan orang Melayu
telah kekeringan air mata untuk menangisinya.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
|