|
dari
www.harakahdaily.net
Sunday, January 29 @ 15:23:56 MYT
KUALA TERENGGANU, 29 Jan (Hrkh) – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang berkata, Sisters In Islam tidak ada hak untuk bercakap
bagi pihak Islam kerana mereka tidak mengerti dan mendalami Islam.
“Saya cabar kerajaan supaya mengharamkan Sisters In Islam dan mereka
tidak berhak untuk bercakap berkenaan dengan Islam,” ujarnya ketika
merasmikan Ijtimak Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markas
Tarbiyah PAS kawasan, Kuala Ibai, semalam.
Beliau menambah, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Sisters In
Islam berhubung perkara yang berkaitan dengan Islam boleh menyebabkan
mereka terkeluar daripada Islam.
Ini, katanya mungkin disebabkan mereka jahil mengenai Islam.
Menurutnya, baru-baru ini keluar kenyataan daripada pemimpin Sisters In
Islam melalui televisyen yang mempertikaikan orang lelaki mendapat harta
pusaka sekali ganda daripada wanita sedangkan itu adalah keputusan
daripada Allah.
“Orang yang tidak reti Islam boleh bercakap Islam, boleh lawan Islam.
Sisters In Islam yang diberi nama `saudari-saudari perempuan Islam’ tapi
kerja dia, lawan Islam, lawan Tuhan, lawan hadis Nabi s.a.w.,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya PAS meminta kerajaan supaya bertindak dengan
tegas dan berani termasuk mengharamkan pertubuhan-pertubuhan yang
bernama Islam tetapi tidak bercakap tentang Islam.
“Mereka tidak ada pengetahuan tentang Islam sehingga menyentuh
hukum-hukum yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadis yang boleh
dipertikaikan aqidah mereka.
“Ini termasuk Sisters In Islam kerana golongan ini menyanggah al-Quran
dan golongan antihadis,” katanya lagi. – KAM/ayu.
|