|

KENYATAAN MEDIA (29 Oktober 2005)
SELESAIKAN KEMELUT GPMS DENGAN BAIK
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) merasa kesal diatas kemelut yang berlaku
dalam perebutan tahta GPMS menjelang pemilihan barunya kelak. Perkara
ini berlaku sepertimana gajah sama gajah bertarung dan pelanduk mati
ditengah-tengah samalah juga seperti UMNO dengan UMNO bertarung dan
pelajar melayu tersepit di tengah-tengah.
DPPP jugak merasa kesal trend yang ada di dalam UMNO di bawa pula ke
dalam GPMS yang sepatutnya memberikan tumpuan yang lebih terutama di
dalam isu-isu pendidikan orang-orang melayu dan gejala sosial yang makin
meningkat di kalangan pelajar-pelajar melayu. Kegagalan matematik dan
sains yang diajar di dalam bahasa Inggeris melalui ukuran peperiksaan
percubaan PMR tempohari adalah angka pertunjuk yang sebenar mengenai
kegagalan perlaksanaan tersebut. Dimanakah suara GPMS dan Pemuda UMNO
yang lantang untuk membela agenda pendidikan Melayu seperti yang
ditegaskan oleh Ketua Pemudanya, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sepatutnya pihak GPMS harus mencontohi kehebatan yang ditunjukkan oleh
Dong Jia Zong yang memperjuangkan isu-isu pendidikan orang-orang cina
sehingga berjaya memberi tekanan kepada Kementerian Pelajaran untuk
meluluskan 10 juta Ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
Mengapa GPMS tidak bertindak sebagai sebuah badan yang membela terhadap
isu Metematik dan Sains walaupun jelas gagal, sebaliknya menjadi pak
turut kepada dasar yang ada. Kenapa tidak berani melanggar arus untuk
memastikan pendidikan orang melayu terbela. Mengapa sekarang isu-isu
terhadap pendidikan orang-orang melayu diberikan penekanan didalam
agenda pertelingkahan jawatan dalam GPMS. Kenapa selama ini isu-isu
sepertimana penyekatan Sekolah Agama Rakyat (SAR), GPMS dan mereka yang
hendak bertarung didalam perebutan pertandingan ini berdiam diri
terhadap isu tersebut. Sedangkan kita tahu bahawa SAR adalah sekolah
yang 100 peratus adalah orang Melayu. Semua yang berada di institusi ini
dari guru besar sampai kepada tukang kebun semuanya melayu. Kita tidak
mendengar pun pembelaan daripada mereka yang memegang jawatan sekarang
dan yang hendak merebut jawatan membela terhadap isu SAR.
Sebab itulah DPPP penuh yakin bahawa mana-mana saja badan NGOs kalau di
dalamnya terdiri di kalangan pimpinan UMNO maka di situ kita lihat
persatuan itu tidak bermaya, agenda persatuan tidak berjalan sebaliknya
apa yang berlaku hanyalah untuk menjadi batu loncatan kearah pengukuhan
peribadi di dalam politik UMNO.
DPPP mencadangkan supaya pertelingkahan ini diselesaikan dengan baik,
walaupun ia tidak melibatkan mana-mana pimpinan pemuda PAS tetapi PAS
sebagai sebuah parti yang amat prihatin terhadap pendidikan orang melayu
terasa malu kepada bangsa lain akibat karenah pemimpin GPMS dan UMNO
dalam menanggani isu ini. Baliklah kepangkuan agenda asal kewujudan GPMS
dan lupakan agenda peribadi mereka yang rakus. Ketegasan yang harus
diambil adalah kembali kepada Islam yang mana setiap perbalahan harus
diketepikan dan mengambil pendekatan secara Syura.
GPMS juga harus mengambil perhatian dan meletakkan agenda utama bagi
pembelaan terhadap beberapa tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti
yang agak kebudak-budakan. Mereka sedang bertindak untuk mengambil
tindakan terhadap pelajar yang kononnya menentang calon Aspirasi pada
piliharaya Kampus baru-baru ini dan juga manakala perbicaraan yang
sedang berjalan adalah sepertimana mahkamah yang tidak adil, walaupun
mereka ini bergelar Profesor namun mereka hanya menerima petunjuk pihak
tertentu sahaja. Apakah tindakan mereka ini menguntungkan pelajar melayu
kelak?
USTAZ HJ. IDRIS BIN AHMAD
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat
|