|
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat
Markas Tarbiyah Taman Melewar, Lorong Haji Hassan Jalan Batu
Geliga Batu Caves Selangor
KENYATAAN MEDIA
11 JUN 2006
UMNO MENITI AKHIR USIA
Apa pun penjelasannya konklusi yang boleh disimpulkan terhadap
perkembangan politik UMNO kini ialah parti yang baru sahaja
menyambut ulang tahun ke 60 itu ketika ini sedang bergelut
meniti detik-detik akhir usianya. Kesimpulan ini bertitik tolak
daripada sorotan keseluruhan peristiwa yang berlaku kepada UMNO
akhir-akhir ini. Bangkitkan apa saja isu yang berlonggok ketika
ini pastinya ia menuju kepada satu punca iaitu krisis kepimpinan
didalam UMNO yang amat kritikal. Kepimpinan Pak Lah dan seluruh
organisasinya hari ini bukan sekadar dianggap lemah tetapi telah
terbukti lemah serta tidak mempunyai kredibaliti untuk memimpin
sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia.
Sememangnya selama ini telah berkali-kali perkara ini
dibangkitkan oleh pelbagai pihak khususnya parti-parti politik
pembangkang tetapi pandangan ini ditolak mentah-mentah oleh
banyak pihak dek kerana tersilau dengan permainan media yang
memperagakan UMNO dibawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi dan regunya Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai
pasukan terbaik yang pernah dilahirkan oleh UMNO bagi menjana
Malaysia ke mercu kegemilangan. Hujahnya ialah kemenangan
bergaya UMNO didalam Pilihanraya Umum 2004. Kemenangan yang
dikatakan terbesar dan paling bergaya pernah dicatatkan oleh
UMNO didalam sejarahnya diterjemahkan sebagai bukti sokongan
jitu dan tidak berbelah bagi rakyat kepada UMNO. Mungkin disitu
ada kebenarannya jika segala faktor x-files diketepikan tapi
persoalannya adakah momentum itu sehingga kini masih lagi
relevan untuk dijadikan hujah bahawa UMNO dibawah kepimpinan Pak
Lah dan Najib adalah pasukan yang terbaik untuk Malaysia ?
Mungkin didalam hal ini kita sewajarnya mengucapkan ribuan
terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir.
Pertelingkahan yang dicetuskannya menjawab persoalan ini dengan
jelas. Bagaimanakah itu ?
Permit Import Pembuka Bicara
Sebelum daripada kemunculan semula Dr. Mahathir politik Malaysia
pasca PRU 2004 agak lesu dan perlahan. Gerakan parti-parti
politik pembangkang agak terbatas. Satu, mungkin kerana
tertampar dengan keputusan PRU 2004. Kedua, masing-masing lebih
banyak mengambil pendirian tunggu dan lihat. Diam bukan bererti
mengalah tapi diam untuk memerhati sambil menyusun kembali
jentera politik. Dalam keadaan itulah munculnya Dr. Mahathir,
isu yang dibawanya ialah isu permit import (AP) dan kelansungan
hidup syarikat kereta nasional pertama negara, PROTON. Desakan
Dr. Mahathir membawa kepada pendedahan betapa buruknya sistem
pentadbiran negara. Didalam isu AP contohnya kerajaan dipaksa
mendedahkan senarai penerima AP yang sebahagian daripadanya
adalah kaum kerabat rapat UMNO. Pendedahan itu membuktikan
betapa amalan kronisme masih lagi kuat berakar umbi didalam
sistem pemberian permit kerajaan. Jelas kerajaan pimpinan Pak
Lah khususnya menteri berkaitan, Datuk Seri Rafidah Aziz
terjelepuk dengan pukulan pendedahan Dr. Mahathir. Kesannya
suara-suara ketidakpuashatian mula kedengaran. Meskipun hanya
bising-bising tapi ketidapuashatian itu memutikkan perasaan
tidak berpuas hati rakyat terhadap pemerintahan Pak Lah yang
menjanjikan satu reformasi pemerintahan dengan ketelusan sebagai
asasnya. Rakyat merasakan pendedahan ini sebagai satu pendedahan
wajah sebenarnya Pak Lah yang cuba disolekkan oleh media dengan
imej yang baik.
Kemelut Proton Yang Merimaskan
Kemudian bertitik tolak daripada isu AP tersebut, kemelut Proton
pula berbangkit. Nasib Proton dikatakan terhimpit dengan
keputusan kerajaan mengeluarkan begitu banyak permit import.
Begitu juga kerajaan dipertikaikan apabila dengan
sewenang-wenang mengiktiraf kereta buatan luar dengan jenama
tempatan dengan mengenepikan prasyarat asas. Dimana kesan
daripada ini Proton berdepan dengan persaingan tidak sihat yang
merugikan. Menangani isu ini Pak Lah memilih untuk melontarkan
kembali tuduhan tersebut kepada Dr. Mahathir dengan menghujahkan
bahawa keputusan tersebut dibuat dibawah pemerintahan Dr.
Mahathir lagi. Sememangnya Dr. Mahathir seorang stratgegis yang
bijak, dimana bagi menjawab tuduhan tersebut Dr. Mahathir
beraksi di televisyen mendedahkan segala dokumen bagi
membuktikan kerajaan bersifat lepas tangan didalam isu tersebut
dan dengan pendedahan itu sekali lagi wajah sebenar kerajaan
pemerintahan Pak Lah didedahkan. Pukulan Dr. Mahathir tersebut
juga membuatkan banyak pihak mula menilai kembali prestasi
kerajaan pimpinan Pak Lah.
MV AGUSTA : Negara Rugi RM 348 Juta !
Kemelut Proton sebenarnya tidak berakhir disitu. Dalam keadaan
pergolakkan Proton kian meruncing sehingga membawa kepada
perletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Tan Sri
Mahaleel Arif. Negara digemparkan lagi dengan tindakan menjual
MV Agusta oleh pengurusan baru Proton dengan harga 1 euro !
Syarikat pengeluar motorsikal Itali tersebut yang dibeli oleh
Proton dengan nilai harga 70 juta euro dikatakan mempunyai stok
bernilai 64 juta euro dan tindakan Proton menjualnya dengan 1
euro menyebabkan Proton kerugian sebanyak RM 348 juta !
Kebijaksanaan inilah yang dipersoalkan oleh Dr. Mahathir kepada
Proton dan kerajaan. Pertanyaan ini mungkin ada kebenarannya
bagi Dr. Mahathir yang secara rasminya adalah penasihat Proton!
Namun persoalan ini tidak pernah dijawab oleh kerajaan. Malah
kerana bertanyakan soalan ini Dr. Mahathir diarahkan menutup
mulut dan pergi tidur !
Kemarahan Memuncak ! Jambatan Indah Runtuh Sebelum Dibina !
Mungkin inilah isu yang memuncakkan segala kemarahan Dr.
Mahathir. Projek brianchild nya untuk menggantikan Tambak Johor
dengan jambatan dihentikan dalam keadaan yang amat memalukan.
Bagi Dr. Mahathir tindakan membatalkan projek yang diarahkan
oleh Pak Lah selepas beberapa hari mengarahkan ianya diteruskan
“by hook or by crook” merupakan satu tindakan yang bacul. Lebih
menyakitkan hati Dr. Mahathir tindakan itu diambil jelas kerana
kerajaan pimpinan Pak Lah tunduk kepada kedegilan Singapura.
Bagi Dr. Mahathir tindakan tersebut sama saja ertinya kerajaan
pimpinan Pak Lah menjual kedaulatan negara.
Meskipun Pak Lah menyatakan tindakan tersebut adalah keputusan
paling wajar bagi menyelamatkan kerugian yang lebih banyak
khususnya daripada sudut kewangan tetapi bagi Dr. Mahathir
alasan tersebut tidak dapat diterimanya. Lebih-lebih lagi pula
telah bertiup kuat sebelumnya lemparan tuduhan bahawa kerajaan
telah kehabisan duit ekoran tindakan gila kerajaan dibawah
pemerintahan Dr. Mahathir membina pelbagai projek mewah dan
mega.
Bermula daripada sinilah seakan-akan Dr. Mahathir
mengisytiharkan gendang perang kepada kabinet pimpinan Pak Lah.
Dari satu forum ke satu forum Dr. Mahathir menggunakan
kesempatan yang ada untuk membelasah dari segenap segi
pemerintahan Pak Lah. Lemparan demi lemparan kata-kata sinis
dihamburkan. Beliau menuduh dengan pelbagai tuduhan yang tidak
mampu dijawab oleh Pak Lah dan kabinetnya. Sehinggalah
kenyataannya yang paling berterus terang dikeluarkan bahawa
beliau sebenarnya lebih berminat memilih Datuk Seri Najib Tun
Abdul Razak sebagai penggantinya berbanding Pak Lah ! Kenyataan
inilah yang menjadikan ribut dan taufan melanda arena politik
negara ! UMNO bergegar kerananya. Pengkagum Dr. Mahathir melihat
isu ini sebagai bukti kberanian dan keprihatinan Dr. Mahathir
terhadap kelansungan kerajaan yang semakin tertekan dengan
tindakan tidak matang Pak Lah. Manakala bagi penerus tradisi
“yes man” yang hadirnya hanya untuk memastikan kedudukan diri
tidak tergugat mula melaungkan dan mengulang-ulang perkataan dan
ayat puji-pujian untuk membela Pak Lah cuma yang memalukan ayat
dan perkataan inilah juga yang dahulunya digunakan untuk
mengangkat Dr. Mahathir. Ironinya !
Jangan Campur Tangan !
Dengan segala yang diulaskan diatas tersebut apa sebenarnya yang
perlu kita fahami daripadanya ? Dimanakah ianya menjawab bahawa
segala persengketaan ini membuktikan UMNO sedang berhadapan
dengan krisis kepimpinan yang serius ? Dan juga dimanakah ianya
menjawab bahawa segala yang didedahkan oleh Dr. Mahathir itu
adalah bukti betapa UMNO ketika ini sedang mengesut-esut menuju
ke muzium, sepertimana yang pernah dikatakan oleh Tuan Guru Nik
Aziz Nik Mat lama dahulu ? Seperkara yang kita perlu jelas
sebelum pelbagai prasangka ditafsirkan keatas penulisan ini
bahawa kita menolak dengan memberi peringatan yang amat keras
kepada Dr. Mahathir terhadap tindakannya mencampuri urusan
kerajaan dalam apa bentuk sekalipun. Bagi kita ini membuktikan
sikap sebenar Dr. Mahathir yang selama ini kerap kita luahkan,
sikap beliau yang keras kepala dan sentiasa menginginkan setiap
orang tunduk dan patuh kepada katanya saja. Ciri-ciri sikap
seorang diktator.
Selama lebih 20 tahun beliau memerintah Malaysia sikap inilah
yang mewarnai rakyat Malaysia. Hitam katanya maka perlu hitamlah
juga kata seluruh rakyat dan jika putih katanya jangan ada
sesiapa yang berani untuk mengatakan selain itu. Kini selepas
melepaskan jawatan sekalipun dia masih lagi merasakan dia
seseorang yang perlu didengar katanya. Setiap pandangannya perlu
didengar sebagai arahan. Maka tidak salah bacaan politik yang
menelah bahawa perletakkan Dr. Mahathir dahulunya adalah satu
tindakan terpaksa yang beliau ambil bagi memastikan kelansungan
politik UMNO. Begitu juga benar telahan bacaan politik bahawa
perlantikkan Pak Lah hanyalah satu permainan strategik politik
licik Dr. Mahathir. Mungkin sebab itu agaknya sehingga kini ada
sebahagian daripada ahli dan pimpinan UMNO diperingkat bawahan
sendiri mengatakan Pak Lah hanyalah ‘Perdana Menteri di dalam
tempoh peralihan’. Maka tindakan Dr. Mahathir lewat akhir-akhir
ini mungkin adalah bukti jelas kepada percaturan politik
diperingkat tertinggi yang bertujuan menghimpit Pak Lah ke
penjuru kuasa pemerintahan untuk digantikan dengan “orang
pilihan” Dr. Mahathir yang sebenar.
Atas sebab itulah kita melihat campur tangan Dr. Mahathir ini
satu bentuk campur tangan yang akan memperak perandakan
pentadbiran negara yang sedia bercelaru ketika ini. Maka atas
pendirian itulaj kita memberi peringatan sekeras-kerasnya
terhadap campur tangan tersebut !
Pak Lah PM Terlemah Dalam Sejarah Negara
Namun begitu penolakkan kita terhadap campur tangan Dr. Mahathir
tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan kepada Pak Lah dan
kabinet pemerintahannya. Sebagaimana kita memberi ketegasan
kepada Dr. Mahathir supaya tidak mencapuri urusan pentadbiran
negara kita juga bertegas kepada Pak Lah dan seluruh kabinetnya
untuk memberi sepenuhnya penjelasan terhadap segala persoalan
yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir. Kita bertegas mendesak Pak
Lah untuk tidak sekali lagi memungkiri janjinya untuk
mengamalkan ketelusan didalam pentadbirannya. Kita juga
menyokong telahan bahawa Pak Lah adalah Perdana Menteri terlemah
yang pernah dimiliki oleh rakyat negara ini. Sikap beliau yang
sering berdolak-dalik, tiada ketegasan dan mudah berubah
pendirian dalam keputusan kerajaan adalah punca sebenarnya yang
mendorong kepada campur tangan Dr. Mahathir didalam pentadbiran
negara.
Semenjak dari awal lagi kita telah mempersoalkan tindakan beliau
melantik Dr. Mahathir bagi memegang pelbagai jawatan penting
didalam projek-projek kerajaan. Kita berpendirian bahawa didalam
soal mentadbir urus kerajaan dan hal-hal yang berkaitan
dengannya prinsip dan pertimbangan peribadi perlu diasingkan.
Setinggi manapun jasa Dr. Mahathir kepada UMNO dan negara ianya
tidak melayakkan beliau untuk menerima penghargaan bagi memegang
pelbagai jawatan penting didalam projek-projek kerajaan. Hari
ini Dr. Mahathir adalah penasihat kepada Proton dan Petronas.
Dr. Mahathir juga memainkan peranan yang penting didalam panel
projek MISC. Begitu juga peranan Dr. Mahathir sebagai Presiden
di Yayasan Kepimpinan Perdana. Dengan latar Dr. Mahathir sendiri
yang penuh dengan contengan hitam yang memalukan adalah sesuatu
yang tidak wajar bagi kepimpinan Pak Lah untuk memberi ruang
yang sebegitu luas kepada Dr. Mahathir untuk berperanan.
Inilah kesannya apabila manusia menyanjung manusia secara
keterlaluan. Sikap kerajaan Pak Lah yang dilihat melampau-lampau
dalam menganggungkan Dr. Mahathir kini memakan diri sendiri.
Rakyat Perlu Menilai
Jika selama ini seluruh rakyat menerima segala pandangan
daripada pimpinan parti pembakang secara sinis apabila kita
memperkatakan kepimpinan Pak Lah adalah kepimpinan yang amat
lemah. Tetapi hari ini rakyat dihadapkan dengan pandangan yang
sama tetapi bezanya ianya datang daripada mulut pemimpin yang
pernah disanjung oleh mereka sendiri, Tun Dr. Mahathir. Selama
ini rakyat Malaysia berdiri teguh dibelakang Dr. Mahathir
apabila dia berdepan dengan laungan reformasi. Rakyat ludahkan
segala hujah dan fakta yang dikemukakan oleh pemimpin parti
pembangkang. Pemimpin parti pembangkang dituduh sebagai penipu,
pemecah belah, pengkhianat, petualang dan sebagainya dan hari
ini apabila pemimpin yang pernah dipertahankan dengan segala
kekuatan itu berkata perkara yang sama seperti pembangkang,
berbicara tentang kelemahan pengganti yang dipilihnya dengan
mengatakan ianya adalah silap yang terbesar maka apa pendirian
rakyat Malaysia kini ?
Tetap Pak Lah Tidak Layak
Perkatakanlah apa sekalipun. Hujahkanlah dari sudut apa
sekalipun. Tetap setiap hujah dan fakta akan menunjukkan bahawa
kepimpinan yang menerajui negara berketuakan Pak Lah adalah
mereka yang paling tidak layak untuk mentadbir negara. Sikap
kerajaan yang tidak bertanggungjawab dengan membebankan segala
kesusahan yang dihadapi kepada rakyat lewat isu kenaikan harga
minyak, tarif harga elektrik dan sebagainya adalah bukti jelas
yang tidak dapat dinafikan.
Jika dihujahkan bahawa segala permasalahan ini timbul kesan
daripada pemerintahan Dr. Mahathir sebelumnya maka tetap Pak Lah
dan ahli-ahli kabinetnya yang ada sekarang perlu
dipertanggungjawabkan. Bukankah menjadi tradisi UMNO yang
dipertahankan untuk membuat keputusan secara kolektif ? Maka
setiap keputusan dibawah pemerintahan Dr. Mahathir dahulunya
adalah keputusan Pak Lah juga ! Jika Dr. Mahathir dituduh
menghabiskan duit kerajaan maka Pak Lah dan Najib juga
bertanggungjawab kepadanya kerana selama itu berdiri teguh dan
mempertahankan setiap keputusan yang dibuat bersama Dr.
Mahathir. Jika mereka menuduh Putrajaya, KLCC dan MISC adalah
idea Dr. Mahathir yang membazir maka mereka juga terlibat
didalamnya kerana selama ini dengan hujah itulah mereka
berhadapan dengan rakyat !
Dan jika mereka katakan pada ketika itu mereka tiada kuasa dan
takut untuk membantah Dr. Mahathir maka terjawablah bahawa
mereka sebenarnya memang tidak layak untuk memerintah negara
ini, kerana apa...? Kerana negara ini tidak memerlukan kumpulan
orang pengecut yang tidak berani untuk bersuara berkata tidak
kepada penyelewengan dan pengkhianatan amanah rakyat !
Tolak UMNO
Maka penyelesaian terbaik yang ada untuk rakyat Malaysia pada
hari ini ialah dengan menolak UMNO sebagai parti pemerintah.
UMNO telah hilang bisanya kerana sikap ampu dan angguk. UMNO
telah hilang jatidirinya kerana terus-terusan hidup dialam
sistem kronisme dan korupsi. Renungkanlah apa yang diperkatakan
oleh Tun Ghafar Baba sebelum hayatnya dihembuskan buat kali
terkahir, orang yang selamanya UMNO itu sendiri, yang hidup
semenjak dari zaman UMNO dilahirkan, orang yang berdiri bersama
Tunku Abdul Rahman ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara,
yang bersama-sama Dr. Mahathir membangkit UMNO dari
pengebumiannya pada tahu 1988... orang yang itu juga berkata
bahawa UMNO yang ada hari ini seumpama seekor gajah yang besar,
tapi sayangnya gajah itu berkaki plastik yang menanti masa untuk
tumbang dan rebah ke bumi... orang yang sama itu juga pernah
berkata bahawa UMNO itu hari ini sedang siap sedia untuk
dilelong kerana berleluasanya permainan kotor rasuah ! Maka apa
tunggu lagi ?
MAZLAN ALIMAN
NAIB KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
11 JUN 2006
0137130103 pircjohor@gmail.com
|